Siswa Mesir hayati kebesaran Allah melalui Ekspedisi Saina’ 2010
Program ini berlangsung selama 2 hari iaitu 17 dan 18 Februari 2010. Bertemakan “Menjejaki tanda-tanda kebesaran Ilahi”, peserta diingatkan untuk mentadabbur dan menghayati kebesaran ciptaan Allah sepanjang perjalanan.
Beberapa objektif telah digariskan. Antaranya ialah:
1. Memupuk nilai-nilai ukhuwwah di kalangan peserta.
2. Melihat kebesaran Allah S.W.T melalui alam ciptaannya.
3. Menjejaki kesan tinggalan sirah para anbiya’ dan pejuang Islam.
Para peserta mula berkumpul di Game’, Hayyu ‘Asyir pada jam 10.30 malam (16 Februari 2010). Perserta diberikan taklimat oleh saudara Saif bin Zorin selaku pengarah program EKSIS kali ini, diikuti perasmian oleh Ust Qamarul Naim selaku wakil Jawatan Kuasa Pusat, ISMA Mesir, seterusnya AJK Program, Saudara Muhammad Faysal Tajuruddin dan taklimat keselamatan oleh Saudara Saif bin Jamaluddin selaku timbalan pengarah program. Peserta berkumpul awal bagi menyelesaikan urusan-urusan pendaftaran, passport dan pembahagian kumpulan. Para peserta kelihatan begitu bersemangat ketika menyanyikan nasyid tema program.
Perjalanan menuju Sina’ bermula pada pukul 12 malam. Untuk sampai ke Sinai, jalan tersebut akan melalui Terowong Ahmed Hamdi, terowong yang melintasi Terusan Suez bagi menghubungkan Saina’ dengan bahagian mesir yang lain. Terowong sepanjang 1.8 km ini berada 25 meter di bawah permukaan Laut Merah dan Mediterranean. Perhentian pertama ialah di Al-Nakhlu. Di kawasan rehat tersebut, peserta ekspidisi berhenti seketika untuk menunaikan solat subuh dan berehat. Kemudian, perjalanan diteruskan sejam kemudian.
Destinasi pertama kembara ialah Taba, sebuah bandar pelancongan yang terletak di utara Sinai sempadan Israel dan Jordan. Teluk Aqaba memisahkan antara Mesir dengan Jordan di bahagian timur Taba. Setibanya di Taba, peserta diberikan sarapan, rehat dan peluang untuk bergambar di kawasan tersebut.
Perjalanan diteruskan menuju ke Kubu Salahuddin Al-Ayubi yang terletak di Pulau Fir’aun. Untuk sampai ke Pulau Fir’aun, perlu menggunakan khidmat bot sewa. Sebelum menaiki bot, sedikit taklimat mengenai Kubu Salahuddin Al-Ayubi disampaikan oleh Saudara Bilal bin Jailani. Menurut beliau, lawatan ke kubu Salahuddin ini bukanlah untuk melihat bangunan-bangunan lama semata-mata. Tetapi peserta-peserta digesa untuk mengambil iktibar dan semangat yang ada pada keperibadian Salahuddin Al-Ayubi.

Peserta bergambar di hadapan Pulau Firaun di mana terletaknya Kubu Salahudin
Pada malam tersebut, para peserta diberi masa yang secukupnya untuk berehat, khidmat diri dan menunaikan solat jama’ maghrib dan isya’. Buat pertama kalinya pihak penganjur menampilkan sedikit kelainan dengan menyediakan BBQ.
Kemuncak perjalanan Ekspidisi Saina’ ISMA Mesir adalah pendakian di Gunung Tursina. Gunung Tursina atau juga dikenali sebagai Jabal Musa merupakan tempat di mana Nabi Musa A.S dikatan mendapat wahyu dari Allah. Pada jam 1.30 pagi keesokan harinya, rombongan ISMA Mesir berkumpul di kaki gunung bagi mendapatkan taklimat ringkas tentang program dan langkah-langkah keselamatan. Setelah itu, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi berkongsi informasi berkaitan gunung tersebut. Hal ini bagi membangkitkan semangat para peserta dan menambah thaqafah (pengetahuan) agar pendakian tersebut bukanlah pendakian yang sia-sia.

Peserta EKSIS 2010 menawan puncak Jabal Musa
Para peserta seharusnya diberikan pujian atas semangat dan motivasi yang ditonjolkan, semangat berpasukan dan setiakawan yang tinggi.
Suasana di puncak gunung agak sesak kerana rombongan kali ini bertembung dengan banyak rombongan mahasiswa dari negara lain seperti Thailand dan Indonesia di samping pelancong asing turut memenuhi kawasan puncak tersebut. Di puncak gunung tersebut, masa 1 jam diisi dengan menunaikan solat subuh dan menunggu matahari terbit justeru melihat keindahan gunung-ganang ciptaan ALLAH. Sebelum menuruni Jabal Musa, peserta bergambar beramai-ramai dan lagu tema program sekali lagi dinyanyikan.
Dari Jabal Musa, rombongan ISMA menziarahi maqam nabi Harun dan samiri sebelum bertolak ke ‘Uyun Musa. ‘Uyun Musa terletak 143 km dari Kaherah. Tempat ini menempatkan 12 mata air berasal dari sebuah batu yang dipecahkan Nabi Musa a.s dengan tongkatnya untuk diberi minum 12 suku kaumnya, sebagaimana dikisahkan dalam Al-Quran (Surah Al-Baqarah: 60). Namun begitu, sebahagian dari 12 telaga tersebut masih belum dijumpai kerana sebahagiannya telah tertimbus pasir akibat pengaruh angin gurun.
Selepas menunaikan solat Jama’ Zuhur dan Maghrib dan makan tengah hari, para peserta dibawa melawat muzium Bar Leev Line. Museum ini merupakan salah satu dari 36 kubu tinggalan Israel semasa perang Israel-Mesir 1967. Kubu tersebut dikatakan kubu terkuat dan paling susah dikalahkan oleh tentera Mesir ketika itu. Kedudukan yang strategik menghadap Terusan Suez tidak lain bertujuan untuk mengawal dan mempertahankan terusan tersebut.

Salah satu kubu Israel yang ditawan ketika perang Mesir-Israel 1967
Lebih kurang pukul 8 malam, kesemua peserta selamat sampai di pangkalan di Hayyu ‘Asyir, Madinah Nasr. Peserta disajikan dengan makan malam yang istimewa sebelum bersurai.Secara umumnya, para peserta menunjukkan respon positif dan berpuas hati dengan program ekspidisi kali ini. Sesetengah dari peserta berhasrat untuk mengunjungi gunung Sinai pada masa yang akan datang.Pihak ISMA Mesir berharap agar dapat mengemaskan lagi pengurusan serta pengendalian program dan dapat menganjurkan lagi program-program bermanfaat seumpama ini di masa-masa yang akan datang.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir

