Permulaan Projek Islah
Hati manusia yang diletakkan dalam alunan fitrah hanya mampu untuk tenang dengan tujuan penciptaannya. Apabila hatinya mula dikembalikan kepada tujuan asalnya, iaitu ibadah dan ta’abbud kepada Allah, keadaan dan gerak-gerinya lebih teratur dan bergerak dengan ‘kehidupan rabbani’ yang telah diciptakan oleh Penciptanya.
Hal ini ditunjukkan dalam surah Al-Ra’d ayat 69; “Dan orang-orang yang beriman itu hatinya tenang dan tenteram dengan zikrullah, ketahuilah bahawasanya dengan zikrullah hati akan menjadi tenang”.
Hal ini juga telah dibuktikan oleh Umar R.A dalam kata-katanya; “Kalaulah bukan kerana jihad di jalan Allah, dan bersujud kepada Allah serta berhimpun dalam majlis-majlis zikir, sudah pasti mati itu lebih aku sukai.”
Tanggungjawab yang menggugah mukmin
Seorang mukmin yang benar imannya, akan menyukai ketenangan, dan ketenteraman hati, serta tidak suka kepada keriuhan orang ramai yang akan menjauhkannya daripada Allah. Itu adalah tabiat imannya. Dia lebih gembira dengan uzlah berbanding hidup di tengah suasana riuh-rendah di tengah manusia. Dia selalu berusaha untuk meletakkan dirinya di masjid-masjid dan menolong segala keperluan di situ.
Itu adalah sifat asalnya, tetapi akhirnya kewajipan ‘islah’ itulah yang menggerakkannya. Dengan pemahaman ini seorang ahli zuhud Al-Jaririy memberikan suatu istilah ‘uzlah yang sebenar, iaitu;
“Ia adalah bergelumang dengan orang ramai, dan menghalangmu daripada keseorangan”.
Ia merupakan suatu pemahaman yang positif; iaitu hendaklah kamu menghadiri medan-medan, di segenap aspek kehidupan, dalam politik, profesion, dan tempat berjual-beli. Kamu menyertai manusia dan hidup bersama mereka.
Tetapi hendaklah dirimu dipastikan dipenuhi dengan nilai-nilai imaniyah, dan perasaan-perasaan yang mulia, serta kelazatan beribadat itu bertukar kepada ketenteraman hati dan kesenangannya. Maka dengan itu, segala nilai-nilai itu akan bercantum di antara satu sama lain, lalu terbentuk satu kutlah (kumpulan kecil yang menggerakkan diri) dalam peribadi yang sempurna, terhimpun padanya kefaqihan, kesedaran, dan kecerdasan ruhiyyah, yang bersepadu dan saling menyempurnakan.
Sesungguhnya ketenangan seorang mukmin itu adalah benar, bahkan ia merupakan suatu tanda yang sepatutnya ada pada dirinya dan sentiasa ditingkatkan. Tetapi Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita contoh yang paling baik, iaitu sifatnya;
“Apabila kebenaran itu diketepikan, tiada siapapun yang mengenalinya ”.
Ia bermaksud, baginda s.a.w merupakan orang yang paling baik akhlaknya di sisi sahabatnya, selagimana baginda s.a.w tidak melihat yang hak itu diketepikan. Apabila berlaku perkara itu, maka baginda menyinsing lengan dan berubah serta merta, sehingga manusia tidak mengenalinya, itu adalah kerana ingin memenangkan kebenaran.
Dengan nilai yang berharga inilah, baru kamu dapat hadir di tengah orang ramai, mengesani mereka dengan sibghah imaniyah (celupan iman). Dengan bentuk sebegini, maka seorang musleh itu dikatakan sebagai seorang yang ka’in ba’in. Iaitu wujud di kalangan manusia dan bergaul dengan mereka, tetapi hatinya jauh sekali bezanya daripada mereka, dengan keseriusannya dan hatinya yang tenang dalam fitrah Ilahiyah.
Apabila seorang musleh itu berterusan dalam usaha islah nya, dengan kefahaman dan semangat yang membara, pada ketika itu dia akan menjadi seorang yang sangat taktikal dalam menjayakan projek-projek islah tersebut, untuk mencipta suatu suasana baru masyarakat. Suasana itu yang akan melonjakkan momentum islah lalu membina realiti baru yang islamik.
Projek sebenarnya adalah jiwa manusia
Jasad manusia itu, jika dipandang dari sudut materialnya, mampu dikaji dan dipadankan dengan segala hukum-hukum fizik dan hukum alam. Ia akan menjadi cantik dengan segala macam alat yang boleh memberikannya kecantikan. Ia mampu sempurna sepenuhnya, jika ditambah dengan segala macam alat-alat tambahan yang memberikannya kesempurnaan.
Alangkah menarik dan mudahnya! jika kita mahu hidup selamanya kekal dalam keadaan yang kuat dan cantik jika kita hanya memandang manusia dari sudut materialnya sahaja.
Tetapi pada hakikatnya, ia juga merupakan ruh. Ia punyai jiwa yang sentiasa berubah-ubah.
Perkara ini terbukti sehingga dikatakan oleh penyair Arab:
“Alangkah indahnya hidup ini, jika budak itu adalah batu,
Berlaku apa-apa kejadian pun, dia pasti tidak akan melenting”
Kalaulah sekiranya manusia ini seperti batu, maka sudah pasti kita akan mampu membetulkan dan meluruskannya dengan perkiraan-perkiraan dan formula-formula matematik serta kaedah-kaedahnya, sehingga hampir-hampir kita tidak akan salah. Kita akan dibantu dengan teori-teori logaritma, nisbah dan kadar, bahkan sudah pasti kita akan menggunakan komputer sebagai alat yang tidak akan silap.
Tetapi sebenarnya ia adalah jiwa yang lembut, yang punyai banyak rahsia tersirat. Apa yang tersembunyi lebih banyak daripada yang terzahir. Bahkan bagi setiap manusia itu, ada keadaan, tabiat, situasi dan peraturan yang tersendiri.
Walaupun telah ramai para analisis mengkaji jiwa manusia, dari segi rahsia-rahsianya, persamaannya, dan lain-lain, sehinggalah kamu merasakan bahawa kamu mampu mengetahuinya dan menyekatnya. Tetapi apabila kamu cuba mempercayai hakikat tersebut, ia lantas berlepas diri dan berjauhan denganmu, ternyata tanggapan kamu itu jauh sekali.
Cita-citanya sangat hebat dan tidak pernah habis. Dia akan cuba menjadi sejauh mungkin apa yang boleh. Sifatnya sentiasa mahukan yang lebih. Ia seperti yang dikatakan oleh penyair;
“Seseorang itu tidak akan puas dengan memiliki seluruh negeri,
Walaupun dibina tangga-tangga yang akan menuju ke langit”.
Syair ini bermaksud sekiranya seseorang itu telah memiliki seluruh kekuasaan, sudah pasti ia akan mahu memiliki langit, dan sekiranya dia sampai ke situ, sudah pasti dirinya sentiasa mahukan lebih. Setiap kali dia meningkat satu darjat, dia mahukan darjat yang lebih tinggi.
Keadaan ini, walaupun terdapat perkara-perkara negatif, tetapi itu adalah asal-usul pergerakan kehidupan, yang dipenuhi dengan perlumbaan, persaingan, penyelarasan dan perancangan rapi yang tersusun.
Dari sudut pandangan jiwa yang sebegini, barulah kesedaran islah kita bermula.
Sumber: Laman Web ISMA Mesir


