|

Pemimpin jihad HAMAS, Mahmud Abd Rauf, syahid di Dubai

“Beribadah kepada Tuhan kamu, berjihad di jalan meneguhkan agama kamu dan mengagungkan syariat kamu adalah tugas kamu di dalam kehidupan ini”.

Kata-kata Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna di dalam risalah Ke Arah Mana Kita Mengajak Manusia akan terus kekal dalam jiwa mana-mana pejuang yang ikhlas lagi bersungguh-sungguh mencari keredhaan Penciptanya. Dari panduan Al-Quran, As-Sunnah dan Seerah Rasulullah saw, beliau juga telah berjaya menunjukkan kepada generasi ini cara kematian yang terbaik yang bukan sahaja akan mendapat redha Ilahi, malah akan mengagungkan Agama ini mengatasi sistem-sistem Jahiliyah yang lain di atas mukabumi. Saban hari Allah swt menjemput para kekasihnya sebagai syahid utuk menganugerahkan mereka tempat yang lebih baik dari dunia yang fana lagi serba menipu ini.

Salah seorang pemimpin dan pengasas Batalion Izzuddin Al-Qassam, Mahmud Abdul Rauf Al-Mabhuh, 50 tahun, dibunuh syahid di Dubai pada Rabu 20/1/2010 yang lalu. Beliau tinggal dalam buangan di Syria, menggerakkan amal Jihad berpusat di sana bersama-sama Ketua Biro Politik HAMAS, Khalid Masy’al. Beliau berasal dari khemah pelarian Jabalia di utara Gaza, Palestin. Di hari-hari pertama Intifadhah Pertama (meletus 1987), rumah Asy-Syahid adalah diantara rumah yang pertama dirobohkan oleh pihak Zionis. Jenazah Asy-Syahid tiba di Damsyiq dari Dubai pada petang Khamis lalu dan telah selamat disolatkan sebaik selepas solat Jumaat 29.1.2010 di Masjid Al-Wasim, khemah pelarian Al-Yarmuk, Damsyiq, Syria. Asy-Syahid pernah menjalankan operasi menangkap 2 tentera Israel iaitu Elan Sakdun dan Afiy Sabortis untuk cubaan pertukaran tawanan perang dengan rakyat Palestin yang ditawan. Asy-Syahid juga memainkan peranan penting dalam memberi dokongan kepada para Mujahideen Palestin.

Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Dr. Mohd Badi’ telah menghubungi Ustaz Khalid Masy’al melalui telefon dan mengucapkan takziah darinya dan dari sekalian anggota Ikhwan Muslimin di atas pemergian Asy-Syahid Mahmud Abdul Rauf, salah seorang pemimpin dan pengasas Ketumbukan Batalion Izzuddin Al-Qassam, sayap jihad HAMAS yang dibunuh Zionis di Dubai, Emirate Arab Bersatu pada Rabu 20/1/2010 yang lalu.

Semoga Allah swt merahmati Asy-Syahid Mahmud Abdul Rauf dan para Syuhadak sebelum dan selepas beliau, mengampunkan segala kesalahan mereka dan menerima mereka sebagai golongan para Syuhadak bersama Hamzah bin Abdul Mutalib, Mus’ab bin Umair dan sekelian para Sahabat ra. Ameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku