|

Kemalangan nyaris ragut nyawa ahli-ahli ISMA

Ustaz Fauzi Asmuni dan Encik Tahir Hamdan menziarahi Yazid di Hospital Muar.

Yong Peng, 31 Jan. – Komuniti ISMA dikejutkan dengan berita kemalangan membabitkan 6 orang aktivis ISMA Johor di Lebuhraya PLUS berdekatan Yong Peng, Johor lewat malam semalam. Wartawan Media ISMA  Melaka yang menemani Yang Dipertua ISMA Melaka, Ustadz Ahmad Zainal Abidin bergegas ke Hospital Muar awal pagi ini bagi meninjau keadaan mangsa.

Saudara Yazid, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Monash yang kini mengikuti latihan praktikum kedoktoran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru bagaimanapun dilaporkan stabil. Seorang lagi aktivis KRIM Johor yang ditempatkan di hospital yang sama dilaporkan telah keluar awal pagi tadi.

Beliau ketika menceritakan detik cemas kejadian ngeri kepada wartawan Media ISMA Melaka, masih sempat melakarkan senyuman seperti sedia kala. Kejadian yang diakibatkan letupan tayar kereta Unser yang dinaiki beliau dan 5 rakan lain menyebabkan kereta yang beliau pandu berpusing dua kali ke kiri dan kanan sebelum terbalik menentang arah jalan.  Ketika kejadian, beliau dan rakan-rakan sedang dalam perjalanan pulang dari menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa (KOBANNA 2010) anjuran ISMA. Segala puji ke hadrat Allah kerana masih menyayangi dan menyelamatkan beliau dan rakan-rakan daripada kemalangan yang lebih dasyat. Semua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Yang Dipertua ISMA Johor, Saudara Tahir Hamdan yang turut sama berada di Hospital Muar ketika liputan dilakukan memuji sikap Yazid yang masih mampu menenangkan rakan yang lain sungguhpun beliau sendiri tercedera. Ini tidak lain tidak bukan merupakan kekuatan jiwa yang tertanam di dalam diri berkat tarbiyyah yang berterusan oleh ISMA Johor. Ustadz Muhammad Fauzi Asmuni, Nasib Presiden II ISMA turut meluangkan kesempatan menziarahi mangsa bagi menyampaikan salam takziah daripada ISMA kepada mangsa sekeluarga.

Saudara Yazid yang mengalami keretakan bahagian jari dan siku kanan serta beberapa kecederaan ringan dikatakan sedang memulakan sessi tazkirah di dalam kereta sejurus memulakan perjalanan selepas berhenti rehat di R&R berdekatan Ayer Keroh, Melaka.

Dalam kejadian itu, 4 lagi mangsa yang lain dimasukkan ke Hospital Batu Pahat dengan seorang masih kritikal bersama seorang yang lain masih ditahan di wad walaupun keadaan mereka dilaporkan stabil. Salah seorang mangsa yang masih ditahan mengalami kecederaan yang agak parah di bahagian kaki manakala rakannya patah tulang bahu, tulang rusuk dan beberapa kecederaan lain. Saudara Zulhelmi, seorang lagi mangsa yang merupakan rakan karib Yazid dan menuntut dalam jurusan yang sama dilaporkan telahpun keluar dari hospital bersama seorang yang lain. Keluarga mangsa yang ditemui melahirkan perasaan terharu mereka dengan keprihatinan warga ISMA pelbagai lapisan umur yang tidak kunjung putus hadir menziarahi dan mendoakan keselamatan anak mereka.

Seluruh warga ISMA mengucapkan salam takziah kepada mangsa kejadian dan juga ahli keluarga. Semoga Allah mempercepatkan sembuhnya mangsa-mangsa kemalangan dari kecederaan yang dialami dan dapat menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

Kepada semua ahli-ahli ISMA mahupun kepada sekalian pengunjung dan pembaca, marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan buat mereka. Moga Allah kurniakan kecekalan kepada mereka dan mereka bangkit sebagai pejuang yang lebih baik!

Sumber: Laman Web ISMA Melaka

2 Komen untuk entri “Kemalangan nyaris ragut nyawa ahli-ahli ISMA”

  1. Muhammad says:

    Amin.. semoga mereka & kita sentiasa dinaungi rahmat Allah

  2. mohdrusmanarief says:

    ya Allah terkejut baru dapat tau malam tadi masa kat airport balik dari umrah. semoga Allah menyembuhkan.