Hina Nabi Muhammad dalam Facebook: Tindakan tegas perlu diambil
Perbuatan individu yang didakwa mengutuk Nabi Muhammad SAW melalui komen yang ditulis di dalam laman sosial Facebook perlu dipandang serius kerana tindakan tidak beretika tersebut merupakan penghinaan ke atas pemimpin agung umat Islam itu. Perbuatan itu juga boleh menggugat sensitiviti dan mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.
Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia semalam, seorang pegawai eksekutif sebuah syarikat keselamatan telah membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dalam laman Facebooknya. Mohamad Faizal Abdul Raub berkata, sebagai umat Islam dia terdorong membuat laporan polis kerana komen wanita itu boleh menimbulkan kemarahan dan menggugat ketenteraman kaum di negara ini.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa diharap dapat menjalankan siasatan sewajarnya dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan. Wanita tersebut juga digesa supaya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini.
Dalam masa yang sama, para pengguna laman sosial Facebook dan aplikasi-aplikasi seumpamanya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi etika-etika yang digariskan dan tidak menyalahgunakan kemudahan itu untuk melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian dan melanggar sensitiviti mana-mana pihak.


