Baiah diberi atau diminta?
Baiah adalah satu mekanisme tradisional yang digunakan semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi. Ia boleh diterjemah dengan maksud janji setia antara dua pihak yang berbaiah.
Antara baiah-baiah yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w ialah baiah jihad, baiah nisa’, baiah ridhwan dan sebagainya. Diriwayatkan bahawa para sahabat juga melakukan baiah sesama mereka untuk melakukan sesuatu amalan ketaatan. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w berlaku satu lagi baiah yang besar iaitu baiah khalifah. Demikianlah beberapa contoh baiah yang telah berlaku pada zaman tasyri’ (pensyariatan).
Hari ini, amalan berbaiah masih lagi diamalkan oleh sesetengah organisasi/jamaah dakwah. Sebagaimana biasa saya tidak bermaksud ingin mengulas tentang tajuk ini dari segi akademiknya, selain meninjau cara amalan yang telah mencetus pelbagai kesan buruk kepada pengikut-pengikut organisasi dakwah di serata dunia. Isu ini telah menjadi punca perbalahan antara anggota berbagai jemaah termasuk di Malaysia apabila mereka cuba mengadaptasikan mafhum baiah khalifah dalam amalan organisasi mereka.
Dengan adaptasi tersebut, berbaiah dengan pemimpin organisasi seolah-olah dianggap berbaiah dengan khalifah yang membawa implikasi bahawa sesiapa yang melanggarnya dianggap bughah yang harus diperangi, “halal darah”, maruah dan harta benda mereka.
Sebagaimana ia menjadi masalah dalam satu organisasi, ia juga berlaku antara organisasi sehingga kepimpinan satu kumpulan seolah-olah mencalonkan diri mereka sebagai khalifah muslimin dan sesiapa yang tidak menyertai organisasi mereka juga dianggap sebagai pengkhianat, bughoh, berdosa, keluar dari Islam dan “halal darah” dan maruah mereka.
Oleh kerana kefahaman dari adaptasi yang salah ini telah menjadi punca perbalahan yang panjang antara pengikut-pengikut berbagai organisasi dakwah yang langsung tidak memberi faedah kepada amal Islami bahkan sebaliknya tambah melemahkannya. Maka pembetulan perlu dibuat bagi merungkai kekusutan yang telah berpanjangan begitu lama itu.
Justeru, kajian semula telah dilakukan oleh pelbagai pihak dan didapati bahawa ulamak sepakat dengan satu kesimpulan bahawa baiah organisasi ini bukan baiah khalifah. Kepimpinan mana-mana organisasi dakwah tidak boleh menganggap diri mereka sebagai khalifah muslimin dan bertaamul dengan orang di luar organisasi sebagai bughah yang halal darah, musuh agama dan seumpamanya.
Mereka juga sepakat bahawa baiah organisasi dakwah boleh ditolak/dibatalkan/ditarik balik pada bila-bila masa apabila orang yang berbaiah tidak lagi yakin dengan kepimpinan organisasi tersebut atau pihak-pihak yang berbaiah secara sekata merasakan bahawa baiah yang dimeterai tidak lagi sesuai untuk dipatuhi.
Walau bagaimanapun, pada saya tidak salah bagi mana-mana organisasi ingin mengadaptasi mafhum tersebut selama ianya difahami dalam lingkungan yang betul sebagai satu bentuk isti’nas.
Isti’nas ialah satu bentuk istinbat (pengambilan hukum) yang lebih rendah dari qias di mana segala implikasi hukum asal tidak boleh/semestinya diapply pada furu’(cabang), tetapi sekadar satu bentuk peniruan atau ambil semangat sahaja.
Maksudnya organisasi boleh mendidik anak buah supaya taat kepada pemimpin organisasi seolah-olah mereka taat kepada khalifah (yakni seolah-olah kepimpinan organisasi adalah simbol kepimpinan Islam bagi anak buah organisasi tersebut), dalam keadaan mereka sedar bahawa pemimpin tersebut bukan khalifah muslimin dan mereka faham bahawa kegagalan dalam memenuhi tuntutan baiah tersebut oleh mana-mana individu tidak membawa implikasi seperti keluar daripada ketaatan kepada khalifah muslimin.
Dengan kejelasan ini kepelbagaian organisasi dakwah atau apa-apa permasalahan dalaman antara pihak-pihak dalam organisasi tidak menyebabkan pergaduhan dan perbalahan sesama anggota organisasi dakwah sama ada sesama dalam sebuah organisasi atau antara organisasi.
Ini adalah kerana berbilang organisasi dan kemunculan ramai pemimpin melalui pelbagai organisasi tidak menyebabkan mana-mana organisasi atau anggotanya terkeluar dari agama dan harus diperangi. Hubungan antara anggota pelbagai organisasi dakwah masih terikat dengan kewajiban wala’ dan ukhuwah. Mereka masih terikat dengan tanggungjawab silaturrahim dan kewajiban mempertahankan maruah dan darah sesama Islam.
Betapa besarnya dosa permusuhan yang telah dilakukan akibat perbezaan dan perselisihan dalam organisasi dakwah. Dalam nak buat baik kita telah melakukan banyak dosa.
Kembali kepada isu tajuk.
Apabila kita memahami bahawa baiah jamaah adalah semata-semata isti’nas daripada baiah khalifah maka baiah tersebut berfungsi dari satu aspek sahaja iaitu dari segi memberi keabsahan dalam perlantikan pemimpin organisasi, tetapi ia tidak sampai menjadikan pemimpin organisasi tersebut sebagai khalifah. Oleh itu baiah tersebut menjadikan seseorang itu pemimpin organisasi yang sah tetapi ia tidak boleh memaksa ketaatan ke atas pengikut dengan kekerasan atau kekuatan. Jadi baiah diperlukan oleh pemimpin tetapi tidak boleh dipaksakan kepada pengikut kecuali dengan kerelaan dan kehendak sendiri.
Baiah jamaah bermaksud menyerahkan hak untuk menentukan keputusan dalam hal ehwal urusan dakwah seperti menentukan visi, misi, perancangan, strategi dan polisi berdasarkan perlembagaan kepada seseorang pemimpin yang diyakini dan melengkapi syarat yang sesuai dengan tugasnya.
Jika perkara tersebut tidak terpenuhi seperti pemimpin itu lemah, musayyas (alat politiking), tidak dapat menjalankan tanggungjawab dakwah yang sepatutnya, masih banyak medan amal yang tidak ditangani atau apa-apa keadaan di mana peranan kepemimpinan dakwah tidak terlaksana, sedangkan urusan muslimin semakin hari semakin menuju kehancuran, ketamakan kuffar semakin hari semakin rakus, jika terdapat pada masa itu seseorang yang independent yang memiliki kelayakan dan sokongan, tidak harus baginya mengelak dari tampil untuk mengambil tanggungjawab menyelamatkan agama dan dakwah.
Beliau layak menerima mandat dan sokongan masyarakat tanpa perlu terikat dengan apa-apa tradisi atau tertakluk kepada mana-mana instrumen untuk memberikannya keabsahan kepemimpinan dakwah kepadanya (yakni samada disokong oleh ahli halli wal aqdi atau tidak). Kerana ia melaksanakan tanggunjawab yang wajib untuk menjaga maruah umat dan mempertahankan ketinggian agama Islam.
Ulamak telah sepakat bahawa seorang yang diceroboh wajib membela diri dan maruah walau terpaksa korbankan diri dan begitu juga seseorang yang melihat orang yang dalam kecemasan wajib membantu jika dia mengetahui dirinya memiliki kemampuan tanpa perlu meminta izin daripada penguasa atau sesiapa, maka lebih-lebih lagilah wajibnya seseorang yang independent jika dia tahu dirinya memiliki kemampuan untuk menampilkan diri menyelamatkan agama dan maruah umat yang sedang dalam keadaan bahaya.
Oleh itu saya menyarankan agar semua pihak berpegang kepada keluasan unjuran fikah ini. Setiap kumpulan persiapkan diri masing-masing dengan segala kelengkapan untuk membela agama dan menyelamatkan umat tanpa kita menutup ruang persaingan yang sihat atau terperangkap dengan interpretasi yang silap atau pegangan dari adaptasi yang tidak tepat yang akan menjerumuskan kita dalam perbalahan yang tidak berfaedah serta mematikan ijtihad, daya usaha dan kreativiti sedangkan keadaan begitu mendesak dan memerlukan.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

