|

12 Februari: Ulang tahun ke-61 kesyahidan Hasan Al-Banna

Pada 12 Februari yang lepas, genap 61 tahun syahidnya Imam Hasan Al-Banna, pengasas jemaah Ikhwan Muslimin sebuah organisasi Islam paling berpengaruh di dunia pada hari ini. Ketika dibunuh beliau berumur semuda 43 tahun, namun asas fikrah dan manhaj perjuangan Islam yang beliau asaskan berjaya mengumpul 3-4 juta rakyat Mesir ketika itu dan hingga ke hari ini terus tertanam kukuh dan berkembang pesat mengharungi cabaran sepanjang zaman dan mengatasi pelbagai tentangan.

Kini gerakan Ikhwan Muslimin wujud di lebih dari 100 buah negara di dunia, menyumbang bakti kepada umat Islam dengan penuh kasih sayang di samping tegas dan penuh berani mempertahankan umat dari serangan-serangan sengit musuh Islam dalam pelbagai aspek budaya, sosial, ekonomi, politik mahupun ketenteraan.

Siri rencana dan temuramah mengenai Hasan Al-Banna terbitan stesen setelit Arab berpengaruh, Al-Jazeera (diterjemah ke dalam Bahasa Melayu).

Di antara ciri-ciri keistimewaan dakwah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Imam Hasan Al-Banna ialah:

  1. Menanam fikrah atau kefahaman Islam yang sahih bersumberkan ilmu dari Al-Quran dan As-Sunnah. Tarbiyah adalah perkara yang terpenting dalam dakwah Ikhwan Muslimin. Dengan ini jalan dakwahnya jelas, landasannya terang dari awal hingga ke akhir, anggotanya berkualiti dan teguh, sukar untuk menyimpang dari agenda Islam sendiri yang sahih hingga terpaksa mengikut agenda-agenda pihak lain.
  2. Syumul dakwah Ikhwan Muslimin sama seperti syumulnya Islam itu sendiri, tidak mengabaikan mana-mana aspek pun samada di aspek ruh, jasad mahupun aqal. Dakwahnya juga menggarap semua aspek dan aktiviti ilmiah, riadhah, ekonomi, ikatan ruhani, kebajikan, politik, organisasi dan sebagainya.
  3. Dakwah yang berpijak di alam nyata, menggunakan segala wasilah (cara) terkini dalam menyampaikan Islam yang sahih kepada masyarakat, menekankan pembinaan ilmu dan akhlak ahli, mengutamakan kerja yang praktikal lagi produktif berbanding teori dan perdebatan, kesatuan berbanding perpecahan dalam menggembling tenaga ummah berhadapan dengan cabaran manusia dan zaman.
  4. Pergerakan dan fasa dakwahnya sentiasa serasi dengan sunnah Allah swt terhadap perjalanan alam dan penciptaanNya. Oleh kerana itu usaha dakwah ini dibuat sangat bersungguh-sungguh tetapi meyakini perubahan di dalam masyarakat yang akan berlaku adalah dengan beransur-ansur, tidak memilih corak keganasan atau mengangkat senjata, tetapi menumpu ke arah mendidik jiwa dan menanam keyakinan ked alam hati dan akal orang ramai sehingga jelas kepada mereka akan Islam dan tuntutannya ke atas mereka untuk turut beramal dan memperjuangkannya. Matlamat Islam zaman kini dicapai bukan sekadar berjaya mencari laluan ke Parlimen semata-mata seperti yang difahami ramai pejuang nasionalis maupun islamis, bahkan ia lebih besar dari itu iaitu dengan membina generasi baru Islam yang memiliki keperibadian Islam sejati, membina keluarga Islam yang kukuh, membentuk masyarakat Islam yang peka dan bersedia memikul tanggungjawab menyebarkan dakwah ke seluruh alam. Mereka inilah yang memilih, melahir dan merealisasikan Kerajaan Islam dan Negara Islam yang dicita-citakan oleh Islam.

Semoga Allah swt menerima segala amalan beliau, memaafkan kesalahannya dan memasukkannya ke dalam Syurga Firdaus bersama para nabi, siddiqin, syuhadak dan solehin. Merekalah sebaik-baik teman di akhirat kelak.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku