Ya Allah! Teguhkan umat Palestin
Kejayaan para mujahideen Palestin mengalahkan tentera-tentera Israel pada awal tahun ini masih terasa. Sumber makanan dan senjata adalah melalui terowong-terowong rahsia bawah tanah yang merupakan saluran hayat mereka.
Mereka adalah umat yang dikepung d setiap sempadan negara sejak mereka memilih dan menabalkan HAMAS memenangi pilihanraya pada 25/1/2006 yang lalu, hidup serba kekurangan kerana sekatan, namun masih mampu menggagalkan tekad Yahudi, Amerika, Barat dan Timur untuk mengalahkan benteng pertahanan Gaza, negara sebesar pulau kepada Pulau Pinang. Mereka telah menggagalkan pelan jahat Yahudi dan Barat untuk membunuh kesemua pimpinan dan tokoh masyarakat di dalamnya, seperti yang dilakukan ke atas Saddam Hussein dan tokoh-tokoh sekelilingnya setelah Iraq jatuh ke tangan Amerika.
Musuh-musuh Islam mendapati umat Palestin masih mempunyai makanan dan senjata untuk menyambung kehidupan mereka dengan mulia dan agung jiwa, tidak tunduk hina dan menyerah kepada rancangan jahat penjajahan dan musuh-musuh Allah.
Kini terowong-terowong rahsia yang menghubungkan Gaza di Palestin dengan dunia luar, yang membekalkan makanan dan senjata, sedang cuba dimusnahkan dan dihalang daripada dibina semula. Mesir tunduk dengan arahan Zionis dan musuh-musuh Islam supaya membina tembok bawah tanah sedalam 18 ke 30 meter, untuk mengukuhkan lagi sekatan ke atas Gaza di setiap sempadannya. Hasbunallah wanikmal wakeel!!!

Perancis pula baru melancarkan sebuah satelit dari tanah jajahannya, Guinea, ke angkasa lepas untuk memantau sempadan Mesir-Gaza dan lain-lain tempat strategik di Timur Tengah, mampu menghantar isyarat kepada Kerajaan Mesir mengenai sebarang pergerakan di sempadan tersebut, bagi menghalang bantuan dan bekalan sampai kepada umat Palestin!!!
Tidak cukup Tebing Barat di timur Palestin diasingkan daripada dunia luar melalui pembinaan Tembok Apartheid oleh Kerajaan Israel, kini Gaza di barat Palestin pula akan diasingkan daripada negara kandung sendiri, Mesir dan dunia luar melalui pembinaan Tembok Pemisah Bawah Tanah oleh Kerajaan Mesir sendiri.
Kita menyeru kepada Mahmud Abbas, “Presiden Palestin” yang telah tamat tempoh jawatannya hampir setahun lalu, Presiden Hosni Mubarak dari Mesir dan lain-lain pemimpin yang terlibat agar menarik balik keputusan membina tembok bawah tanah yang zalim dan menyedihkan ini. Ia hanyalah pelaksanaan dari tekad Presiden Bush untuk menghancurkan Gaza di akhir tempoh presidennya pada Disember 2008 lalu, dan tekad Presiden Obama yang mahukan supaya tidak ada sebarang senjata boleh diseludupkan ke dalam Gaza melalui sempadan Mesir.
Kita yakin, sebarang usaha untuk menghancurkan umat Palestin tidak akan berhasil dan akan menemui kegagalan, insyaAllah. Mereka akan terus berpegang kepada kebenaran tanpa tawar menawar atau menyerah. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Akan terus ada di kalangan umat aku, golongan yang terang-terang di atas kebenaran. Mereka tidak akan dimudharatkan oleh orang yang membiarkan mereka, sehinggalah datang ketentuan Allah, sedang mereka masih dalam keadaan sedemikian”. Para Sahabat ra bertanya, “Di manakah mereka ya Rasulullah?” Rasulullah saw menjawab, “Di Baitul Maqdis, dan di sekeliling Baitul Maqdis”.
Moga Allah swt mengurniakan kepada kita jiwa sekental mereka dalam menghadapi kepungan-kepungan yang zalim itu. Moga Allah segera memenangkan umat Islam ke atas musuh-musuhNya dan orang-orang munafik yang berkhidmat untuk mereka. Ameen ya Rabbal Alameen.

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku

