Usahawan-usahawan ISMA kongsi petua di Seminar Pengurusan Kewangan

Kuala Lumpur, 13 Dis. - ISMA telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kuala Lumpur bagi menjayakan Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan (SPKK) bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Seminar ini telah menampilkan beberapa orang tokoh usahawan ISMA yang telah sudi berkongsi rahsia kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan.
Selain ISMA, seminar kendalian PEMBINA ini turut dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Seminar yang dianjurkan berobjektifkan pengurusan kewangan dan keusahawanan itu telah berjaya menarik minat sehingga 500 orang peserta dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Pengurusan kewangan yang semakin dianggap sebagai ilmu yang penting telah dijadikan sebagai satu isu yang perlu dihadapi bersama dan diketahui oleh setiap belia.

Antara tokoh-tokoh usahawan ISMA yang ditampilkan ialah Tuan Hj. Abd. Rahman B. Mat Dali (Timbalan Presiden ISMA dan Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah), Tuan Hj Aminuddin Yahya (Setiausaha Agung ISMA dan Pengusaha Syarikat Jamal, Amin & Partners) dan Ustaz Annuar Salleh (YDP ISMA Hulu Langat & Pengusaha Agensi Takaful Al-Itqan). Perkongsian yang dicurahkan berjaya merungkaikan persoalan-persoalan dan tersalah anggapan masyarakat muslim tentang keusahawanan. Antara nasihat yang diberikan ialah “Bidang usahawan bukanlah milik sesiapa, bukan milik sesuatu bangsa sahaja tapi milik kita semua”, sebagai membidas pandangan serong masyarakat bahawa orang Islam tidak layak berniaga.
Turut sama hadir berkongsi petua pengurusan kewangan dan keusahawanan dalam SPKK ini ialah En. Mohamad Fauzi Bin Abd. Jalil (Pengerusi Eksekutif Iwani Group), Hj. Ahmad Radzi B. Yahaya (Servco Resources Sdn Bhd), wakil daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan wakil daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Seminar Pengurusan Kewangan dan Keusahawanan ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Razali bin Shahabudin selaku Pengarah Bahagian Penyelidikan JAKIM.

