Travelog dakwah ke bumi Eropah (6)
30 Disember 2009
Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 pagi, saya bangun dan bersiap-siap untuk mengerjakan solat subuh di masjid. Sempat saya membaca al-Quran sebelum ke masjid. Di sini solat berjamaah dikerjakan pukul 7.15 pagi.
Hari ini saya akan bertolak ke Southampton. Pagi-pagi lagi Sdr. Azizi dah siapkan sarapan. Setelah selesai sarapan, kami bertolak ke Southampton. Saya, Iqbal, Azizi, Pokcik dan rakan serumahnya bergerak ke destinasi seterusnya.Sebelum itu sempat menziarahi Cardiff Bay melihat keindahan pemandangan. Cuaca kesejukan memaksa kami untuk tidak berada lama di kawasan tersebut.

Perjalanan ke Southampton memakan masa 2 jam 30 setengah dari Cardiff. Itu ikut TomTom la.Sepanjang perjalanan tersebut, banyak perkara yang dibualkan. Terutama bersama Pokcik. Maklumlah dia orang Kepala Batas, dekat dengan kampung saya, lebih kurang 7 kilometer. Ini peluang untuk saya lebih bertaaruf. Dari hal keluarga sampailah kepada isu-isu pelajar di sini. Bagaimana kehidupan para pelajar di bumi UK khususnya.
Bila sebut taaruf teringat tulisan saya tentang Arkanul Usrah. Saya ada menjelaskan betapa pentingnya seorang Naqib memastikan ketiga-tiga rukun usrah itu berjalan bagi mencapai maksud usrah yang sebenarnya. Taaruf penting kerana ia adalah asas dan pintu masuk kepada dakwah. Dengan taaruf jugalah akan berjalan segala rukun usrah yang lain (Tafahum dan Takaful). Taaruf bermaksud setiap ahli mengenali dengan mendalam akh seusrahnya, latarbelakang, keluarga, taraf hidup, perilaku, minat, watak dan sebagainya. Salah satu cara mencapai objektif taaruf ialah dengan berjaulah. Bila berjaulah, kita akan lebih mengenali dan memahami akh kita sebagaimana galakan Rasulullah SAW agar kita bermusafir sekali, bermalam di rumahnya dan makan sekali. Ini adalah wasilah-wasilah yang dapat membantu menjayakan ma’ani-ma’ani usrah. Usrah inilah yang akan menjadi pilar utama bagi pembinaan Islam melalui takween fardi yang teliti dan sempurna.
Berpandukan TomTom, kami pun tiba ke Sothampton untuk menziarahi Sdr. Afif. Dulu dia belajar kat KMS. Dia kenal saya dan ikhwah-ikhwah ISMA kat Seremban ini. Kami dijamu makan pizza. Itulah antara makanan popular kat UK. Sempat juga berkenalan dengan rakan serumahnya seperti Azim, Muhsin. Semuanya ex- MRSM. Masa tidak mengizinkan saya berada lama walaupun rumahnya selesa dan amat menyelesakan. Layanan yang diberikan amat baik. Sepatutnya saya ada sesi talk. Tapi terpaksa dibatalkan kerana saya ingin bergerak ke London.

Kali ini tinggal saya dan Iqbal akan ke London. Perjalanan kami ini melalui lebuhraya yang tidak bertol tidak seperti di Malaysia. Sistem pengangkutan yang lebih baik dan efisien. Banyak topik yang kami bualkan, sesekali kami tersentak dengan nostalgia kenangan indah JUMS 09 menerusi lagu temanya.
Sebiru hati ini, birunya bagai langit terang benderang
Sebiru hati kita, bersama di sini
Seindah hari ini, indahnya bak permaidani taman syurga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah
Bukankah hati kita telah lama menyatu
Dalam tali kisah persahabatan ilahi
Pegang erat tangan kita terakhir kalinya
Hapus air mata meski kita kan terpisah
Selamat jalan teman
Tetaplah berjuang
Semoga kita bertemu kembali
Kenang masa indah kita
Sebiru hari ini
Seindah hari ini, indahnya bak permaidani taman syurga
Seindah hati kita, walau kita kan terpisah…
Sebenarnya saya ada temu janji dengan bekas pelajar saya di sana. Dia menjemput kami untuk makan malam. Di sana nanti kami akan bermalam di Malaysia Hall. Jam pukul 10.15 malam, kami tiba di Malaysia Hall dan check in ke bilik penginapan. Saya sempat bertemu bekas pelajar saya Sdr. Azim. Kami berbual panjang dan besoknya untuk bersarapan. Ingatkan dapat makan malam ke rumahnya, tapi tidak dapat kerana pintu Malaysia Hall akan ditutup jam 11.00 malam.

Alhamdulillah, pagi besoknya saya dan Iqbal bersarapan di rumahnya. Kami makan cucur pisang goreng. Perbualan kami di rumah penginapan mereka tidaklah memakan masa yang lama. Mereka adalah pelajar tajaan Petronas dan sedang buat IB di kolej persediaan di UK selama dua tahun.
Jam sudah pukul 8.15 pagi. Saya meminta izin untuk beredar ke airport. Tiket penerbangan saya pukul 10.50 pagi waktu London. Saya dengan Sdr. Iqbal terus memandu ke Terminal 4, walaupun berpusing-pusing mencari terminal tersebut. Beberapa minit lagi saya bakal meninggalkan bumi UK ini. Sdr. Iqbal ada memberikan duit sumbangan untuk Saudari. Nabilah Huda, pelajar University Jordan yang menghidap sakit dan sedang dalam rawatan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Perumpaan orang mukmin dari sudut kasih sayang dan lemah lembut mereka ibarat satu jasad (tubuh badan), bila salah mengadu satu anggota sakit, maka seluruh anggota lain berjaga dan merasai kesakitannya..”. Memang orang mukmin adalah satu batu bata kuat yang saling memperkukuh antara satu sama lain. Sifat mukmin sebagainya yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan muslim yang lain, maka dia bukan dari kalangan kami..”. Semoga sumbangan pelajar UK kepada Sdri. Nabilah Huda akan menjadi jariah dan timbangan amal yang berat di sisi Allah.
Saya tidak dapat menahan sebak saya untuk meninggalkan bumi UK walaupun kerinduan pada keluarga, isteri dan anak-anak mendalam dalam jiwa saya. Namun ikatan ukhuwwah fillah bersama-sama mereka yang memiliki satu fikrah, satu jalan, satu tarbiyyah tetap utuh dan padu terpahat di sanubari saya. Mereka Gen-Y yang bakal mencorak perubahan negara pada masa akan datang. Saya bersalam dan berpeluk dengan Sdr. Iqbal. Saya katakana padanya: “Moga ISMA UK terus maju dan jaya, jangan jemu berjuang dan kuatkan semangat. Kalau ada masa kita ketemukan semula pada JUMNS10 nanti. Jazakallah atas segalanya..”. Sempat melihat mesej yang dihantar oleh Sdr. Faezudin Dublin. SMS yang memberikan semangat dan kekuatan pada diri saya. Saya membalas mesejnya: “Moga gigih berjuang… ukhuwwah abadan abadaa..’. Jalinan Ukuwwah Mekar Segar (JUMS).

Apa yang boleh saya rumuskan sepanjang Travelog Dakwah ke Bumi Eropah ini ialah:
1. Pengorbanan yang tidak ada tolak bandingnya dalam menjayakan amal dakwah dan tarbiyyah. Pengorbanan demi ingin melihat Islam dijulang semula. Saya berjumpa dengan mereka yang berusia masih muda tetapi pengorbanan mereka amat tinggi terutama bagi menjayakan JUMS09 ini. Ada yang memberikan sumbangan duit, peralatan, kos perjalanan dan sebagainya.
2. Ukhuwwah Islamiah yang tinggi. Ukhuwwah yang tidak dibataskan dengan batasan usia, negeri dan bangsa. Ukhuwwah ini tidak akan lahir melainkan jika diikat dengan ikatan iman dan akidah. Ikatan iman dan akidah adalah sekuat-kuat ikatan dibandingkan dengan ikatan keluarga dan nasab.
3. Travelog atau kembara atau jaulah adalah wasilah tarbiyah yang berkesan dalam mencapai makna ukhuwwah dan taaruf. Kembara islami adalah kembara ukhawwi, tarbawi, imani bagi membina jiwa pejuang yang kental, tahan lasak dan mampu menghadapi kesulitan.
4. Kesabaran dan ketabahan menghadapi kesusahan dan kepayahan. Jalan dakwah, adalah jalan yang satu, jalan para nabi a.s, jalan yang menuntut pengorbanan dan kesabaran. Tanpa kesabaran tidak mungkin dakwah ini akan menang. Dakwah ini hakikatnya perlukan kesabaran. Kesabaran bersama mad’u, sabar dengan fitnah dan mehnah, sabar dalam ketaatan dan menjauhi kemaksiatan.

5. Taaruf adalah mekanisme penting dalam menambat hati mad’u terutama dalam menjayakan dakwah fardiyyah. Setinggi mana mendalam seni taaruf sang daie, maka setinggi itulah hasil dakwah akan diperolehi. Hati-hati manusia keras dan menjadi kewajipan setiap daie membuka hati tersebut dengan penuh kasih sayang dan cinta mencintai. Bertaaruflah dengan sesiapa yang anda temui dan berkenalanlah dengannya.
6. Tarbiyyah dan tarbiyyah… tarbiyyahkan kehidupan kita dengan acuan Islam. Di mana-mana, di setiap ketika, pada setiap masa. Kehidupan ini antara dua tarbiyyah. Jika tidak dibasahkan dengan tarbiyyah Islamiah, maka ia terdedah dengan tarbiyyah jahiliah. Hidupkan lingkungan islami (Bi’ah Islamiah) pada setiap suasana. Tarbiyah adalah berdepan dengan realiti kehidupan. Tarbiyyah bukan setakat mencatat, menulis, mendengar tetapi setiap gerak geri, perlakuan, amal, semuanya adalah tarbiyyah.
7. Dakwah ini perlu kepada amal bertanzim. Dakwah tidak akan tegak tanpa secara amal jamaie. Dakwah secara amal jamaie adalah merupakan satu kefardhuan syarak dan keperluan masyarakat. Kekuatan jahiliyyah tidak akan dapat diruntuhkan melainkan dengan kekuatan Islam secara jamaie. Dakwah ini adalah kesinambungan perjuangan para nabi dan rasul, berdiri atas basiroh dan wudhuh al-manhaj (method yang jelas).
8. Di bumi Eropah inilah lahirnya pemimpin yang hebat. Nama-nama besar bekas Perdana Menteri negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak,Tun Hussein Onn adalah graduan UK. Dato’ Seri Wan Azizah dicatat sebagai pemenang Anugerah Gold tahun 1977 di RCSI Dublin. Di sini jugalah pemimpin harakah Islam muncul, yang lahir dari gerakan IRC, Suara Islam, MISG yang sekarang menjawat jawatan ahli parlimen, pemimpin pakatan, aktif di dalam PAS atau Keadilan. Mereka sebahagiannya terpengaruh dengan gerakan IM terutama dari Ikhwan Sudan ketika itu. Moga dari sini jugalah akan lahir pemimpin umat yang hebat satu hari nanti walaupun bumi ini bumi penjajah.
Semoga sedikit catatan ini menjadi satu perkongsian dalam amal dakwah.

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban
Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan


alhamdulillah…format baru ni boleh comment tanpa register!