Tautan Hati 2 satukan para remaja muslimah di Kedah

Jitra, 12 Dis. - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kedah sekali lagi telah berjaya menganjurkan satu program sempena musim cuti sekolah khusus untuk golongan remaja muslimah yang dinamakan “Tautan Hati 2” dengan tema “apa yang penting… KERJASAMA!” Program yang berkonsepkan ukhuwwah dan santai ini merupakan siri kedua yang mendapat permintaan ramai selepas “Tautan Hati” siri pertama yang telah berlangsung pada 12 Jun yang lalu.
Program separuh hari ini berjaya menghimpunkan para pelajar muslimah daripada pelbagai sekolah di sekitar Kedah seperti Maktab Mahmud Alor Star, Maktab Mahmud Pokok Sena, SMK Jitra, SM Teknik Alor Star, SMK Seri Ampang, SMK Tun Sharifah Rodziah dan sebagainya. Rata-rata peserta mendapat informasi daripada rakan-rakan yang pernah menghadiri program “Tautan Hati”.

Seperti biasa, program dimulakan dengan sesi “ice breaking” memandangkan para peserta mempunyai latar belakang yang berbeza. Ini disusuli acara yang paling ditunggu-tunggu iaitu sukan air. Walaupun letih dan lenguh kaki mengayuh bot, namun para peserta kelihatan gembira sekali. Dalam keriangan, para fasilitator tidak lupa menyelitkan beberapa pengajaran yang diperoleh daripada aktiviti ini seperti memupuk sifat sabar, kerjasama dan memiliki matlamat serta halatuju dalam setiap tindakan.
Usai melepaskan lelah, program diteruskan dengan aktiviti “team building”. Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Bertepatan dengan temanya iaitu “apa yang penting… KERJASAMA!” beberapa aktiviti dijalankan bagi memupuk semangat kerjasama di antara para peserta. Kemudian, satu tazkirah ringkas telah disampaikan oleh saudari Suriani daripada ISMA Australia yang sudi memeriahkan program KRIM Kedah ini.
Program “Tautan Hati 2” diakhiri dengan perkelahan di tepi tasik. Sebelum bersurai, setiap peserta menerima bingkisan hati yang berbentuk surat dari kalangan mereka sendiri. Walaupun program ini tidak memakan masa yang lama, namun diharapkan para peserta mendapat pengajaran daripada setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga ukhuwah yang terjalin akan terus bersemi buat selamanya, insyaAllah.
Sumber: Blog ISMA Kedah

