|

Setahun berlalu: Gaza terus ditindas

Masa berlalu pantas, tanpa disedari oleh kebanyakan dari kita, semalam genaplah setahun operasi ketenteraan besar-besaran tentera Israel terhadap Gaza. Operasi yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1500 terkorban yang mana kebanyakannya adalah orang awam yang terdiri daripada wanita, golongan tua dan kanak-kanak. Ribuan lagi cedera dan masih menderita, infrastruktur asas seperti hospital, sekolah, balai polis, pejabat kerajaan kebanyakannya dimusnahkan dan lebih malang lagi, kekejaman, sekatan dan kepungan masih lagi beterusan hingga hari ini tanpa apa-apa tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa.

Walaupun perang telah berakhir, traumanya masih berterusan terutamanya terhadap kanak-kanak. Ramai yang enggan ke sekolah kerana trauma menyaksikan sekolah mereka dibedil dan ada antara rakan-rakan mereka yang terbunuh di depan mata. Mangsa bom kimia masih lagi menderita kesakitan yang tiada taranya, anak-anak yatim piatu masih tiada pembelaan, pendek kata, rakyat Gaza benar-benar menderita.

Kegagalan masyarakat antarabangsa dan badan dunia serta kuasa-kuasa besar mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah perang Israel dan menamatkan kepungan terhadap Gaza adalah amat mengecewakan. Sekatan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas masyarakat benar-benar menghimpit rakyat Gaza sehingga saat ini. Mesir yang bersempadan dengan Gaza melalui pintu Rafah juga masih enggan memberikan kerjasama, bahkan dilaporkan Mesir sedang dalam proses untuk memasang tembok bawah tanah bagi menghalang penyeludupan bahan-bahan asas melalui terowong-terowong yang menjadi talian hayat bagi rakyat Gaza.

Sehingga kini rata-rata pemimpin dunia hanya mampu bersidang, memberi kecaman dan tekanan tanpa apa-apa tindakan yang konkrit. Semuanya tunduk kepada desakan pelindung besar negara haram Israel, negara mana lagi kalau bukan Amerika Syarikat. Pemimpin-pemimpin dunia Islam pula terutama pemimpin-pemimpin Arab juga seakan membisu, bahkan mereka lebih suka menyalahkan Hamas sebagai punca konflik yang berterusan.

Israel juga tidak langsung peduli dengan kecaman dunia kerana mereka tahu kuasa veto sentiasa akan memihak kepada mereka. Dengan ini, mereka terus menyekat hak-hak asasi manusia di Gaza, menghalang kemasukan bekalan asas, menyekat kehidupan mereka dengan tembok apartheid malah serangan ketenteraan juga masih berterusan walaupun dalam skala yang lebih kecil. Tanpa berselindung, Israel ternyata telah melakukan jenayah perang dan mereka adalah pengganas paling besar yang berselindung disebalik nama operasi ketenteraan.

Umat Islam harus sedar dengan situasi ini, tanggungjawab membantu saudara kita di Palestin adalah tanggungjawab setiap muslim, bukan hanya tanggungjawab orang Palestin dan bukan juga khusus kepada bangsa Arab sahaja. Kita harus bangkit memboikot segala cara hidup tajaan Yahudi yang merosakkan. Tidak cukup dengan sumbangan kewangan dan doa sahaja, umat Islam harus beriltizam untuk menjadi muslim yang benar-benar mengamalkan islam dalam kehidupan. Inilah cara terbaik untuk kita mengalahkan Yahudi.

Oleh: Mohd Hisham Mohd Sharif,
ISMA Kedah
Sumber: Blog ISMA Kedah