|

Nilai seorang naqib atau murabbi

Sememangnya sudah diketahui oleh kalangan aktivis-aktivis Islam bahawa usrah merupakan tiang utama di dalam binaan sesebuah organisasi Islam. Usrah merupakan sekolah integrasi yang melaksanakan proses pendidikan melalui proses pengajaran dan pembelajaran berbentuk ideal. Usrah juga merupakan muntalaq (langkah permulaan) untuk melaksanakan tugas dakwah di dalam masyarakat.

Peranan usrah melibatkan usaha penyediaan, pengembangan dan pembinaan bagi memenuhi tuntutan amal Islami. Usrah juga adalah institusi bersepadu yang berjalan di dalamnya proses pertukaran fungsi dan peranan, pengumpulan data dan maklumat, menonjolkan bakat dan kebolehan serta tempat menerima arahan dan laporan antara pimpinan dan anggota.

Kejayaan di dalam menguruskan usrah dan melaksanakan program serta mempraktikkan manhaj akan membawa kepada pengembangan organisasi dan mencapai matlamat Harakah Islamiah (jangka pendek dan jangka panjang). Pengukur kejayaan di dalam membangunkan proses pentarbiyahan, pengajaran dan pengurusan terbit dari kejayaan dalam menguruskan sistem usrah. Kejayaan dalam menguruskan sistem usrah akan memberikan impak yang tidak dapat disangkal lagi di dalam membina organisasi dan mempersiapkannya dengan persiapan tarbawi dan idari (pengurusan).

Jika sekiranya binaan usrah kukuh dan bersepadu, maka binaan organisasi akan bertambah kuat, instrumennya mengikat kukuh dan sempurna, amat sukar dirobohkan binaan dan digugat pilar-pilarnya. Salah satu rukun yang menjayakan amal organisasi dan binaan pengurusannya ialah berdasarkan kepada ukuran kejayaan di dalam mengendalikan usrah dan sistem penyampaiannya yang baik (delivery system).

Justeru jentera terpenting yang memastikan kelancaran dan kejayaan usrah ialah NAQIB. Naqib memainkan peranan yang cukup besar kerana dia adalah mas’ul yang pertama atau murobbi kepada anggotanya. Dia adalah qudwah, contoh ikutan di dalam pergaulan dan perilaku. Manakala dari sudut pengajaran, dia merupakan guru, pengajar yang bertanggungjawab kepada ikhwannya dalam mendidik mereka tentang pemikiran Islam, asas–asas Syariah, seni dakwah, seni berharakah di dalam masyarakat.

Pada masa yang sama ia mengambil peranan anggota usrahnya sebagai seorang pelajar, murid dan jundi (tentera). Melalui proses give and take (memberi dan menerima), organisasi terbina menjadi kesatuan yang kuat, padu dan berkeupayaan melaksanakan polisi organisasi dan tuntutan dakwah dan harakah.

Ada 9 peranan atau tugas yang mesti digalas oleh seorang murabbi di dalam mengendalikan usrah iaitu:

1. Tazkir (memberi peringatan)
2. Ta’lif (proses menyatukan hati)
3. Ta’dhid (memperkukuh dan memperkasa)
4. Tahrik (proses memobalisasi)
5. Tatwir (mengembang)
6. Takhtit (merancang)
7. Taqwim (menilai)
8. Tausil (proses penyampaian)
9. Tadwin (dokumentasi)

Ketujuh-tujuh proses ini akan saya huraikan pada tulisan seterusnya.

Photobucket
Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban

Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan