|

Mina – Bumi iman dan perjuangan

Dalam suasana khusyuk mengerjakan manasik (rukun dan wajib haji atau umrah), bumi Mina adalah tempat tersimpannya detik-detik dan lipatan sejarah Islam yang sukar untuk dilupakan. Pengajaran yang terkandung di dalamnya kekal penting untuk umat Islam, khususnya buat golongan pendakwah, hingga ke Hari Pembalasan.

Di antara pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa-peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di Mina ialah:

(1) Kekasih Allah, Nabi Ibrahim a.s. ingin melaksanakan arahan Allah s.w.t menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s. dengan penuh taat yang bulat tanpa sedikit pun rasa teragak-agak. Kita hanya mampu mendakwa menjadi kekasih Allah apabila dapat melaksanakan ajaranNya dengan penuh taat yang bulat tanpa teragak-agak atau berlengah. Ini termasuk menghiasi dan membaiki diri dengan ibadat dan akhlak Islam dan seterusnya mengajak dan berdakwah orang lain kepadanya dengan segenap tenaga dan masa walau terpaksa menghadapi tentangan ribuan manusia termasuk yang berkuasa.

(2) Keimanan, kesabaran dan ketaatan Nabi Ismail a.s. dan ibunya, Hajar dalam membiarkan Nabi Ibrahim a.s. melaksanakan perintah Allah s.w.t menyembelih anaknya di depan mata kepala mereka sendiri. Hajar yang telah membesarkan Nabi Ismail a.s. bersendirian di padang pasir tanpa kehadiran suaminya yang bertugas dakwah di Palestin atas perintah Allah s.w.t dikatakan bersama Nabi Ismail a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. turut melontar Syaitan yang cuba memujuk Nabi Ibrahim a.s. agar tidak melaksanakan perintah Allah s.w.t tersebut! Walaupun Nabi Ibrahim a.s. di antara rasul yang tidak mempunyai ramai pengikut, namun berjaya mendidik dan memiliki isteri dan anak yang sebegini tahap iman dan ketaatan kepada Allah adalah di antara kejayaan Baginda yang paling ketara. Bagaimana pula dengan isteri dan anak-anak kita sekalian? Bagaimana ibadah mereka di masjid, bacaan majalah mereka, isi perbualan dan jenis kawan sepergaulan mereka dll?

(3) Usaha Nabi s.a.w membuka medan dakwahnya di luar kota Mekah yang pintunya hampir tertutup dek tekanan yang dahsyat di luar peri kemanusiaan. Dalam umur Baginda s.a.w yang lanjut, Baginda s.a.w masuk ke khemah-khemah di Mina tanpa letih dan putus asa menawarkan diri kepada kabilah-kabilah untuk berhijrah ke tempat mereka demi menegakkan Islam bersama. Kabilah yang menolak, rugi hinga ke hari ini. 6 orang Madinah yang menerima tawaran Nabi s.a.w berbahagia hingga ke Hari Kiamat lantaran menjadi benih awal satu Tamaddun Islam Antarabangsa yang tiada tolok bandingnya. Madinah sendiri dilawati jutaan manusia setiap tahun dewasa ini. Ini balasan orang yang yakin dengan dakwah sejak di awal harinya. Jika kita menolaknya, untuk mendapat kerehatan yang sedikit, kerugiannya akan kita rasai di kemudian kelak, berbulan, bertahun atau berdekad nanti, nauzubillah.

(4) Enam orang Madinah yang memeluk Islam pulang ke Madinah untuk bekerja siang malam mengajak manusia lain sehingga mencapai bilangan beberapa ratus orang Sahabat r.a! Di Mina tahun berikutnya, datang 12 orang wakil menghadap Nabi s.a.w dan berlakunya Bai’ah Aqabah I yang memfokus tarbiyah diri dan masyarakat seperti tidak mensyirikkan Allah, tidak membuat persaksian palsu dsb. Dengan erti kata lain menubuhkan “Kementerian Pendidikan” di negara Islam Madinah. Nabi s.a.w mengutus Mus’ab bin Umair r.a. untuk pulang bersama mereka ke Madinah untuk membantu mendidik dan menazirkan pendidikan di sana.

(5) Di Mina pada tahun berikutnya, 73 lelaki dan 2 wanita Islam dari Madinah datang mengerjakan Haji dan bertekad mengajak Nabi s.a.w berhijrah ke bumi mereka. Nabi s.a.w hanya bersetuju jika ditubuhkan “Kementerian Pertahanan” di Negara Islam Madinah. Maka berlakulah Bai’ah Aqabah II di mana Nabi s.a.w dipertahan dan dilindungi oleh para Sahabat dan mujahideen Madinah sepertimana mereka melindungi isteri dan anak-anak mereka. Dengan ini kedaulatan negara Islam Madinah direalisasikan di bumi Mina, bukan sahaja berdepan dengan Quraisy di Mekah tetapi berdepan dengan Kuasa Besar Rom di Barat dan Kuasa Besar Parsi di Timur.

(6) Mina menyangkal peranan wanita hanya di rumah atau persekitarannya sahaja. Kehadiran Nusaibah binti Kaab dan Asmak binti Amru dalam Baiah Aqabah II dan kehadiran mereka di Perang Uhud demi mengotakan janji di Baiah Aqabah II adalah bukti bahawa wanita terlibat sama dalam jihad ini menentang kuffar dan munafikiin pada hari ini. Jihad perang dihadapi dengan senjata, manakala perang ideologi dan politik dihadapi dengan hujah dan keterangan.

Hari ini Mina kembali lengang tanpa orang, menunggu pengunjung para tetamu Allah setahun yang mendatang. Jutaan manusia yang mengisi khemah-khemahnya sedikit masa lagi akan kembali pulang ke rumah masing-masing yang lebih selesa dikelilingi sanak saudara. Walau telah jauh beribu batu di tanahair masing-masing, namun hati jutaan manusia yang merindui keampunan dan syurga Tuhannya tetap terpaut di Mina dan persekitarannya.

“Ya Allah, jangan Engkau jadikan ini kunjungan kami yang terakhir di tempat yang mulia ini. Kurniakan kami dapat kembali kepadanya berulang kali, banyak kali…”(Doa Wadak / Selamat Tinggal).

Oleh: Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Naib Presiden I,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku