Kenyataan Ikhwan berhubung pembinaan tembok besi di sempadan Gaza-Mesir
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang,
Kenyataan Ikhwanul Muslimin berkenaan pembinaan besi keluli antara Gaza dan Mesir serta tindakan menghalang konvoi bantuan kemanusiaan dari memasuki Gaza.
Ikhwanul Muslimin sedang mengikuti dengan dukacita pengepungan berterusan Semenanjung Gaza selepas setahun serangan tidak bertamadun Israel yang menggunakan kesemua jenis senjata haram yang disokong oleh Amerika Syarikat dan NATO di tengah-tengah kebisuan semua kerajaan dan regim Arab. Di sebalik segala resolusi yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab yang menegaskan betapa harusnya pengepungan tersebut dihentikan, pengepungan itu tetap berlanjutan.
Malangnya, pengepungan itu berterusan dengan kerjasama Mesir! Ini menambah penderitaan rakyat Palestin apabila adanya dinding keluli, direka dan dipasang oleh Israel dan Amerika Syarikat, dibina di sempadan antara Mesir dan Gaza di bawah alasan palsu bahawa dinding tersebut untuk keselamatan negara Mesir.
Kelangsungan keselamatan negara Mesir sebenarnya memerlukan tentangan hebat terhadap ancaman Israel, bekerja dan menyokong rakyat Palestin dalam pendirian mereka dan menghentikan pengepungan terhadap Gaza.
Pihak berkuasa Mesir menghalang konvoi bantuan kemanusiaan dari memasuki Gaza di bawah sebab-sebab yang daif dan kontroversi.
Adalah tanggungjawab hakiki, nasional, kemanusiaan dan perundangan untuk kita membantu saudara kita yang terkepung dan memerlukan, kerana perjuangan Palestin adalah perjuangan semua orang Arab dan Muslim, dan Baitulmaqdis merupakan salah satu tempat paling suci bagi kita serta satu setengah juta penduduk yang mendiami Gaza adalah saudara kita. Mereka adalah manusia seperti kita dan adalah salah untuk mengepung, mencederakan, menjadikan mereka kebuluran dan mencekik mereka, terutama selepas kehancuran besar-besaran Semenanjung Gaza akibat serangan berat sebelah yang dilancarkan Israel tahun lepas, yang menjadikan mereka kehilangan tempat berteduh, makanan, ubat-ubatan dan rawatan kesihatan.
Presiden Republik tersebut telah menyatakan sebelum ini bahawa beliau tidak akan membiarkan rakyat Palestin kebuluran dan banyak ulamak telah melarang pembinaan dinding “maut” tersebut.
Sudah sampai masanya kita menolak arahan-arahan Amerika Syarikat dan Israel, sebaliknya menjalankan tanggungjawab kita, takut kepada Allah dan bekerja dengan ikhlas untuk menyelamatkan perjuangan ini serta nyawa saudara kita di Gaza.
Oleh itu kami menuntut perkara-perkara berikut:
- Menghentikan pembinaan dinding maut ini supaya tidak terlibat dalam jenayah tersebut.
- Kemasukan segera konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
- Pembukaan berkekalan pintu masuk Rafah sebagai pusat pemeriksaan sempadan yang biasa, dan ini akan seterusnya menyelesaikan masalah penyeludupan dan lain-lain.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (Al-Maidah: 2)
Ikhwanul Muslimin
Kaherah: 9 Muharam 1431 Hijrah
26 Disember 2009
Sumber: Ikhwanweb
Penterjemah:
Lufti Abbas bin Bidin
Wartawan/Penulis
Media ISMA


