Jambori Remaja Muslim Johor gegar kaki Gunung Pulai

Pontian, 19-20 Dis. - Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Johor telah berjaya menggegarkan kaki Gunung Pulai dengan mengadakan satu aktiviti cuti sekolah yang dinamakan Jambori Remaja Muslim Johor. Jambori yang dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menggabungkan konsep outdoor dan keagamaan ini telah diadakan di Nurfa Farmstay, sebuah lokasi kem berkonsepkan agrikultur yang terletak di Kampung Sawah, Pekan Nenas, Pontian.
Pagi Sabtu menyaksikan ketibaan 86 orang peserta yang datang dari seluruh pelosok negeri Johor, termasuklah lebih 20 orang peserta dari Singapura. Para peserta dari Singapura ini dibawa masuk atas ehsan dan kerjasama NGO PERDAUS (Persatuan Pelajar Dewasa) cawangan Singapura yang diketuai oleh Encik Khairuddin. Kem dimulakan dengan sesi taklimat oleh Encik Ismail Bin Ali, moderator kem yang juga Pengerusi KRIM Johor. Encik Ismail menekankan tentang betapa pentingnya kesedaran diri dalam melaksanakan perubahan kepada sikap yang lebih positif, bukan hanya bergantung kepada fasilitator atau moderator untuk mengubah diri peserta. Kem diteruskan dengan aktiviti ice breaking yang dijalankan oleh Ketua Fasilitator, saudara Hanif Bin Nor Azhar.

Selepas solat Zohor, para peserta dihidangkan dengan santapan rohani berupa ceramah jati diri berunsurkan keagamaan yang disampaikan oleh moderator kem. Encik Ismail menekankan aspek moraliti dan kesedaran sosial melalui penekanan keagamaan, menggunakan video dan lagu bermesejkan Islami. Kem diteruskan lagi dengan aktiviti Program Tarbiah Amali sejurus selepas solat Asar di Masjid Jamik Kampung Sawah. Program ini memerlukan para peserta kem untuk merasai sendiri pengalaman berdakwah dengan mengajak penduduk Kampung Sawah untuk menghadiri majlis agama yang akan diadakan pada malam itu selepas waktu Maghrib. Sehubungan dengan itu, satu ceramah agama bertemakan Maal Hijrah, telah disampaikan oleh Ustaz Hanif, pegawai daripada Unit Dakwah, Pejabat Agama Islam Pontian.
Malam kem diserikan dengan kehadiran Encik Mohd Hisham bin Jaafar, yang lebih mesra digelar Pak Uteh, yang merupakan seorang motivator dakwah tetap KRIM Johor. Pak Uteh menggunakan pendekatan audio visual untuk menyedarkan peserta berkenaan masalah sosial dan menanamkan prinsip agama Islam yang teguh dalam sanubari peserta.

Hari kedua Jambori Remaja Muslim Johor dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah dan bacaan zikir al-ma’thurat yang dipimpin oleh saudara Hairul Anuar. Tazkirah Subuh juga tidak ketinggalan diadakan sebagai peringatan pagi. Slot riadah diketuai pula oleh saudara Safarol Akmar yang sememangnya berkepakaran dalam memimpin aktiviti kecergasan diri. Peserta-peserta jambori seterusnya bergerak ke kaki Gunung Pulai 2 untuk slot explorace dan mendaki gunung dengan menaiki bas. Terdapat 4 check point yang perlu dilalui oleh semua kumpulan dengan pelbagai aktiviti dan input yang disampaikan. Para peserta juga berkesempatan untuk menikmati mandi air terjun di sana.
Majlis penutup Jambori Remaja Muslim Johor telah diadakan selepas solat Zohor dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Asy-Syeikh Ustaz Fauzi bin Bachok yang telah memberikan ucapan perasmian penutup. Setiausaha ISMA Johor, Ustaz Wan Azli Wan Abdullah turut menyampaikan ucapan sebagai mewakili Tuan Haji Tahir Hamdan, YDP ISMA Johor. Slot salam perpisahan mengakhiri jambori kali ini dengan peserta-peserta saling bersalam-salaman diiringi nasyid doa perpisahan. Akhir sekali, semoga program yang singkat ini mendapat keberkatan dan jalinan ikatan muslimin akan terus berkekalan.
Sumber: Blog KRIM Johor

