|

Isu surau dibakar – ISMA seru semua pihak beri perhatian sewajarnya

22 Januari – Belum pun reda isu pembakaran gereja rentetan daripada kontroversi keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald menggunakan kalimah Allah di dalam terbitan mereka, kini berlaku pula insiden pembakaran dua buah surau di Muar. ISMA memandang isu pembakaran surau ini dengan penuh keprihatinan dan menyeru agar semua pihak memberi perhatian yang sewajarnya, sama seperti yang berlaku kepada gereja.

Ketika mengulas mengenai isu ini, Presiden ISMA iaitu Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman mengungkapkan rasa sedih dan kesal beliau kerana insiden pembakaran dua buah surau di Muar ini seolah-olah disambut dingin oleh semua pihak, tidak seperti kes pembakaran gereja tempoh hari. Hampir tiada kenyataan yang bermakna dari mana-mana pihak sama ada parti pemerintah atau pembangkang untuk menunjukkan perasaan inkar umat Islam terhadap perbuatan tersebut. Begitu juga NGO-NGO sama ada Islam atau Kristian juga senyap seperti tiada apa yang berlaku.

“Pada pandangan saya kes pembakaran surau ini sesuatu yang tidak boleh diterima oleh sesiapa pun tidak kira agama. Tetapi kenapa semua orang membisu – kecuali satu dua kenyataan sahaja – seolah-olah tiada siapa yang berasa sensitif dan kesal dengan kejadian itu. Sedangkan sewaktu insiden pembakaran gereja, semua pihak bergegas ke tempat kejadian dan kenyataan mengutuknya sambung-menyambung. Kerajaan juga serta-merta mengumumkan bantuan RM500 ribu untuk gereja. Malangnya apabila surau yang dibakar tiada siapa yang bertindak.”

“Adakah sensitiviti kita dalam menjaga perasaan orang Kristian lebih kuat daripada menjaga perasaan orang Islam sendiri?”

Encik Zulkiplee di lokasi kejadian di Surau Silaturrahim.

Dalam insiden awal pagi tadi, dua buah surau di Muar dipercayai telah dibakar dengan menggunakan minyak tanah dalam dua kejadian berasingan yang berlaku dalam jarak kira-kira dua kilometer di Surau Silaturrahim, Jalan Ismail dan Surau Kampung Parit Beting, Jalan Salleh. Wakil ISMA di Muar, Encik Zulkiplee Hassan telah berkesempatan menziarahi lokasi kejadian di Surau Silaturrahim, Jalan Ismail bagi melihat sendiri kesan kebakaran tersebut.

Media-media massa perdana juga dilihat kurang berperanan menyiarkan isu pembakaran surau ini dan tidak menjadikannya sebagai berita utama seperti kes pembakaran gereja. Mungkin mereka beranggapan peristiwa ini tidak membawa nilai berita yang tinggi kerana mengetahui bahawa semua orang termasuk umat Islam sendiri tidak akan mengambil apa-apa tindakan.

Reaksi umat Islam terhadap insiden pembakaran surau ini sebenarnya merupakan manifestasi kepada tahap sensitiviti mereka terhadap kesucian rumah ibadat mereka sekaligus maruah sendiri. Sebagai seorang Islam yang mempunyai ghirah terhadap agamanya sepatutnya kekesalan kita terhadap pembakaran surau ini lebih kuat daripada pembakaran gereja. Tetapi apa yang kelihatan tidak seperti demikian.

Perkembangan ini sekaligus mengundang persoalan serius yang perlu difikirkan bersama, iaitu adakah umat Islam yang terlalu bersifat toleransi dan tidak mahu menimbulkan kekecohan, atau mereka langsung tidak menyedari peristiwa yang berlaku, atau lebih teruk lagi mereka sememangnya tidak kisah atau sensitif dengan isu ini?

Mohd Firdaus Sabturani
Ketua Pengarang
Media ISMA