ISMA Mesir anjur Solat Hajat sempena musim imtihan
Mesir - ISMA Mesir telah membuka tirai 2010 ini dengan Siri Program Solat Hajat sempena peperiksaan yang bakal tiba. Program bagi siswi Pengajian Islam dan perubatan kawasan Madinat Nasr diadakan pada 31 Disember di Bait Zinnirah manakala bagi siswi perubatan kawasan Sayyeda Zainab dan Mounira, program dijalankan pada 1 Januari di Bait Khaulah. Di Tanta, majlis dianjurkan di kediaman Ustaz Tarmizi, Imarah Melayu, Siberbay pada 2 Januari.
Program di Tanta bertujuan memberikan suntikan semangat kepada pelajar Malaysia di sana yang akan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang pada bulan Januari ini. Dalam masa yang sama ia dapat merapatkan ukhuwwah sesama hadirin melalui tentatif yang diatur oleh pihak penganjur. Agenda bermula pada pukul 7.30 malam dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, saudara Shihab Rashidee. Dalam ucapan pembukaan, saudara Shihab telah memperkenalkan barisan kepimpinan ISMA Mesir cawangan Tanta diketuai saudara Mohd Fuad Zaki bin Hisham.
Agenda diteruskan dengan sesi taaruf dan solat hajat yang diimamkan oleh saudara Arif Ariffin. Selepas itu hadirin diisi dengan slot tazkirah motivasi dan tausiyat oleh saudara Munawwar Abd Rahman. Antara perkara penting yang ditekankan adalah mengenai kepentingan ilmu untuk masyarakat Malaysia, saling menasihati, berlapang dada dalam ukhuwwah, serta kesungguhan dalam menuntut ilmu. Seterusnya, hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid ringkas yang diketuai oleh saudara Muawwidz Al-Ansori, diikuti slot Palestin ringkas yang dikendalikan oleh saudara Syamil Esa yang diisi dengan perkembangan terbaru di Palestin dan kuiz ringkas. Setelah selesai, hadirin dihidangkan makanan malam yang disediakan oleh pihak penganjur.
Kehadiran yang mencapai hampir 70 orang yang terdiri daripada bidang dirasat dan perubatan itu telah menjadikan majlis lebih meriah dan bermakna. hadirin yang datang dari seluruh Tanta merangkumi Makrad, Kafr Isom dan Siberbay. Majlis berakhir pada pukul 9.30 malam, dan para hadirin pulang kesemuanya pada pukul 10.15 malam.

Di Madinat Nasr, program bermula dengan iftar jamai’e diikuti solat Maghrib berjemaah. Kemudian, diikuti dengan tadarus Surah Al-Kahfi dan solat Isyak bersama. Solat hajat didirikan menyusul selepas itu dengan penuh pengharapan kepada Allah agar mengurniakan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Selepas memanjatkan doa pada Allah, hadirin dihidangkan tazkirah yang disampaikan saudari Mardhiyyah Zamani. Beliau mengingatkan hadirin agar meningkatkan usaha dan berdoa dengan berungguh-sungguh untuk kejayaan yang dihajati. Majlis yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang.
Di Sayyeda Zainab pula, program bermula dengan solat Maghrib berjemaah diikuti dengan solat hajat dengan harapan semoga Allah mempermudahkan segala urusan dalam menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang bakal diduduki lewat bulan ini. Program seterusnya digamatkan dengan kuiz berkumpulan sekitar matapelajaran yang diambil khususnya untuk tahun satu, dua dan tiga perubatan.Walaupun sekadar kuiz, namun tertera di situ pelbagai hikmah yang boleh diambil. Sudah lumrah kehidupan, seorang manusia pastinya tidak mampu mengejar tampuk kejayaan tanpa adanya kerjasama. Kelemahan seorang individu ditampung oleh kelebihan individu yang lain sekaligus menjadikan kita tegar berhadapan apa jua rintangan.
Majlis seterusnya menyaksikan tazkirah pendek oleh saudari Raihana Zainal Abidin yang mencerahkan semangat hadirin untuk menggunakan segala masa dan peluang yang ada untuk belajar bersungguh-sungguh kerana Allah semata-mata. Amanah yang digalasi serta sifat ihsan yang diamali seharusnya menjadikan kita bersungguh-sungguh dalam setiap perkara memandangkan hidup di dunia fana ini hanya sementara buat mengutip bekalan penerusan kehidupan abadi di akhirat kelak. Usaha keras tanpa pedoman menjadikan kita sesat, maka kepada Allah sahaja kita percaya dan menjadi tempat pergantungan.
Rata-rata hadirin memberikan respon positif apabila ditanya mengenai perjalanan program. “Ringkas, tetapi penuh makna terutamanya kuiz yang mengingatkan saya bahawa ilmu itu seharusnya di dada, bukannya di buku,” ujar seorang siswi perubatan tahun 3 yang mengaku dirinya sedikit terlupa akan matapelajaran tahun-tahun lepas. Seorang siswi jurusan Syariah tahun 2 pula berkata, “saya akan lebih bersungguh-sungguh dalam berusaha dan berdoa. Saya juga tidak akan lupa untuk mendoakan kejayaan khusus buat sahabat-sahabat yang lain”.
Peperiksaan yang bakal tiba boleh dijadikan pengukur kefahaman kita dalam belajar dan kemantapan pengurusan diri dari segenap aspek. Ketekunan dalam melaksanakan kewajipan seorang hamba turut dinilai, maka ayuhlah kita bergerak meningkatkan prestasi diri.
Sumber: Laman ISMA Mesir

