ISMA bersama gabungan NGO bantah manipulasi kalimah Allah
Saudara Zaim Shaari suarakan pendirian ISMA
Bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersama gabungan NGO-NGO Islam yang lain telah mengadakan perhimpunan di beberapa lokasi di seluruh negara. Di Kuala Lumpur, satu perhimpunan umum yang didokong oleh 50 NGO telah dianjurkan di Masjid Jamek Kampung Baru yang akhirnya melahirkan Deklarasi Keharmonian Hubungan Antara Agama Masjid Jamek Kampung Baru. Perhimpunan Perpaduan Ummah ini telah dihadiri oleh kira-kira 300 orang jemaah solat Jumaat.
Selain ISMA, NGO-NGO lain yang menyokong deklarasi tersebut ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Allied Coordinating Committee Of Islam Non-Government Organisations, Malaysia (ACCIN), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan lain-lain pertubuhan.
Perhimpunan dimulakan di perkarangan masjid selepas selesai solat Jumaat di situ dengan laungan takbir dan kata-kata penentangan yang diucapkan oleh setiap wakil NGO. AJK Pusat ISMA, Saudara Zaim Shaari menjadi wakil ISMA dalam melahirkan kebimbangan terhadap dakyah yang ditimbulkan oleh puak Kristian ini. Kebanyakan orang ramai yang hadir turut membawa sepanduk-sepanduk yang menunjukan bantahan terhadap isu ini. Setelah itu, satu sidang media terbuka telah diadakan di atas pentas bersebelahan. Saudara Zaim menjelaskan pendirian ISMA secara ringkas terhadap isu ini kepada wakil-wakil media, antaranya TV9, NTV7, Bernama, Awani dan wakil-wakil media antarabangsa yag lain.

Menurut beliau, “Kita akan lebih menekankan soal memberi pendidikan kepada anak-anak kerana sekiranya isu ini berterusan, ianya akan memberi implikasi masa panjang pada generasi muda yang tidak mengerti apa-apa, apatah lagi pegangan serta akidah mereka ini longgar. Dakyah ini perlu dihentikan, mereka perlu berpegang pada perlembagaan dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini”
Deklarasi Keharmonian Hubungan Antara Agama Masjid Jamek Kampung Baru kemudian dibacakan oleh Setiausaha Agung ABIM Raimi Ab. Rahim.
Perhimpunan Perpaduan Ummah yang diajurkan oleh NGO-NGO Islam pada Jumaat 8 Januari 2010 bersamaan 22 Muharram 1431H di Masjid Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur telah sepakat menyatakan deklarasi seperti berikut:
- Menyedari keharmonian hubungan antara agama merupakan asas penting dalam pemeliharaan keamanan dan perpaduan rakyat Malaysia.
- Menyedari bahawa keamanan negara perlu dipelihara dan dipertahankan.
- Menyedari bahawa sensitiviti penganut agama Islam perlu dihormati dan dijaga dengan seutuhnya.
- Menerima hakikat Islam adalah agama Persekutuan dan Perlembagaan dibuat berdasarkan hakikat ini.
- Menginsafi bahawa Perlembagaan Malaysia telah meletakkan agama Islam di tempat yang istimewa dan perkara ini telah dipersetujui oleh semua penganut agama dan semua bangsa di Malaysia.
Maka dengan ini kami mendesak dan menuntut:
1. Penganut agama lain tidak mempertikaikan kemuliaan dan keagungan Allah baik dari sudut nama dan sifatnya, kemuliaan Rasulullah dan risalah yang dibawanya.
2. Penganut agama lain menghormati segala syiar Islam yang meliputi perlakuan dan ibadah, tempat-tempat suci, pakaian dan juga perlambangan.
3. Mengiktiraf dan menghormati segala institusi agama Islam seperti Majlis Raja-Raja, Mahkamah Syariah dan Majlis Fatwa serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.
4. Mengiktiraf sepenuhnya dan menerima setulusnya kedudukan agama Islam dalam perlembagaan negara.
5. Menghormati dan mematuhi prinsip perlembagaan yang menyentuh tentang larangan penyebaran agama lain kepada penganut agama Islam.
6. Menghentikan segala tuntutan yang berkaitan dengan agama Islam yang boleh menganggu dan mengguris perasaan orang Islam dan menggugat keselamatan negara.
7. Permasalahan diselesaikan di luar mahkamah.
Semua pihak dalam negara ini bertanggungjawab dalam memelihara keamanan dan perpaduan rakyat demi kebaikan negara.
Di Seremban, ISMA bersama Gabungan Pertubuhan Islam di Negeri Sembilan turut mengadakan Perhimpunan Perpaduan Ummah Negeri Sembilan di Masjid Jamek, Seremban selepas solat Jumaat. Perhimpunan tersebut bertujuan untuk menyatakan bantahan dan memberi penjelasan kepada umat Islam di negeri ini berhubung isu kalimah Allah itu. Perhimpunan yang turut disertai oleh para jemaah yang hadir termasuk wanita dan kanak-kanak berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Selepas itu, satu memorandum telah diserahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Besar NS, Datuk Abdullah Abas yang mewakili Tuanku Muhriz di Istana Hinggap. ISMA NS telah diwakili oleh Ustaz Mohd Azizee bin Hasan, Yang Di-Pertua ISMA Seremban. Turut sama hadir ialah beberapa orang pimpinan NGO-NGO lain serta wartawan-wartawan daripada media perdana. Memorandum yang sama juga telah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 6 Januari 2010.
Di Kuantan, satu perhimpunan membantah manipulasi kalimah Allah juga diadakan di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan selepas solat Jumaat. Antara NGO-NGO yang terlibat ialah ISMA, JIM, NADWAH, PKIMP, YAYASAN AMAL, HALUAN, GPMS, KERIS, Majlis Belia dan PEKIDA. Perhimpunan dijalankan selepas solat hajat beramai-ramai selepas solat Jumaat untuk meminta Allah memelihara umat Islam daripada sebarang fitnah. Majlis berjalan selama 30 minit dengan ucapan daripada pemimpin-pemimpin NGO di perkarangan masjid.
Meskipun hujan renyai-renyai, orang ramai berpusu-pusu untuk melibatkan diri dan melaungkan Allahu Akbar dengan bersemangat. Bantahan secara aman tersebut telah menyatakan kepada umum agar kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi perlu dihormati dan sensitiviti umat Islam perlu dihormati. Pihak NGO Islam juga telah menyediakan 5,000 keping risalah untuk diedarkan di Masjid Negeri dan beberapa masjid serta surau lain di sekitar Kuantan.



[...] : ISMAWeb Powered By WordPress Tabs [...]