ISMA Australia erat silaturrahim dengan organisasi-organisasi setempat

Ferryden Park, 20 Dis. - Satu pertemuan istimewa antara wakil-wakil Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Australia dengan wakil-wakil daripada Masyarakat Islam Indonesia Australia Selatan (MIIAS), Ikatan Remaja Islam South Australia (IRISA) dan Federation of Australian Muslim Student and Youth (FAMSY) Cawangan South Australia telah diadakan di kediaman Pengerusi ISMA Australia, Dr Mohamad Zaki Ibrahim di sini.
Pertemuan berbentuk santai di kediaman Dr Zaki ini dikelolakan bersama khusus untuk mengeratkan silaturrahim sesama organisasi yang terlibat. ISMA Australia diwakili oleh Dr Zaki sendiri, Saudara Samsu Nordin dan Saudara Furqan mewakili MIIAS, Saudara Safwan selaku wakil dari FAMSY SA, serta Saudara Riduan daripada IRISA. Sesi pertemuan ini dipengerusikan oleh Saudara Saifuddin Khalid.
Dalam sesi pertemuan ini, Dr Zaki mengalu-alukan kerjasama erat antara organisasi untuk mencapai matlamat yang sama untuk membangkit dan menghidupkan suasana Islam sesama individu Muslim di Australia tanpa mengira latar belakang bangsa dan rumpun. Di samping itu, beliau turut kagum dengan keunikan rumpun masyarakat Malaysia dan Indonesia yang hampir sama bahasa dan budaya, serta berharap agar agar keunikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kerjasama kelak.
Saudara Samsu Nordin dalam ucapannya pula menegaskan bahawa hubungan silaturrahim dan kerjasama padu antara organisasi amat perlu supaya beban dakwah dapat dipikul bersama. Beliau juga berharap agar lebih ramai generasi muda dapat ditampilkan ke hadapan sebagai penggerak dan pemimpin dengan membawa kelengkapan ilmu dan nilai-nilai Islam yang tinggi, di samping penerusan perpaduan sesama masyarakat Islam dapat dikekalkan sepanjang masa.
Wakil-wakil organisasi juga berpeluang menceritakan latar belakang organisasi masing-masing dan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Rata-rata program-program yang dianjurkan oleh setiap organisasi hampir sama, walaupun sasaran kumpulan yang agak berbeza.
Sumber: Laman ISMA Australia

