|

Imam As-Syahid Hasan Al-Banna dan Gerakan Ikhwan

Hasan Al-Banna lahir di kota Al-Mahmudiyah,  Wilayah Al-Buhairah, Mesir, pada tahun 1906. Ayahnya bernama Ahmad Abdurrahman Al-Banna, salah seorang ulama dan aktivis dakwah, yang memiliki kepakaran dalam ilmu-ilmu sunnah dan menghasilkan banyak karangan buku terutama dalam ilmu-ilmu hadits seperti kitab “Al-Fathu Ar-Rabbani li Tartiibi Musnad Al-Imam Ahmad”. Ayah Hasan Al-Banna juga memiliki keahlian dalam pekerjaan membaiki jam, kerana itu beliau memiliki julukan “Sa’ati”.

Hasan Al-Banna membesar dalam rumah yang kaya dengan ilmu dan kebaikan, mendapatkan ilmu pertamanya di Sekolah Ar-Rosyad Ad-Diniyah, kemudian melanjutkan pengajian sekolah menengah (SMP) di kota Al-Mahmudiyah. Dan pada saat usia belia beliau sudah memiliki kecenderungan dengan amal Islam secara organisasi, sehingga mendorong beliau mendirikan Jam’iyyah Al-Khalaq Al-Adabiyay (lembaga sosial tentang akhlak dan etika) bersama dengan teman-temannya di sekolah, kemudian mendirikan “Jam’iyah Man’u Al-Muharramat” (lembaga sosial mencegah perbuatan haram),  sebagaimana beliau juga mengenal tarikat sufiyah “Al-Hashofiyah, sehingga dirinya dapat memahami akan nilai-nilai zuhud, sofa dan tajarrud.

Setelah itu Imam Hasan Al-Banna berpindah ke Dar Al-Mu’allimin di kota Damanhur pada tahun 1920, dan menyelesaikan hafalan Al-Qur’an di sana (ada yang menyebutkan bahawa beliau hafal Al-Qur’an pada usia 14 tahun). Beliau juga aktif dalam gerakan nasional melawan penjajahan saat itu.

Pada tahun 1923 Hasan Al-Banna berpindah ke Kaherah dan mendaftarkan diri dalam kuliah di Dar Al-Ulum, Universiti Cairo. Di sana beliau membuka wawasannya lebih luas lagi; ditambah dengan penglibatan beliau dalam tariqah “Al-Hashofiyah”, beliau juga selalu mengunjungi maktabah (perpustakaan) salafiyah dan majlis ulama Al-Azhar, dan beliau mengajak semuanya untuk segera melakukan kerja islami dengan pelbagai macam sarana.  Dan beliau juga terus melakukan usaha dakwah kepada Allah dan mengerah fikiran terhadap dakwah tersebut. Beliau mengajak kawan-kawannya untuk berdakwah di pelbagai majlis, kedai kopi, dan kelab-kelab pertemuan.

Setelah Hasan Al-Banna menyelesaikan kuliahnya di Dar Al-Ulum pada tahun 1927, beliau ditugaskan menjadi guru di salah satu sekolah di kota Al-Ismailiyah berdekatan dengan daerah Terusan Suez, dan di sana beliau mulai meniti hidupnya menjadi guru. Namun beliau juga banyak berinteraksi dengan masyarakat dan menyampaikan dakwah di kedai kopi dan masjid, sambil berusaha dengan gigih menyebarkan dakwah Islam dan mendirikan asas dakwah yang memiliki ciri khas tersendiri. Pada saat itu berkumpul 6 orang Al-Ikhwan melakukan mu’ahadah (perjanjian) yang bersepakat mendirikan harakah Islamiyah yang mereka namakan sebagai ”Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun”, iaitu pada bulan Zulkaedah tahun 1347, atau bertepatan dengan bulan Mac tahun 1928.

Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun memiliki ciri khas tersendiri sejak awal penubuhannya; memiliki prinsip kembali pada dua sumber asal Islam iaitu kitab dan sunnah, melepaskan diri dari pelbagai pertikaian dan khilafiah mazhab. Dan Imam Al-Banna memfokuskan usahanya bagi mengerahkan tenaga dan potensi untuk membina generasi yang beriman dan memahami Islam secara benar dan syumul; bahwa Islam adalah agama dan negara, ibadah dan jihad, syariat dan perlembagaan, agama yang menyusun kehidupan umat manusia seluruhnya dari pelbagai sisi; tarbiyah, ekonomi dan politik.

Pada tahun 1932 Imam Al-Banna pindah ke Kaherah, dan dengan berpindahnya beliau ke sana maka ibu pejabat Al-Ikhwan Al-Muslimun juga pindah ke sana. Di Kaherah, beliau banyak melakukan rehlah memantau aktiviti masyarakat di desa dengan ditemani oleh ikhwan yang lain yang baru dibina, bagi memberikan pelajran kepada mereka akan akhlak dakwah sehingga dapat memiliki kemampuan melakukan dakwah secara maksimum pada masa yang akan datang. Dan beliau memantau aktiviti dakwah secara terus menerus dan teliti, sehingga dakwahnya tersebar ke pelbagai penjuru kota dan desa di Mesir.

Imam Al-Banna juga menerbitkan majalah mingguan Al-Ikhwan Al-Muslimun, dan majalah An-Nadzir, serta beberapa risalah, sebagaimana beliau juga menyusun buku dan meletakkan perhatian khusus terhadap tarbiyah dan penyebaran dakwah melalui media dan tulisan serta pembentukan jamaah sehingga membantu penyebaran dakwah ke pelbagai negara Islam dan negara-negara di dunia.

Imam Al-Banna bercita-cita menjadikan harakah yang didirikannya tidak hanya sebagai harakah tempatan sahaja; iaitu di negara Mesir sahaja, namun menjadi harakah global sebagaimana dakwah Islam pada zaman Rasulullah saw dan Khulafa Rasyidin. Kerana itu kita dapati pada tahun 40-an harakah ini telah tersebar ke pelbagai negara Arab. Dan setelah itu tersebar ke pelbagai negara Islam yang memiliki perhatian tehadap dakwah di pelbagai daerah dan negara. Imam Al-Banna mengirim utusan ke pelbagai negara untuk melihat, memantau dan mengetahui kondisi umat Islam. Adapun ibu pejabat jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun yang terletak di Kaherah menjadi tempat berkumpulnya umat Islam dari seluruh penjuru dunia yang pada ketika itu sebahagian besar dunia Islam berada dalam genggaman penjajah asing; di antaranya adalah pemimpin gerakan kemerdekaan dari Afrika Utara dan Yaman, India, Pakistan, Indonesia, Afghanistan, hingga para pemimpin dari negara Sudan, Somalia, Syria, Jordan, Iraq dan Palestin.

Adapun isu Palestin memiliki perhatian khusus di hati Imam Al-Banna. Dan beliau memiliki pandangan yang mendalam dan wawasan yang luas akan bahaya yang ditimbulkan oleh Yahudi di sana, kerana itu Al-Ikhwan Al-Muslimun sejak awal terjadinya revolusi Palestin pada tahun 1936, mereka menjadi para penyeru yang memberikan peringatan dan mengajak kepada kemerdekaan di negara Arab. Dan ketika pasukan Arab masuk ke bumi Palestin pada tahun 1948, pasukan Al-Ikhwan Al-Muslimun turut serta bergabung dalam kelompok sukarelawan dan mereka masuk melalui Tebing Barat dari negara Mesir dan Timur dari negara Syria, dan mereka melakukannya dengan baik.

Setelah itu Barat mengeluarkan ultimatum kepada pemerintah Mesir untuk membubarkan jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun dan menangkap para aktivisnya yang ikut melakukan jihad sekembalinya mereka dari perang. Hal tersebut terjadi setelah dilakukan gencatan senjata dan ditandatangani perjanjian damai. Sementara itu pemerintah Mesir melakukan rencana untuk membunuh Imam Hasan Al-Banna, dan melalui perintah tangan besi Faruq, Imam Hasan Al-Banna terbunuh, yang terjadi di salah satu jalan di kota Kaherah, pada tanggal 14 Rabiul Awal tahun 1368 bersamaan dengan tanggal 12 Februari tahun 1949.

Namun sekalipun mursyid pertama Al-Ikhwan; Imam Hasan Al-Banna telah terbunuh, tidak mampu menghentikan gerakan jamaah Al-Ikhwan itu sendiri, meskipun para anggota jamaah ditangkap beramai-ramai, namun mereka tetap berusaha keluar dari ujian yang berat dan keras tersebut untuk ikut berperang menentang penjajah Inggris di Terusan Suez pada tahun 1951.

Dan harakah Imam Al-Banna “Al-Ikhwan Al-Muslimun” terus meluas dan bercambah hingga ke seluruh dunia, menyebarkan ideologi Islam yang fundamental di tengah-tengah pengaruh ideologi barat yang merosak, dan pada hari ini kita dapati bahawa ideologi Islam yang dipelopori beliau banyak terkandung dalam kitab-kitab harakah di tengah masyarakat. Bahkan menjadi suatu keharusan dalam gerakan dakwah Islam untuk berjuang ke arah penerapan Islam dalam pelbagai sisi kehidupan; baik bermasyarakat, ekonomi dan politik, hingga di hadapn musuh-musuh Islam sekalipun, mendorong mereka untuk berjihad di jalan Allah untuk menegakkan kalimah Allah dan mendirikan hukum Allah di muka bumi.

Dan jika terdapat di dunia Islam saat ini teori yang berpandangan adanya harakah Islam yang menisbatkan dirinya pada dakwah dan tarbiyah saja tanpa amal siasi (politik), atau memfokuskan pada amal  ketenteraan sahaja tanpa tarbiyah dan dakwah untuk menuju amal siasi; maka pandangan tersebut merupakan suatu penyimpangan dalam konsep dan pengalaman yang telah dilalui harakah Al-Ikhwan Al-Muslimun. Kerana pandangan yang dilontarkan oleh Imam Al-Banna dibangunkan diatas prinsip syumuliyah (universal) dan tawazun (seimbang) terutama dalam pembinaan syakhsiyah Islam dan harakah Islamiyah. Kerana itu pembinaan Islam tidak akan terlaksana kecuali terdapat di dalamnya unsur-unsur Islam; seperti aqidah dan syari’ah, suluk (akhlak) dan politik, ibadah dan hukum serta jihad di jalan Allah.

Dan di atas dasar-dasar itulah Rasulullah saw menegakkan Islam pada zaman awal pembentukannya dan di atas itu pulalah bangunan Islam berdiri, sebagaimana pula diikuti oleh Imam Al-Banna dan jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimun, seterusnya di atas asas-asas itu pula diharapkan harakah Islam yang lain pada hari ini berjalan mengikuti langkah-langkah mereka.

Disunting dari: Al-Ikhwan.net