Fitrah pengukuh fikrah
Tatkala kita melihat perjalanan sirah Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati bahawa pembentukan yang dilalui oleh baginda adalah pembentukan seorang penda’wah dan pejuang. Ramai yang membaca sirah Rasulullah s.a.w., menganalisa sirah dan ibrah yang berkaitan, namun tidak ramai yang mampu untuk konsisten dengan melihat konteks tarbiyyah yang dilalui baginda oleh Allah s.w.t. sebagai tarbiyyah seorang pejuang, tarbiyyah seorang jundiy dan abdi buat Allah s.w.t.
Beberapa perkara mudah yang boleh saya bawakan sebagai contoh:
1. Perkembangan Rasulullah s.a.w. di perkampungan Bani Sa’ad: kebanyakan kita akan melihat bahawa perkembangan jauh dari hiruk-pikuk kota Mekkah adalah amat baik kerana udaranya lebih segar, bahasanya lebih tulen, bebas pencemaran etc. Namun lebih lagi dari itu, kita melihat bagaimana baginda s.a.w. dapat berada dalam perkembangan yang bebas dan bercambah tahap pemikirannya kerana pendedahan kepada lebih banyak aktiviti asasi kehidupan – menternak, bercucuk tanam, bergaul, hidup lasak dan berdikari etc – agar dapat memastikan kemandirian masing-masing. Pengalamannya terhadap punca rezeki akan lebih mendasar, tidak bergantung kepada cabang-cabang trading atau skills yang begitu khusus hingga menjerumuskan kepada kerosakan akhlak. Aktiviti hariannya berkisar permainan bersama budak-budak kampung, bukan bersama anak-anak pembesar yang mewah, bergaya, lagak dan seumpamanya. Nilai harga diri adalah pada kekuatan sendiri dan prinsip, bukan keturunan dan material.
2. Sifat berdikari yang dipupuk untuk mencari rezeki dengan menggembala kambing: Adapun nilai paling jelas adalah kesungguhan untuk tidak bergantung kepada sesiapa untuk mendapatkan rezeki, sebaliknya untuk terus berdikari bagi menjalani kehidupan. Lebih dari itu, kita melihat kepayahan yang dilalui Rasulullah s.a.w. mendidik baginda untuk mencapai sesuatu dengan sabar melalui jalan kepayahan. Sekalipun pak cik baginda s.a.w. adalah antara pemuka Quraish, namun ia tidak mengambil mudah. Inilah essence dalam memahami jihad. Perjuangan bagi menampung diri sendiri akan membawa kepada perjuangan bagi menampung keperluan ummat.
3. Membesar sebagai yatim piatu: Isi utama pastilah bahawa untuk memastikan tarbiyyahnya bukan dari ibu dan ayah Rasulullah s.a.w. tetapi daripada Allah s.w.t. Selain itu juga, agar kebergantungan baginda s.a.w. adalah kepada Allah s.w.t. bukan pada keluarga dan kaum kerabatnya. Namun, panjangkan lagi fikiran kita, akan kita lihat penanaman perasaan “Aku harus usahakan, kerana tiada yang lain akan mengusahakan asbab untuk mendapatkan natijahnya bagiku”. Satu kebiasaan yang dihadapinya menyebabkan Rasulullah s.a.w. senantiasa berfikir untuk mengusahakannya, bukan menunggu orang lain membantunya.
4. Dan banyak lagi yang lain. Saya cadangkan anda membaca Pengajaran dan Pedoman dari Sirah Rasulullah s.a.w. tulisan Mustafa Siba’i, Fiqh Sirah oleh Syeikh Al-Ghazali, Fiqh Sirah oleh Syeikh Ramadhan al-Butiy dan selainnya yang anda tahu.
Hasilnya, adalah perjuangan tanpa henti. Rasulullah s.a.w. berterusan melaksanakan urusan da’wah ini sehingga akhir hayat baginda s.a.w. Kerana fitrah seorang pejuang kehidupan telah menjadi pengukuh kepada fikrah Islam yang diterima Rasulullah s.a.w. melalui wahyu Allah s.w.t. Jadi, tidak sukar untuk baginda s.a.w. menerjemahkan maksud jihad, maksud qanaah, maksud bisaathoh, maksud zuhud, maksud tadhiyyah(pengorbanan), maksud setia dan segala maksud yang diperlukan bagi seorang pejuang. Kerana sifat itu semua telah sebati sebelum Rasulullah s.a.w. diturunkan wahyu dari Allah s.w.t.
Lantas, beberapa praktikal yang perlu kita be aware of dalam usaha tajmik dan tarbiyyah; perhatikan tarbiyyah fitrah bagi membentuk keperibadian yang sesuai untuk menghadapi beberapa cabaran asasi seperti:
1. Kebiasaan keluar rumah – agar mudah kelak kita mengajaknya ke program-program yang seringkali tidak di buat di belakang rumahnya atau di rumah kawan-kawan karibnya. Di sini peranan membawa keluar makan bersama, ke kedai bersama, ke pejabat pos/Tenaga/Telekom/etc bersama amat membantu. Rehlah ke sungai/laut/hutan juga amat membantu.
2. Cercaan dan ‘kataan’ – kerana kelak ia akan menghadapi terjahan dari rakan-rakan, di kata oleh ibu ayah, dikata oleh abang adik etc. Maka jiwanya perlu kuat. Maka di sini penting untuk kita tidak terlalu memanjakannya dalam urusan hidupnya seperti perlu pergi membeli bantal dan selimut jika baru masuk IPT, tak perlu kita usahakan kereta untuk segera mengangkutnya di luar pasaraya, sebaliknya, ajak sahaja naik kenderaan awam, biar dia tahan membawa bantal dan selimut di hadapan awam. Tiada salahnya. Tapi kalau lokasi terlalu jauh, bas yang biasa untuk ke lokasi sangat dhaif dan ada hal-hal lain yang benar-benar menyebabkan ini tak lojik, maka carilah kereta untuk membantunya; tapi janganlah sampai perlu menyewa kereta cantik sedang kita ada kereta tak beraircond lampu isyarat pecah dan cat sudah pudar, redah sahaja.
3. Ketahanan fizikal: kerana kita tahu untuk berda’wah kelak dan untuk terus komited dengan usrah, program dan seumpamanya memerlukan ketahanan. Lebih-lebih lagi jika kita masih mahu mereka dan kita tsabat setelah tamat belajar dan di alam pekerjaan. Maka, di sinilah kita lihat peranan mukhayyam dan muaskar begitu penting. Juga perkhemahan bagi adik-adik yang baru. Ini semua akan membiasakan ia dengan suasana payah, letih, jauh dari rumah, kurang kelengkapan dan seumpamanya. Latihan sebegini yang berterusan akan membiasakan mereka dengan ketidak cukupan waktu-waktu program kelak. Jika muaskar/mukhayyam/perkhemahan dianjurkan dengan segala kelengkapan seperti sudu garpu pinggan cawan serba satu, tuala, bilik mandi berair panas, makanan berbuah, kek, coklat dan segalanya, maka hilanglah essence tarbiyyah ketahanan untuk mereka.
Dan ada pelbagai lagi untuk anda semua fikir-fikirkan. Sebab itu menjadi amat penting untuk setiap ikhwah dan akhwat memahami mengapa wasilah-wasilah seperti mukhayyam, muaskar, jaulah, rehlah, daurah dan seumpamanya digunakan dalam tarbiyyah. Agar maksud tarbiyyah itu tercapai, sesuai dengan keperluan pembentukan seorang pejuang.
Oleh: Mohd Shahril Atiqi Mohamed Sharip
Ketua Biro Pembangunan Insan
ISMA Australia (Victoria)
Sumber: Laman ISMA Australia


