Diari korban di Acheh 2009
Pada 28 November 2009 yang lepas, Ustaz Sharipudin bin Abd. Kadir (YDP ISMA Kelantan) dan Encik Mohd Razib bin Ab. Rahim (Pengerusi KRIM Kelantan) telah menyertai rombongan ISMA Pusat yang diketuai oleh Ustaz Wan Hisham bin Wan Embong (Sekretariat Dakwah dan Sosial ISMA) dan Yayasan Ar-Raudhah Malaysia telah bertolak ke Acheh untuk menghantar sumbangan qurban daripada rakyat Malaysia kepada faqir miskin di Acheh.
Berikut adalah catatan perjalanan oleh YDP ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin:

Kami bertolak ke Medan jam 7 malam dengan Air Asia dan seterusnya ke bandar Lhokseumawe, Acheh dengan bas pada malamnya yang memakan masa selama lebih kurang enam jam. Di bandar Lhokseumawe kami menginap di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhah. Rumah anak yatim ini dikenali dengan nama Yayasan Pondok Yatim Ar-Raudhah, Blang Weu Panjoe, Lhokseumawe, Acheh.
Rumah anak yatim ini merupakan rumah anak yatim kelolaan ISMA Malaysia dan Yayasan Ar-Raudhah. Sebanyak 14 ekor lembu dan 20 ekor kambing telah disembelih untuk dibahagikan kepada anak yatim dan faqir miskin.

Upacara korban ini berlangsung selama tiga hari bermula hari pertama Eidul Adha hingga tiga hari berikutnya. Menurut Ketua Yayasan Pondok Yatim Ar-Raudhah Blang Weu Panjoe, Lhokseumawe, Encik Hamdani, haiwan-haiwan qurban ini merupakan bantuan daripada pelbagai pihak terutamanya dari Yayasan Ar-Raudhah Malaysia, ISMA Malaysia dan PKPU Lhokseumawe.
Selain aktiviti rombongan ISMA dengan anak-anak yatim sepanjang tiga hari berada di sana, kami juga berkesempatan mengadakan lawatan ke tempat berlakunya tsunami pada hari terakhir lawatan ke Acheh.

Perjalanan diteruskan lagi dari bandar Lhoksemawe ke Banda Acheh. Perjalanan malam memakan masa sekitar enam jam dan menjejaki bumi Acheh seawal subuh. Kami dijemput oleh wakil PKPU Banda Acheh ke pejabatnya. Di sini juga ditempatkan 10 orang anak yatim tsunami. Kami dimaklumkan terdapat lebih 300 rumah anak yatim di seluruh Acheh yang ditaja oleh pelbagai badan amal dan yayasan dalam dan luar negara.
Setelah berehat untuk beberapa ketika, tepat jam 9 pagi kami dibawa melawat ke tempat-tempat penting untuk melihat kesan tsunami. Antaranya sebuah masjid di persisiran pantai yang masih kekal dengan binaan asal walaupun bangunan-bangunan lain di sekelilingnya telah ranap. Beberapa keluarga yang berada di dalam masjid terselamat walaupun pada mulanya mereka berpisah.

Dalam perjalanan meronda sekitar Banda Acheh, kami terpegun melihat sebuah kapal tangki berada jauh di daratan. Kapal tersebut telah dihumban ke darat sejauh 5 kilometer semasa badai tsunami melanda. Ianya dikekalkan tempat asal oleh pemerintah Indonesia dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Kami sempat mengambil beberapa gambar sebagai kenangan perjalanan kami ke Acheh. Apa yang penting ialah imbasan kembali suasana ketika badai tsunami melanda. Dikatakan ombak setinggi pokok kelapa dengan ganas menghempap bumi Acheh. Suasana hiruk-pikuk dan huru-hara yang tidak dapat dibayangkan oleh pemikiran manusia kecuali bagi mereka yang berada dalam suasana tersebut. Peristiwa ini seharusnya menjadi satu tazkirah penting untuk kita semua, bagaimana suasana Hari Qiamat dan Hari Mahsyar yang telah dijanjikan oleh Allah Taala. Di bawah ini dipaparkan keadaan yang amat menyayat hati selepas tsunami.

Sumber: Blog ISMA Kelantan

