Bagaimana merealisasikan Rukun Usrah?
Di dalam ‘Risalatur al-Usr’ dinyatakan bahawa “usrah terdiri daripada 5 orang, ini bilangan paling minima untuk satu fikrah yang mahu melaksanakan segala aktiviti usrahnya seperti mengkaji dan menyebar fikrahnya, mengoperasikan sistem tarbiyah fizikal, intelektual dan spiritual, mengikuti perkembangan semasa, mengkaji setiap peristiwa tersebut, mengeluarkan arahan, menerima arahan-arahan dari pimpinan dan melaksanakan tuntutannya dan memiliki pengetahuan mendalam tentang perkara-perkara lain. Boleh dikatakan usrah merupakan unit kecil Ikhwan Muslimun.”
Syeikh Muhammad Abduh di dalam bukunya Maza Ya’ni Intimai Li ad-Dakwah menyatakan seperti berikut:
Pertama: Taaruf
Kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas yang menjamin kejayaan pilar ini ialah:
* Merasakan makna ukhuwwah yang sebenar dan sempurna antara kamu.
* Bersungguh-sungguh agar tidak ada sesuatu pun yang mengeruhkan kemurnian ikatan kamu.
* Selalu membaca dan meneladani ayat-ayat dan hadis-hadis. Jadikan ia pusat perhatianmu – ‘berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah berpecah belah’ (Ali-Imran: 103), ‘sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara’ (Hujurat: 10).
Kedua: Tafahum
* Istiqamah di atas manhaj kebenaran.
* Laksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan apa yang dilarangNya.
* Evaluasilah (muhasabah) diri kamu dengan dengan teliti atas ketaatan dan kemaksiatan kamu.
* Hendaklah salah seorang dari kamu memberi nasihat kepada saudaranya apabila melihat keaiban saudaranya.
* Setiap akh menerima nasihat saudaranya dengan penuh gembira dan sukacita.
* Akh yang memberi nasihat harus menjaga hatinya agar tidak berubah sedikit pun terhadap saudaranya yang dinasihati. Dia tidak boleh merendahkan kelemahan saudaranya atau merasakan dirinya lebih baik dari saudaranya.
* Hendaklah dia menyimpan rahsia kelemahan saudaranya selama sebulan dan tidak menyampaikan kepada sesiapa pun kecuali kepada ketua usrah (murobbi) jika dia tidak mampu untuk memperbaikinya.
* Dia berterusan mencintai, menghormati dan mengasihi saudaranya.
* Saudara yang dinasihati tidak boleh berdegil atau keras kepala dan berubah hati kepada saudaranya yang memberi nasihat sekecil mana sekali pun.
Ketiga: Takaful
* Sentiasa saling tolong-menolong dan meringankan beban saudara kamu.
* Berjanji untuk menunaikan tanggungjawab sesama kamu dengan saling bertanya dan melakukan kebaikan.
* Proaktif untuk membantu saudaranya jika ada kesempatan.
* Renungkan sabda Rasulullah SAW: “Seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari dia beriktikaf di masjidku selama sebulan..”

Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban
Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan


