|

‘IT Camp for Kids’ cetus daya kreativiti di kalangan kanak-kanak

Ayer Keroh, 8 Dis. - Bagi memastikan cuti sekolah yang panjang ini dimanfaatkan sebaiknya, Kelab Nadi Asybal wa Zahrawat ISMA (NAZIM) Melaka dengan kerjasama Little Caliphs Tadika al-Fateh telah menganjurkan ‘IT Camp for Kids (Part 1)’ bertempat di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh. Program sehari yang julung-julung kalinya diadakan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta-peserta sekolah rendah di sekitar Melaka.

Anak-anak merupakan amanah Allah kepada ibu bapa, mereka umpama sebutir permata yang belum digilap. Justeru itu, ibu bapalah yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilauan. Di dalam membentuk keperibadiannya, anak–anak perlu dibesarkan dengan nilai keperibadian Islam sebagai Khalifah Allah. Dari itu, program yang telah dianjurkan oleh NAZIM Melaka khusus buat adik-adik peringkat rendah ini adalah bertujuan untuk membentuk keperibadian mereka sesuai seperti yang digariskan Islam selain membekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan yang mereka perlukan. Program berbentuk indoor ini telah mendapat sambutan yang begitu mengalakkan sehingga penyertaan terpaksa ditutup sebelum tarikh program.

Program sehari ini bermula seawal jam 8.00 pagi di mana peserta mendaftarkan diri sebelum mendengar taklimat dan motivasi pagi yang disampaikan oleh Puan Lailayati selaku Pengarah Program. Slot ini telah membuka mata dan mengetuk hati para peserta dengan tayangan video yang mengisahkan perbandingan antara keselesaan hidup yang dikecapi oleh kanak-kanak di Malaysia dengan kesempitan hidup kanak-kanak di negara mundur dan mengalami peperangan. Di akhir tayangan, rata-rata peserta menyatakan bahawa kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah yang tidak dapat dirasai oleh semua orang.

Photobucket Photobucket Photobucket

Program diteruskan dengan slot ‘Pengenalan kepada Komponen Komputer dan Microsoft Words 2007’ yang disampaikan oleh Dr. Faridah. Slot yang berlangsung selama satu jam diselang-seli dengan latihan praktikal ini dirasakan terlalu sekejap dan kesungguhan mereka jelas terpancar dengan latihan yang dilakukan sebaik mungkin.

Usai mengalas perut, peserta didedahkan pula dengan ‘Microsoft Power Point 2007’ oleh ‘Teacher Salmi’ selaku tutor yang bertanggungjawab. Di akhir penyampaian, mereka diberi tugasan untuk menyediakan satu slide show setiap orang bertajuk ‘Kenali Rakan di IT Camp NAZIM’ . Hasilnya amat menakjubkan dan teserlah kekreatifan mereka dengan pelbagai bentuk slide show yang dipamerkan.

Perut yang mula berkeroncong tika jam hampir menginjak 1 tengahari kemudiannya diisi dengan menu yang cukup menyelerakan. Manakala badan yang agak lesu dan penat, kemudiannya disegarkan dengan air wudhu’ dan jemaah zuhr bersama diimamkan oleh adik Usaid bin Bardan.

Selesai solat dan makan, adik-adik ini kelihatan masih bersemangat meneruskan program dengan slot seterusnya iaitu ‘dunia tanpa sempadan’. Peserta didedahkan dengan kebaikan dan keburukan internet, e-mail, blog, pencarian maklumat melalui ‘search engine’ yang ada, facebook, friendster dan youtube. Pendedahan awal ini diharap dapat membuka mata mereka dan agar mereka dapat menggunakannya kearah kebaikan dan tidak terpengaruh dengan anasir buruk yang ada di dalam dunia tanpa sempadan tersebut. Slot ini disampaikan oleh Puan Hidayah Ahmad Azam sebelum peserta diajar cara-cara membuat blog sendiri dalam slot ‘My Blog’ yang disampaikan oleh ‘Teacher Salmi’.

Photobucket Photobucket Photobucket

Setelah hampir seharian letih menghadap komputer dan terkurung di dalam bilik, akhirnya para peserta didedahkan dengan aktiviti separa outdoor dimana mereka berpeluang untuk menyediakan salad dan BBQ secara berkumpulan. Mereka berjaya menyelesaikan tugasan masing-masing dalam masa yang ditetapkan dengan pelbagai ragam dan gaya tersendiri yang ditunjukkan sepanjang sesi penyediaan dan pembakaran BBQ tersebut. Kemudian, para peserta berehat sebentar untuk solat Asar berjemaah berimamkan adik Abdul Rahman bin Muhammad sebelum menjamu selera sekali lagi dengan ayam dan salad yang telah sedia terhidang sebelum pulang.

Sebelum berpisah, para peserta sempat bergambar bersama dan moga kenangan dan pelbagai manfaat yang diperolehi akan dipraktikkan sebaik mungkin setelah beredar dari kursus ini. Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Buat para pelajar di luar sana, nantikan pula ‘IT Camp for Kids (Part II)’, insyaAllah! Dan semoga mereka akan menjadi insan yang cemerlang di dunia dan insan yang cemerlang di akhirat jua biiznillah.

Sumber: Blog ISMA Melaka