|

Perutusan tahniah kepada Dr Yusuf Al-Qaradawi

Al-Qaradawi menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia, Prof. Dr Yusuf Al-Qaradawi, kerana telah dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa sempena sambutan Maal Hijrah 1431/2009. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1431 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat lepas.

Pemilihan Dr Yusuf Al-Qaradawi sememangnya amat bertepatan kerana sumbangan beliau yang begitu besar kepada Islam dan umat Islam sebagai tokoh ulama, pendakwah, pemikir, sarjana dan intelek kontemporari pada abad ini. Al-Qaradawi memainkan peranan penting dalam mengembangkan syiar dan dakwah Islam serta membangkitkan kesedaran ummah.

Selain sumbangan dalam bidang ilmu, Al-Qaradawi juga sering bertindak sebagai jurucakap bagi umat Islam di kala umat ini berdepan dengan cabaran daripada pelbagai penjuru dan terus tercari-cari arah sejak kejatuhan Khilafah pada tahun 1924. Antara seruan-seruan penting beliau ialah supaya umat Islam mengetepikan perbezaan masing-masing demi kesatuan Islam dan komited dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa daripada ancaman penjajah Zionis Israel melalui apa sahaja cara yang termampu.

Al-Qaradawi dilahirkan di Mahallah Al-Kubra, Gharbiah, Mesir pada tahun 1926. Beliau menunjukkan ciri ulama apabila menghafal Al-Quran sejak kecil dan sering dipanggil menjadi imam serta menyampaikan syarahan agama di masjid kampungnya. Al-Qaradawi melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam Fiqh al-Zakat pada 1973.