Merumus pendirian politik berasaskan Maqasid Syarak
Maqasid merupakan maksud atau tujuan di sebalik pensyariatan satu-satu hukum. Satu kaedah yang masyhur menyebutkan bahawa, “urusan itu dinilai berdasarkan maqasidnya”. Maqasid adalah perkatan jamak (banyak) bagi maqsad. Saya harap kita semua tahu serba sedikit tentang feqah maqasid ini supaya tidak perlu untuk saya menulis muqadimah yang panjang lebar mengenainya dan dapat terus kepada idea yang ingin saya lontarkan berkenaan bagaimana kita seharusnya merumuskan pendirian politik semasa berlandaskan maqasid syarak.
Menegakkan sistem pemerintahan Islam adalah satu kewajiban syai’e. Ijmak sahabat telah mengesahkan perkara ini. Islam tidak membiarkan umat Islam hidup dalam keadaan serabut, mengamalkan sendiri hukum-hakam dalam diri dan masyarakat tanpa ada kawalan kuasa.
Pada zaman dahulu ia dipanggil sistem al-khilafah. Sistem al-khilafah merupakan satu sistem yang unik pernah wujud dalam sejarah manusia. Ia berbeza dengan sistem monarki yang masyhur pada waktu itu.
Apa pun itu hanyalah istilah, yang penting isinya bukan namanya. Saya pernah sebutkan bahawa sistem khilafah bukan semata-mata akhlak pemerintah dan cara hubungan antara pemerintahan dan rakyat tetapi merupakan tingkah laku masyarakat keseluruhannya samada pemerintah atau rakyat. Dalam athar ada disebut,“sebagaimana keadaan kamu begitulah kamu diperintahkan”.
Ini bermakna perjuangan menegakkan pemerintahan Islam tidak boleh dipisahkan dengan usaha-usaha mendidik dan melahirkan masyarakat yang mengamalkan Islam di dalam diri mereka. Begitulah seperti diungkapkan oleh Imam Al-Talmisani, “tegakkan negara Islam pada diri kamu, ia akan tertegak di bumi kamu”.
Pembacaan yang mendalam terhadap fikrah al-Banna membawa kita kepada kesimpulan bahawa Ikhwan memperjuangkan penegakan sistem politik ala khilafah. Cara Ikhwan yang berpegang kepada maratib amal jelas membayangkan hakikat ini.
Bermula dari individu muslim, keluarga muslim kemudian masyarakat Islam merupakan pra-syarat kepada penegakan pemerintahan Islam. Barangkali keyakinan Ikhwan terhadap manhaj ini berinspirasikan sebuah hadis yang menyebut bahawa akan tertegak di akhir zaman sebuah khilafah di atas manhaj kenabian.
Ia satu kerja yang panjang tetapi itulah satu-satu cara yang akan menyampaikan kita kepada penegakkan khilafah ala manhaj an-nubuwah (atas manhaj kenabian). Saya percaya itu akan menjadi cara kerja Ikhwan yang setia dengan al-Banna sampai bila-bila tanpa berubah samada dengan menambah atau mengurangkan.
Namun dalam kita komited dengan kerja-kerja pembentukan asas yang panjang itu, kita sering terdedah dengan isu-isu pergolakan politik perebutan kuasa yang memerlukan kita terlibat atau sekurang-kurangnya membuat pendirian. Kita tidak boleh mengelak dari mengkaji dan memahami perkara berkaitan dengan siasah syariyyah.
Saya bersetuju dengan kawan-kawan yang mengatakan politik adalah satu yang dinamik yang tingkah lakunya tidak boleh dihadkan dengan keterbatasan nas-nas. Oleh kerana itu menjadi tanggungjawab setiap mereka yang ingin terlibat mengkaji tingkah laku politik memahami maqasid siasah syaiyyah dan fikah maslahi.
Fokus perbincangan saya kali ini ialah bagaimana kita membuat pendirian siasi semasa terhadap pergolakan politik perebutan kuasa dalam kontek Malaysia berlandaskan maqasid syarak atau fikah maslahi. Ini menuntut membaca maqasid syarak dalam masalah siasah syariyyah (pemerintahan Islam).
Pemerintahan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam. Berkata Imam Al-Banna; “Kerajaan Islam ialah kerajaan yang dianggotai oleh orang Islam yang menunaikan fardhu-fardhu Islam, tidak menolaknya secara terang-terangan dan melaksanakan hukum-hakam dan ajarannya. Dan tidak mengapa mendapatkan bantuan dari bukan Islam ketika dhorurat dalam bukan wilayah amah”.
Berkata Imam al-Juwaini dalam Ghiyathul umam fi tayyath al-Zholam;
“Al-Imamah ialah kepimpinan yang sempurna dan keketuaan yang umum berkenaan dengan perkara khusus dan juga umum dalam tugasan-tugasan berkaitan agama dan dunia. Termasuk dalam erti kata tersebut ialah mempertahankan negara dan kehormatan, menjaga kepentingan rakyat, melaksanakan dakwah dengan hujah dan pedang, menghalang penyelewengan dan kezaliman, membela orang yang dizalimi, mengambil hak dari yang enggan dan menunaikannya kepada yang berhak”.
“Sesungguhnya mempertahankan negara dan berjuang mempertahankan baiah adalah satu kewajiban yang pasti dari segi syarak. Kalau dibiarkan manusia faudho (kelam kabut) tidak dihimpun di atas kebenaran oleh apa-apa penghimpun, tidak dihalang oleh mana-mana penghalang, dan tidak ditegah dari mengikut jejak langkah syaitan dalam keadaan pandangan yang bercanggah-canggah, hawa yang terpecah-pecah, nescaya rosaklah sistem, musnahlah manusia, orang awam akan dipijak-pijak, pandangan becanggah dari pelbagai puak, bersengketalah kehendak-kehendak yang bertentangan, orang hina memimpin manusia, segala asas penyatuan punah ranah, masyarakat bertambah koyak, berlakulah perbalahan…” (hingga akhir m/s 17).
Dalam muka surat 134 beliau menyebut bahawa kekuasaan diperlukan untuk menunaikan tuntutan syarak seperti berpegang dengan agama dan ketakwaan, berpegang dengan perkara yang mendekatkan diri kepada Allah, menyingsing lengan mengejar keredhaan Allah.
Ini adalah kerana dalam pada melaksanakan tujuan yang mulia itu manusia dicipta dengan sifat melampau dan syahwat yeng menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab atau melanggar larangan, kerana itu perlu kepada kuasa untuk meluruskan urusan agama (terjemahan maksud m/s 622).
Lalu Allah melantik sultan-sultan dan pemimpin-pemimpin supaya mereka menunaikan hak kepada yang berhak, mengagihkan bahagian kepada empunyanya, menghalang mereka yang melampau, menyokong yang adil, mengukuhkan binaan lurus, menghapuskan segala unsur kezaliman dan kerosakan, dengan itu teraturlah urusan dunia dan berkembang dengannya agama yang merupakan penyudah segala urusan.
Berkata Imam al Ghazali r.a dalam al-iqtisad fi al-iktiqad;
“Sesungguhnya dunia dan keamanan jiwa dan harta tidak akan terurus/terjaga kecuali dengan wujud sultan yang ditaati. Perhatikan huru-hara yang berlaku ketika fitnah yang disebabkan kematian sultan dan imam-imam”.
“Sesungguhnya yang demikian itu sekiranya dibiarkan berterusan tanpa dipulihkan dengan melantik sultan baru yang ditaati nescaya akan berlarutanlah huru-hara, suasana menjadi kucar-kacir, akan berlaku kemarau, binatang akan mati, industri terbengkalai, siapa yang menang dia sapu dan belasah apa sahaja, tiada seorang yang berkelapangan untuk ibadah dan ilmu jika ia masih hidup. Kebanyakan akan mati di bawah kilauan pedang”.
“Sebab itu dikatakan bahawa agama dan sultan dua beradik kembar dan dikatakan bahawa agama adalah asas dan sultan adalah pengawal, barangnya tiada asas akan runtuh dan barang yang tiada pengawal akan hilang”.
Demikianlah maqsud di sebalik kewajiban menegakkan pemerintahan Islam apa istilahnya sekali pun. Negara Islam adalah negara milik orang Islam, diperintah oleh orang Islam untuk menjaga urusan orang Islam demi mencapai tujuan agama mereka.
Mari kita terjemahkan maqsud ini dalam perjuangan politik kita di Malaysia. Fakta sejarah menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, mejoriti penduduk beragama Islam, dan diperintah oleh orang Islam. Penjajah telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya. Pertembungan kepentingan berakhir dengan satu persepakatan yang tidak adil. Acuan sekular telah memberi kelebihan kepada bukan Islam secara konstraktif. Kontrak sosial telah mengurangkan peranan dan meletakkan kedudukan Islam dan umat Islam lebih rendah daripada yang sepatutnya walaupun masih dijamin kepentingannya.
Struktur kenegaraan baru ini telah mencarik atau meleburkan keperibadian politik umat Islam dan menelanjangkannya dari maqasid asal sebagai pemerintahan Islam. Walapun negara masih disifatkan sebagai Islam tetapi kedaulatan agama telah diperkosa. Kepemimpinan Islam kosong dari sebarang makna, bidang kuasa mereka terhad, peranan mereka terbelenggu, dan umat Islam berpecah-belah serta kehilangan teraju. Yang masih kekal hanyalah lambang-lambang dan simbol-simbol yang tidak sepertinya.
Dari segi hukum, umat Islam kini boleh disifatkan hidup di zaman kepimpinan dan pemerintahan Islam yang tidak sempurna. Akibat dari itu berlakulah berbagai-bagai kefasadan di atas muka bumi. Berlaku jurang antara pemerintah dan masyarakat Islam. Maka menjadi kewajiban setiap muslim mengislah pemerintahan supaya ia kembali kepada peranannya yang asal. Hukum ini agak straight forward di negara yang sepenuhnya beragama Islam atau majoriti besarnya beragama Islam. Pertembungannya hanya dua pihak. Tetapi bagi negara yang berbilang agama, bangsa dan budaya seperti di Malaysia, penentuan hukum tentu akan berbeza.
Di negara yang sepenuhnya beragama Islam pertembungan pihak-pihak masih dalam kerangka besar kenegaraan Islam. Kebimbangan akan terkorbannya identiti kenegaraan Islam dan tergadai kepentingan umat Islam agak kecil. Masih-masing berjuang mencari kesempurnaan.
Tetapi bagi Malaysia yang majoriti muslimnya rendah dan tekanan politik bukan Islam kuat, apa lagi jika disokong oleh kuasa luar, peluang untuk kemusnahan lebih besar. Keperibadian negara boleh terombak dan kepentingan umat Islam boleh tergadai. Oleh itu perjuangan politik Islam menjadi sangat mencabar jika tidak dipandu oleh maqasid syarak. Ini kerana pengaruh politik bukan Islam yang mampu merubah senario dan masyarakat Islam yang jahil maqasid syarak boleh melakukan tindakan politik membunuh diri.
Logik politik Islam situasi kini sangat mendesak umat Islam agar bersatu padu, penyelesaian pintas ialah kembali kepada konsep kenegaraan Islam. Tetapi kita berhadapan dengan suasana pertarungan yang sudah tidak dikawal pedoman, nafsu sudah menguasai dan hawa menggelapkan pandangan akal, menjadikah jalan ke arah perpaduan terpaksa menghadapi benteng kegelapan yang menakutkan.
Justeru lapangan politik kita akan terus bergelumang dengan tindak-tanduk politik sekular dan akan terus menelusuri gelombang yang tidak tentu arah. Kepuasan politik akan menjadi hakim. Walau bagaimanapun syarak tidak meninggalkan kita tanpa panduan. Seburuk mana keadaan sekalipun tetap kita akan temui formula (pandangan politik yang rasyidah). Ya, merujuk kepada nas-nas yang dinukilkan adalah menjadi maksud syarak untuk kita memperkukuhkan sisi atau kedudukan orang Islam dan kedua memastikan lapangan Islam aman dari pengaruh bukan Islam.
Oleh itu dalam mencari pegangan kita harus menilai tingkah laku politik dalam pertarungan politik di Malaysia dari aspek sejauh mana kedudukan pengaruh dan “kuasa wewenang” Islam dan umat Islam dalam komponen-komponen politik yang ada?
Maksud saya dari segi kekuatan komposisi perwakilan, terma-terma persepakatan, tawar-menawar kuasa, pengaruh-pengaruh, struktur-struktur mengikat dan seumpamanya, yakni sejauh mana ia memberikan kita kelebihan dari segi “kuasa wewenangan” untuk menjaga kedudukan agama dan kepentingan umat Islam. Kepentingan umat Islam yang saya maksudkan bukan sekadar pembelaan-pembelaan berdasarkan affirmative action tetapi hak mereka sebagai pemilik negara untuk menguatkuasakan pemerintahan mengikut kehendak agama Islam.
“Kadar wewenangan” ini bagi saya adalah maksud siasah syarak dalam situasi ini. Di atas asas ini saya mengukur tingkah laku politik satu-satu komponen. Tinggi kadar wewenangan lebih besar maslahah dan jika lebih rendah maka lebih rendahlah maslahahnya. Kuasa wewenangan ini boleh diterjemahkan sebagai kuasa pelindung bagi umat Islam dalam situasi yang ada.
Islam adalah agama yang realistik dan mengambil faham bahawa pertembungan kuasa sentiasa ganas dan tidak ada rahmah. Sebab itu syarak menyebelahi sudut yang mejamin kekuatan umat Islam. Orang muda dalam politik berfikiran dangkal jika menganggap orang kafir akan membela nasib mereka dan menegakkan keadilan untuk mereka. Sangat janggal pemikiran kita jika mempercayai bahawa orang kafir akan menegakkan kesaksamaan yang tidak dapat ditegakkan oleh orang yang fasik di kalangan kita. Mereka adalah musuh Allah yang memperjuangkan kuasa kerana mahu kekuatan untuk melaksanakan agenda mereka.
Adalah menjadi tujuan pengutusan agama Islam supaya ia mengatasi semua agama walaupun dibenci oleh orang kafir. “Dialah yang mengutuskan Rasul dengan petunjuk dan agama yang benar, supaya ia mengatasi segala agama, walapun dibenci oleh orang kafir”, “Dan Allah tidak akan menjadikan bagi orang kafir kelebihan atas orang Islam” (an-Nisa’: 141) “Pada hari ini aku sempurnakan bagi agama kamu, aku sempurnakan ke atas kamu nikmat ku, dan aku redha Islam sebagai agama (kuasa politik)”.
Maqasid ini hanya akan dapat kita laksanakan jika kita memiliki wewenang yang sepenuhnya. Oleh itu siasah syariyah hanya menerima satu suasana sahaja iaitu kedudukan tertinggi. Siasah syariyah tidak boleh dicampur aduk dengan mana-mana siasah lain yang bertemakan sekular. Suasana yang kita ada hari ini adalah satu keadaan terpaksa.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

