|

Hijrah dan panji-panji kebangkitan umat Islam

Berikut merupakan perutusan Hijrah dari Muhammad Mahdi Akif, Mursyid Am Ikhwanul Muslimin:

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada sebaik-baik ciptaan Allah, pemimpin dan teladan seluruh ummat manusia, Nabi Muhammad SAW dan keluarganya serta para sahabatnya semuanya setelah itu.

Photobucket

Kita sedang mengingati perjalanan hijrah Nabi SAW yang penuh berkat, dan saat ini sedang berada di bawah naungannya yang setiap tahun kita selalu ingati; hal ini menegaskan bahawa hijrah merupakan satu inspirasi yang tiada hujungnya, bekal yang tidak akan pernah berhenti memberi pengajaran dan ibrah yang selalu kita cari dan perlukan, apalagi pada saat ini kita sedang hidup dalam realiti yang penuh dengan nista, terutama sekali kerana kelemahan dan kemunduran.

Sebagaimana yang kita maklumi, hijrah merupakan titik tolak dan perubahan besar kepada pembentukan negara Islam dan kebangkitannya. Oleh sebab itu, dalam pada kita mengingatinya, kita juga perlu mengambil prinsip-prinsip utama dan titik pusat yang sangat penting sebagaimana yang telah diajarkan oleh al-Mustafa SAW dan dijadikan panduan bagi kehidupan kita semua. Hijrah juga dapat dijadikan titik tolak terbesar bagi ummat Islam menuju kebangkitan dari kejatuhan yang ummat sedang menderita ketika ini, kerana dengan titik pusat dan prinsip-prinsip itulah dahulunya mampu membina dan membimbing generasi awal daripada para sabahat sehingga mampu meletakkan di atasnya dasar-dasar negara Islam pertama, dan mereka telah memberikan impak besar kepada pembangunan peradaban Islam berabad-abad lamanya.

Sekiranya kita ingin melakukan kebangkitan sebenarnya untuk ummat ini dan mengembalikan kemuliaan serta posisinya sebagai pemimpin di kalangan ummat seluruhnya, maka kita pelu mengambil banyak pengajaran dari perjalanan hijrah dan berbagai prinsip dan langkah-langkahnya, berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mempelajari prinsip-prinsip ini baik untuk diri sendiri mahupun realiti kehidupan kita. Di antara intipati dari prinsip-prinsip tersebut ialah;

* Keikhlasan yang sempurna kepada Allah,
* Tajarrud yang penuh kepada Allah,
* Merasakan adanya ma’iyyatullah,
* Menjalin hubungan baik dengan Allah,
* Memiliki rasa percaya diri dan yakin akan kemenangan bagi tentera Allah,
* Memliki keinginan yang kuat dan semangat yang tinggi,
* Semangat dalam jihad dan pengorbanan, usaha, kesabaran dan ketekunan,
* Cermat dalam melakukan persiapan, perencanaan, kerja yang baik,
* Merangkumi semua hal di atas dengan landasan cinta dan ukhuwwah yang tulus, kejujuran, amanah dan kesetiaan serta ikhlas dalam menjalin hubungan antara sesama anggota di semua peringkat.

Generasi Terbaik

Sungguh, para muhajirin terdahulu telah mendapat ujian mereka namun mereka berjaya menghadapinya dan sama sekali tidak pernah berasa lemah terhadap apa yang menimpa mereka di jalan Allah, bahkan tiada pada mereka perasaan kalah dan tunduk, begitu juga kaum Ansar yang diuji dengan kesetiaan dan pembelaan terhadap kaum muhajirin, akhirnya mereka berjaya seperti yang dicatat oleh Allah dalam kitab-Nya:

“Maka orang-orang yang beriman kepadanya. memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (QS:7:157)

Mereka menganggap bahawa kehidupan ialah satu kehinaan ketika iman sudah menapak di dalam jiwa mereka, bahkan dunia hanyalah sesuatu yang kecil apabila mereka ingin menggapai kemuliaan dalam misi hidup mereka.

Demikianlah gambaran yang jelas tampak di dalamnya intipati pelbagai fenomena yang istimewa daripada kalangan muhajirin. Mereka yang telah diusir daripada rumah dan harta dirampas, dipaksa keluar dengan kekasaran, penganiayaan dan penolakan yang dilakukan oleh kaum keluarga mereka di Makkah, bukan kerana kesalahan yang mereka lakukan, tetapi hanya kerana mereka beriman kepada Allah. Mereka meninggalkan rumah dan harta mereka untuk mencari nikmat dan redha Allah, tiada tempat untuk mereka berlindung kecuali kepada-Nya. Sekalipun mereka terus dikejar dan diburu dan jumlah mereka sedikit, mereka tetap berusaha mendukung dan membela Allah dan Rasulullah SAW.

“Dan ingatlah (wahai para muhajirin) ketika kamu masih berjumlah sedikit, lagi tertindas di muka bumi (Mekah), kamu takut orang-orang (Mekah) akan menculik kamu. Maka Allah memberi kamu tempat menetap (Madinah) dan dijadikan-Nya kamu kuat dengan pertolongan-Nya dan diberi-Nya kamu rezeki dari yang baik-baik agar kamu bersyukur.” [QS:8:26]

Merekalah orang-orang yang melafazkan keimanan mereka melalui lisan, menterjemahkannya dalam amal mereka, dalam masa yang sama tetap setia kepada Allah dan rasul-Nya, kerana mereka telah memilih Allah dan mengikuti jejak rasul-Nya, dan setia kepada kebenaran seakan-akan mereka ialah peribadi yang berjalan di atas bumi dan disaksikan oleh umat manusia.

“(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka Itulah orang-orang yang benar.” [QS:59:8]

Sebagaimana orang-orang Ansar telah membuktikan kesetiaan dan keimanan mereka dengan memberikan dan membahagikan kepada muhajirin harta yang mereka miliki sekalipun mereka hidup miskin dan memerlukan harta tersebut. Hati mereka lapang, sedia menerima setiap orang yang datang kepada mereka dengan itu membuktikan hakikat kesatuan dan persatuan yang sebenarnya, dari ma’rifah kepada persahabatan, dari persahabatan kepada cinta, dan daripada cinta kepada itsar, sehingga tidak menghairankan jika al-Quran mencatat sikap mulia mereka dalam firman Allah:

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung.” [QS:59:9]

Demikianlah gambaran yang jelas dan nyata tampak sebagai model yang amat istimewa daripada orang-orang Ansar, memiliki karakter yang unik, bahkan tersebar ke setiap pelosok. Sekiranya sifat-sifat tersebut benar-benar ada di zaman ini, mungkin akan banyak daripada manusia akan menjadi seperti suatu khayalan di mana iman menjadi rumah, tempat bernaung dan negeri dalam jiwa mereka, memberikan ketenangan kepada ruh, mengharap pahala dan ketenteraman kepada-Nya sebagaimana seseorang mendapatkan ketneteraman ketika berada di rumahnya.

Demikianlah kaum muhajirin yang diuji kekuatan dan keimanan mereka, juga kaum ansar yang diuji dalam hal kecintaan yang sempurna dan mereka semua berjaya melaluinya. Semestinya masyarakat akan mendapat ketenteraman dengan prinsip-prinsip yang luhur ini dan bahkan juga mendapat kemuliaan darjat dan kehormatan dalam nilai kehidupan setiap insan.

Bahawa prinsip-prinsip yang dibawa oleh Nabi SAW ini telah meresap ke dalam jiwa generasi yang setia terhadap apa yang telah mereka ikrarkan. Sekiranya kita ingin berjaya seperti yang mereka perolehi, maka kita harus mengikuti jejak langkah mereka, berjalan mengikuti jalan mereka, kerana mereka telah menjual jiwa mereka kepada Allah, dan mengorbankan diri mereka di jalan-Nya.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan Itulah kemenangan yang besar.” [QS:9:111]

Antara masa lalu dan masa kini

Lihatlah, bagaimana kerugian yang dialami dunia kita saat ini kerana jauhnya daripada mengambil pengajaran hijrah yang mulia seperti yang telah ditunjuk dan diajarkan oleh Rasulullah SAW terutamanya dalam menanam rukun-rukun cinta, itsar, dan panji-panji ukhwah di antara masyarakat? Dan bagaimanakah agama yang mulia dan agaung ini perlu memiliki tekad yang kuat, kesabaran dan ketabahan? Serta bagaimanakah negara Islam yang telah menjadikan hijrah sebagai intipati kekuatan negara yang besar di kalangan ummat lainnya, dan sebagai rujukan pelbagai bangsa di dunia. Maka kita akan dapati bahawa kita sedang mengalami kerugian yang banyak kerana kehilangan manhaj daripada pembawa hidayah yang amin SAW, jauh daripada petunjuk dan sirahnya yang mulia, apakah yang dialami oleh ummat ketika ini?

Situasi yang dialami oleh negara Palestin dengan pelbagai asakan dan pembantaian ganas yang mengerikan oleh rejim Zionis yang amat benci kepada saudara dan keluarga kita di Gaza, diiringi dengan kehinaan dan kebencian sikap pemerintah dan penguasa Arab dan negara-negara Islam untuk mendukung dan membela mereka, belum lagi tiadanya usaha dan tindakan mereka terhadap berbagai asakan yang dilakukan oleh Zionis mengancam Masjid al-Aqsa yang sedang tertawan. Mereka lupa terhadap pengajaran hijrah yang berisi pengajaran besar dalam jihad dan pengorbanan, seandainya kita mahu mengamal dan mempraktikkannya maka kita akan dapat menggapai kemuliaan dan kebesaran di dunia serta ganjaran yang melimpah di akhirat. Namun, penyakit ‘al-Wahn’ telah melanda ummat ini sehingga lupa atau pura-pura lupa akan sejarah dan perjalanan hidup nabinya yang penuh dengan kemuliaan.

Keadaan yang terjadi dan dialami oleh saudara kita yang tercinta di Gaza amat memerlukan pembela dan pendokong yang hakiki yang bertaqwa kepada Allah, mahu membela mereka dengan memberikan pertolongan yang hakiki bukan sekadar wacana dan kata-kata palsu.

Begitu pula terhadap saudara kita di Afghanistan, Iraq, Somalia, Sudan, Yaman dan banyak lagi. Ini ialah suatu kelemahan dan kehinaan yang memilukan di hadapan musuh, sehingga menjadikan musibah bertambah teruk, dan hal tersebut adalah merupakan istidraj bagi ummat; mereka menjadi orang yang memaksimakan kekuasaan, kemampuan dan tenaganya dalam melakukan peperangan dalaman, sehingga ummat sibuk dengan dirinya sendiri dan terjadilah pertumpahan darah oleh tangan mereka sendiri, lalu mereka bekerja dengan visi yang sempit dan agenda yang tidak jelas yang jauh dari memberikan ummat manfaat dan kebaikan untuk masa depannya.

Sekiranya para pemimpin mahu mencontohi dan meneladani apa yang terjadi dalam peristiwa hijrah seperti ukhwah, persatuan, ikatan, keterpautan dan keinginan yang besar dalam menghadapi penentangan, bekerja sesuai dengan nilai-nilai Islam yang menakjubkan dan meletakkan diri pada tempat yang sesuai dengannya, nescaya mereka akan mampu menghadapi serangan yang diberikan kepadanya.

Dalam pemilihan umum Amerika Syarikat dan pemilihan Presiden Obama memberikan pengajaran yang nyata ketika mereka meletakkan harapan kepadanya dan menyampaikan pidatonya ke Universiti Kaherah lebih dari yang sepatutnya, namun harapan tersebut sirna kerana perhatiannya terhadap hal-hal seperti tekanan kepada Zionis tidak menjadi kenyataan, dan kegagalan bangsa Arab dan ummat Islam dalam menuju satu kesatuan dan tekanan daripada musuh kembali.

Beberapa bulan yang lalu menjadi saksi kepada wujudnya semangat rasisme barat kepada semua yang beragama Islam dan berjilbab, yang mana telah mencapai kemuncaknya dengan pembunuhan seorang ahli farmasi dari Mesir yang tetap teguh berjilbab dan mematuhi ajaran Islam. Beliau juga merupakan mangsa korban ketiga selepas referendum Swiss melarang pembinaan menara-menara masjid di negara itu.

Hal ini semakin menyuburkan tumbuhnya semangat permusuhan dan rasisme terhadap semua hal yang berkaitan dengan Islam di Barat, inilah yang mengundang kita untuk menghadapinya dengan berpegang teguh kepada Islam dan ajarannya, dan menyeru mereka dengan nasihat yang baik, dan pentingnya memberikan gambaran yang sebenarnya kepada barat tentang citra Islam dalam bentuk keteladanan yang baik, etika dan perilaku yang santun serta amal lainnya.

Sebagaimana pernah kita saksikan peranan Turki di wilayah tersebut dan keberkesanannya dalam menyelesaikan sejumlah isu termasuk; Palestin, Iraq dan Suriah, serta Armenia dengan metod politik yang cukup rasional dan menanggapi isu-isu dan sikap bangsa Arab dan ummat Islam. Sikap Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan pada acara World Economic Forum di Davos amat jelas tentang isu-isu ini setelah bertengkar dengan Presiden rejim Zionis kerana serangan Zionis di Gaza.

Dan di antara peristiwa penting yang terjadi pada tahun lalu adalah terjadinya keruntuhan ekonomi akibat sistem kewangan berasaskan riba, kegagalan stabiliti dan wujudnya pembantaian manusia sehingga menimbulkan banyak korban dan kerugian yang masih terjadi kerana kegagalan yang berterusan sehingga hal tersebut mengundang sebahagian penulis Barat untuk mengadaptasi prinsip-prinsip syariat Islam, seperti dalam sebuah artikel ‘Roland Xin’ seorang editor surat khabar ‘Le Journal de Vinnis’ dengan judul: “Apakah sudah tiba waktunya untuk menggunakan prinsip-prinsip Islam di Wall Street?”. Di dalam artikel tersebut, dia berkata: “Jika para pemimpin kita ingin sungguh-sungguh membatasi spekulasi kewangan yang menyebabkan krisis, maka tidak ada yang lebih sederhana daripada itu kecuali menerapkan prinsip-prinsip syariah Islam.”

Demikianlah para pemikir Barat yang menyeru penerapan prinsip-prinsip Islam setelah kita meninggalkannya. Kita telah menghina diri kerana tidak pernah mahu menerap dan mendukungnya, dan lupa bahawa antara intipati yang utama dari perjalanan hijrah adalah mendirikan negara Islam, memperkuatkan panji-panjinya, membangun ekonomi Islam, dan membangun pasaran Islam menghadapi pasaran Yahudi.

Sebagaimana pemerintah Mesir yang terus-menerus dan sayangnya tetap menerapkan polisi penahanan ke atas rakyat-rakyatnya, melempar tuduhan palsu kepada mereka, dan menghumban mereka ke dalam penjara tanpa mempertimbangkan hak-hak perlembagaan yang paling asas dan undang-undang negara sekalipun, dan mengabaikan ketentuan pengadilan yang mengambil tempat, kebebasan, kehidupan, waktu, tenaga, dan harta serta jiwa mereka dengan menolak segala bentuk dan cara untuk mengeluarkan dan memerdekakan mereka.

Bahkan permasalahan ini telah sampai kepada pemusnahan kemudahan awam yang ada untuk memberi khidmat kepada rakyat dan harta mereka, dengan mengabaikan kesucian harta tersebut, beranggapan bahawa masyarakat tidak memerlukan sokongan alatan penting di hospital, sekolah dan lain-lain, tanpa mempertimbangkan kehormatan pihak pembangkang dan tidak mahu mengalah demi maslahat yang lebih besar daripada kepentingan partisan murahan.

Wahai Ummat Islam

Sekiranya kita ingin mengembalikan kemuliaan dan kewibawaan Islam serta kejayaannya seperti yang telah diraih pada masa sebelumnya maka sudah semestinya kita perlu melengkapkan diri dengan panji-panji yang telah diterapkan oleh nabi Muhammad SAW dan mengambil kesempatan pada tahun baru hijriyyah ini dengan lebih banyak bekerja keras dan bersungguh-sungguh serta berjuang untuk membela Islam di semua peringkat dan tingkatannya., meningkatkan amal baik, taat dan ibadah kepada Allah SWT, bersegera kembali kepada Allah dan menghiasi diri dengan akhlak dan perilaku nabi SAW, serta menjadikannya sebagai lampu yang menerangi dan menyinari jalan hidup kita semua, sebagaimana kita perlu menghijrahkan diri daripada pelbagai perbuatan dosa dan maksiat, dari ketidakadilan, kezaliman dan kehinaan diri.

Kita sangat memerlukan sistem moral Islam yang telah ditegakkan kaedah-kaedahnya oleh Islam yang hanif, dan berbagai peristiwa yang kita lalui menunjukkan besarnya keperluan kita terhadap peradaban manusia kepada sistem ini; untuk menyelamatkan mereka dari apa yang mereka hadapi, dan membimbing mereka menuju jalan pembebasan dan keselamatan, yakni jalan Allah yang lurus.

Wahai Ikhwanul Muslimin

Kalian adalah jantung kehidupan dan hati kehidupan ummat, sesuai dengan kesedaran dan kebangkitan kalian maka ummat akan bangkit; maka dari itu milikilah perasaan akan besarnya amanah dan tanggung jawab yang dipikulkan ke atas bahu kalian, dan jadilah orang yang dicintai sebagaimana mereka yang dicintai dan diredhai oleh Tuhan kalian, dan jadikanlah hijrah dan apa yang ada didalamnya sebagai pelajaran dan nasihat, serta jadikanlah apa yang ada dihadapan kalian sebagai teladan, berusaha mengamalkan dan menerapkannya sebagaimana yang telah diterapkan oleh pemimpin dan teladan kita Nabi SAW.

Dan ketahuilah bahawa diantara kewajipan utama kalian adalah membangkitkan umat dan menyumbang kepada gerak kerja yang efektif dalam melaksanakan peranannya dalam melakukan islah, menerapkan panji-panji pembaikan (islah) dan kewajipan-kewajipan dalam diri kalian sebelum berdakwah kepada orang lain, hiasilah jiwa kalian dengan semangat proaktif dan keberanian dalam berfikir dan bertindak, dan bergantunglah pada perencanaan yang baik dan kerja yang ihsan, pada pembaharuan dan pengembangan pada program-program kalian, dengan mendahulukan perbuatan daripada perkataan, tidak mudah menyerah dalam menghadapi berbagai rintangan dan hambatan, serta banyak mengambil manfaat dan pengajaran dari berbagai-bagai panji yang sudah disebutkan untuk kalian sebelum yang lainnya.

Berjalanlah wahai Ikhwan dengan membawa keberkatan Allah, bekerja untuk menegakkan kebenaran, yang perlu diarahkan ke hati dan pancaindra kalian serta perbuatan kalian dengan penuh kekuatan.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.” [QS:3:139]

Allahuakbar dan segala puji hanya bagi Allah.

Sumber: al-ikhwan.net

Penyunting:
Mohd Azmir Mohd Razli
ISMA Australia