|

Bahagia hingga ke syurga

Kebahagiaan dalam hidup berkeluarga bukannya mudah. Ia memerlukan kerjasama semua pihak. Organisasi kecil ini memerlukan pengurus yang baik bergelar suami. Memerlukan pembantu pengurus yang cekap bergelar isteri. Ahli organisasi juga perlu bekerjasama dan bekerja keras untuk merealisasikan impian membentuk keluarga bahagia. Mahligai impian duniawi ini cuma akan nampak indah dan sentiasa dihiasi bunga cinta yang segar mekar apabila semua pihak yang bernaung di bawahnya memahami tanggungjawab dan tugas masing-masing. Bergerak seia sekata dalam satu barisan dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain.

Tunggak utama mestilah ajaran agama dan reka bentuknya tidak boleh lari jauh dari pelan kekeluargaan Rasulullah s.a.w. Ruang udaranya mestilah sentiasa dibekalkan dengan cinta kasih dan belas kasihan.

Keluarga juga umpama kapal. Ia tidak akan sentiasa berlayar di air tenang, malah menjadi sunnahnya berhadapan dengan ombak dan taufan. Perjalanan masa menjadikan ikatan cinta makin longgar dan suhu sayang juga semakin sejuk. Punca utama ialah rasa jemu kerana bertemu orang yang sama bertahun-tahun lamanya. Tidur sebantal dengan orang yang sama. Makan sehidang dengan orang yang sama. Mungkin juga berpunca dari faktor usia. Usia memakan kulit yang tegang menjadi kendur, rambut yang lebat menjadi luruh dan beruban, muka yang cantik menjadi kusam berkedut.

Mungkin cinta pada waktu ini sudah tidak mampu untuk terus bertahan menjadi kemudi dan dayungnya. Ia memerlukan kekuatan kedua yang bernama ‘belas kasihan’. Biar sedalam mana pun perasaan jemu, hodoh mana pun rupa paras, lemah mana pun tenaga batin, bosan mana pun jiwa, belas kasihan masih mampu membawa ahli keluarga ke titik terakhir matlamat cinta iaitu syurga. Lantaran itu, Allah S.W.T. mengingatkan pasangan yang ingin berumahtangga agar dari awal lagi menjadikan cinta sebagai mahar dan belas kasihan sebagai hantaran.

Firman Allah S.W.T: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan belas kasihan.”

Kasihani isteri yang telah lama berkorban jiwa dan raganya untuk mendampingi anda. Ia telah menyerahkan hati dan jasadnya untuk ketenangan anda. Sanggup bangun seawal pagi untuk menyediakan sarapan dan menggosok pakaian. Pulang anda disambut dengan senyuman dan hidangan minuman kegemaran. Malam pula ia sanggup bermesra dengan anda walaupun fizikalnya sudah keletihan kerana banyaknya tugasan rumah yang perlu ia selesaikan. Ia juga dengan jayanya mendidik anak-anak yang seharian anda tinggalkan kerana kerjaya dan tugas mencari rezeki buat keluarga. Ia juga sanggup mengadai nyawa untuk melahirkan anak-anak anda. Fikirkanlah sebelum terfikir untuk mengeluarkan kalimah cerai.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin tidak akan menceraikan isterinya yang mukminah sekiranya ia membenci satu sifat dari sifat-sifatnya sedang dalam masa yang sama ia redha dan mengingati kebaikan-kebaikannya yang lain.”

Kasihani suami yang sanggup mengambil anda sebagai isterinya. Mengorbankan usia dan keringatnya untuk menyara keluarga. Mendamaikan jiwa ketika kesedihan. Ingatlah kegirangan yang ia bawa dalam hidup anda. Ingatlah bagaimana ia masih mampu tersenyum setiap kali ia pulang dari kerja walaupun ia telah kehilangan sebahagian tenaganya di tempat kerja. Ingatlah koceknya yang sering kosong kerana membeli keperluan anda dan anak-anak. Ingatkan semua itu sebelum terlintas di fikiran untuk meminta cerai.

Jika kebaikan pasangan tidak mampu meleraikan kekusutan hubungan, ingatlah pada anak-anak. Kalian mendambakan kehadiran mereka semenjak malam pertama perkahwinan. Hari kelahiran mereka merupakan sejarah besar keluarga yang membawa sejuta wangian kebahagiaan. Ia pelengkap kehidupan anda. Kehadirannya menjadikan anda memiliki status manusia yang sempurna. Anda sudah jadi individu, suami, bapa, isteri dan ibu. Ingatlah pada anak-anak anda sebelum mana-mana pihak berfikir untuk bercerai.

Perkahwinan dan keluarga yang dibina tidak sepatutnya berakhir di kantor mahkamah tetapi sewajibnya berkesudahan di kamar syurga. Allah S.W.T. menjanjikan orang-orang yang beriman akan tinggal bersama dengan ahli keluarganya di syurga. Firman Allah S.W.T.:

“Dan orang-orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun dari pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. Dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini. Di dalam syurga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa. Dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan. Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya. Mereka berkata, “Sesungguhnya kami dahulu sewaktu berada di tengah-tengah keluarga kami merasa takut (akan diazab)”. Maka Allah memberikan kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka. Sesungguhnya kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.”

“Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang saleh dari bapak-bapaknya, isteri-isterinya dan anak cucunya, sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu; (sambil mengucapkan): “Salam sejahtera atas mu kerana kesabaranmu”. Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”

Imam al-Qurtubi ketika memberi komentar tentang ayat 23 dalam Surah al-Ra’d berkata, “Sesungguhnya antara nikmat di syurga itu nanti, ialah dengan menghimpunkan ahli syurga dengan kerabatnya di dalam syurga”. Imam Ibnu Kathir pula menyebut, “(Orang mukmin) akan dihimpunkan bersama orang-orang yang ia sayangi termasuk ibu bapa, isteri-isteri dan anak-anaknya andainya mereka itu layak memasuki syurga di kalangan mereka yang beriman agar tenang perasaan mereka dengan kehadiran keluarganya sehingga ia diangkat dari darjat bawahan di syurga ke darjat paling atas sebagai anugerah dari Allah dan pemberian yang tidak ternilai tanpa dikurangi sedikit pun”.

Kata Said bin Jubair: “Apabila orang mukmin masuk syurga ia akan bertanya tentang ibu bapanya, anak-anaknya, di manakah mereka? Lalu dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya mereka tidak mencapai tahapmu dalam melakukan amal kebaikan”. Lalu ia berkata, “Sesungguhnya aku melakukan semua amalan itu untukku dan mereka”. Lalu mereka pun digabungkan bersamanya dalam syurga pada darjat yang serupa.”

Inilah impian tertinggi orang mukmin dalam berkeluarga. Impian untuk hidup sebumbung di syurga akhirat. Itulah hakikat cinta abadi bagi pasangan yang menjadikan Allah S.W.T. sebagai pusat kecintaan dan Rasul-Nya s.a.w. sebagai sumber ikutan mereka. Syurga yang menghimpunkan segala kenikmatan yang tidak pernah terlintas pun di pemikiran manusia. Itulah tempat tuju mereka. Bermula dari hari pertama perkahwinan, dikurniakan zuriat dan melayari kehidupan berkeluarga yang penuh pancaroba, kesudahan yang mereka harapkan ialah syurga dan nikmat syurga. Walaupun mungkin di dunia mereka terlepas banyak peluang kebahagiaan dan kesenangan.

Untuk itu, apabila anda menziarahi pasangan yang baru melangsungkan pernikahan mereka, jangan ucapkan “Selamat pengantin baru, moga kekal ke anak cucu”, tidak juga ucapan, “Selamat pengantin baru moga kekal ke akhir hayat”, tapi ucapkanlah “Selamat pengantin baru, moga kekal hingga ke syurga”. Ucapan begitulah yang lebih bermakna.

Semoga kebahagiaan dan kerukunan yang dikecapi dalam keluarga, berterusan hingga ke akhirat. Tempat yang tiada lagi duka nestapa, tidak perlu lagi merajuk dan memujuk, tiada penat dan lesu, tiada sedih dan sepi. Yang ada cuma kebahagiaan yang kekal abadi. Allahumma Amin Ya Rabb al-Alamin.

Photobucket

Oleh: Ustaz Sarip Adul
Sumber: Blog Abu Syifa’

4 Komen untuk entri “Bahagia hingga ke syurga”

  1. Lya says:

    Salam Ustaz,

    Suami tidak menduakan saya dengan perempuan lain mahupun laki2 lain. Tetapi menduakan saya dengan teman2 lelakinya. Balik kerja (suami bekerja shif) melepak, selepas makan malam bila saya inginkan masa berdua-duaan setelah anak2 tidur dia keluar melepak. Lebih senang melepak daripada menghabiskan masa bersama saya dan anak2. Selama perkahwinan menjangkau 6 tahun, kami sering bertengkar mengenai perkara yang sama iaitu aktiviti melepaknya. Saya bekerja dan teramat jarang meminta apa2 dari suami dan tidak pernah menolak walau sekali permintaan suami untuk melayan nafkah batinnya. Namun masih kepada kawan2 masa yang dihabiskannya. Di saat saya mengirimkan emel ini kepada ustaz, telah 4 hari kami tidak bertegur sapa akibat saya bertanyakan hal yang sama. Saya bermuhasabah tentang diri sendiri dan cuba bersabar dengan semua yang terjadi.

  2. admin says:

    Jawapan:

    Kewajipan menggauli isteri

    Sebagaimana Allah swt mewajibkan isteri supaya taat kepada suami, begitu juga Allah swt mewajibkan suami untuk menggauli isterinya dengan baik. Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 12:

    Maksudnya: “Dan hendaklah kamu (para suami) menggauli mereka (para isteri) dengan kebaikan (makruf).”

    Hukum persetubuhan

    Persetubuhan atau biasa disebut sebagai nafkah batin oleh masyarakat kita merupakan antara tanggungjawab paling besar yang mesti dilaksanakan oleh suami terhadap isterinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah berkata di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra: “Wajib suami menyetubuhi isterinya secara makruf (patut dari sudut tempoh). Bahkan kewajipan ini adalah antara kewajipan utama, lebih utama daripada kewajipan memberi makan dan minum. Namun para ulama berselisih pendapat tentang bilangan persetubuhan yang wajib dilakukan ini. Ada yang mengatakan wajib dilakukan sekali setiap 4 bulan. Ada pula yang berpendapat ia wajib menurut keperluan isteri dan kemampuan suami, sebagaimana suami wajib memberi makan kepada isteri menurut keperluan isteri dan kemampuan suami, dan inilah pendapat yang lebih sahih.”

    Jika suami enggan melaksanakan tanggungjawab ini, tidak mengapa isteri menuntut perceraian daripada suaminya, kerana walaupun terdapat tegahan terhadap isteri untuk meminta perceraian daripada suami, tegahan itu hanyalah jika tuntutan perceraian itu tidak mempunyai apa-apa alasan yang dibenarkan syarak.

    Sabda Rasulullah saw (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud):

    أيما امرأة سألت زوجها الطلاق من غير ما بأس فحرام عليها رائحة الجنة

    Maksudnya: “Mana-mana wanita yang meminta talak tanpa sebarang alasan, maka haram ke atasnya bauan syurga.”

    Tidak bertegur sapa

    Perbuatan seseorang muslim yang tidak bertegur sapa dengan saudara semuslimnya yang lain lebih daripada 3 hari, tanpa apa-apa sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah haram. Ini sebagaimana difahami daripada sebuah hadis Rasulullah saw yang bersabda:

    لا يحل لمسلم أن يهجر أخاه فوق ثلاث ليالٍ، يلتقيان فيعرض هذا، ويعرض ‏هذا وخيرهما الذي يبدأ بالسلام

    Maksudnya: “Tidak halal bagi seseorang muslim untuk meninggalkan (tidak bertegur sapa) dengan saudara semuslimnya lebih daripada tiga malam. Kedua-dua berjumpa tetapi masing-masing berpaling. Yang paling baik antara keduanya ialah yang memulakan salam.”

    Ini hukumnya antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Maka begitu juga jika ia berlaku di antara suami isteri, bahkan mungkin lebih besar lagi kesalahannya kerana ia berlaku di antara dua orang insan yang sepatutnya ikatan kasih sayang di antara mereka sentiasa segar dan mekar.

    Walaupun Islam tidak menegah bahkan menggalakkan seseorang untuk mementing dan melebihkan kawan daripada diri sendiri, namun seseorang yang sudah berkeluarga mempunyai tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anaknya. Tanggungjawab ini sepatutnya lebih diutamakan daripada kawan-kawannya. Allah swt berfirman dalam surah al-Tahrim, ayat 6:

    Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

    Cadangan penyelesaian

    Cubalah berbincang secara baik dengan suami dengan memberikan kefahaman yang tepat tentang tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan keluarganya. Puan lebih tahu tentang cara paling baik yang boleh digunakan untuk berbincang dengan suami. Jika ini tidak berjaya atau puan merasakan suami tidak boleh terima jika puan sendiri menasihatinya, cubalah minta pertolongan daripada seseorang yang disegani atau dihormati oleh suami untuk memberi nasihat kepadanya. Tetapi sebaik-baiknya janganlah suami sedar bahawa puan meminta pertolongan daripada orang berkenaan, kerana kalau tersilap langkah ini akan menyebabkan suami akan lebih marah dan mungkin mengamuk serta menuduh puan mahu menyebarkan keaibannya kepada orang lain. Ini akan menyentuh keegoannya.

    Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesabaran kepada puan untuk mengharungi kehidupan sebagai seorang isteri yang taat kepada suami. Wallahu a’lam.

    Disediakan oleh:
    Ustaz Anwar Fakhri Omar
    Ahli Panel Majlis Ulama ISMA

  3. Abu Syifa says:

    Assalamualaikum WTB. Saya setuju dengan pandangan al-Fadhil ustaz Anwar mengenai penyelesaian masalah tersebut. Cuma seperkara yang ingin saya tambah, kadangkala semua ini berlaku kerana keluarga kita agak jauh dari Allah (saya tidak maksudkan tidak sembahyang atau melaksanakan perkara asas ibadah) dan kurang memahami peranan rumahtangga dalam kehidupan. Ramai yg merasakan rumahtangga sekadar medan mencari kepuasan halal dan harta yang halal. Memang semua itu adalah halal tetapi tidak cukup kukuh untuk menjadikannya asas yang kuat dalam berumahtangga. Lantaran itu peranannya sangat terhad. Sepatutnya rumahtangga pusat mendidik anak, pusat mengubah/tarbiah diri dan keluarga…

    Saya cadangkan sebagai tambahan cadangan Us. Anwar, puan cuba lebih dekati Allah. Banyakkan berdoa, solat thajjud, puasa sunnat. Lebih bagi masa pada memperelok diri, rumah dan rumahtangga. Persedapkan kata-kata dan masakan. Fokus pada anak-anak dengan memberi mereka tarbiah yang sempurna. Hadiri majlis-majlis Ilmu di masjid atau ikut serta program-program tarbiah (spt yg dibuat oleh ISMA), ajak suami bersama. InsyaAllah, perubahan diri adalah titik permulaan mengubah suami. Mungkin puan pun terlalu sibuk selama ini. Melayan suami tidak cukup hanya dengan memenuhi keperluan seksual…manusia ada satu sifat yang dinamakan jemu..jemu dgn satu perkara yang sama setiap hari. Nasi Briani walaupun ia sedap. tapi kalau dah selalu menjemukan. Lantaran itu kurangkan memprovok suami dgn isu yang memang ia tak suka. Tapi, tanya ia, apa yang ia tak puas hati dari puan. Itu lebih senang utk mencari penyelesaian.

    Akhirnya, cuba terus bersabar, banyakkan berdoa, redha dengan ketentuan Allah. Lagipun pasangan itu pilihan kita, setelah menapisnya dulu dgn cara tapisan kita…itu yang kita dapat..cubalah redha dan memperbaiki keadaan. Ingatlah, suami itu pinjaman Allah SWT, kebahagiaan yang sebenarnya ialah aabila kita mampu meraih cinta Ilahi kalaupun akhirnya kita tidak dicintai suami…sekadar memberi pandangan.

  4. raf edah says:

    salam ustaz,wlaupun sy masih blm brkahwin ttapi sy ingin bertanya tentang satu hal yg merisaukan sy..sy pernah terbaca dlm 1 bku,,dlm nya trdpat hadith yg mnyatakn bhwa stiap suami yg soleh pasti akan mnikahi sdikitnya pn 2 org wanita (bidadari syurga) … btl atau salah..? dan bagaimana dgn wanita yg dinikahi nya sewaktu di dunia ?