Berita Utama

Keputusan akhir kerjasama UMNO-PAS di tangan MT UMNO

Mesyuarat ‘Top 5’ UMNO dijadualkan esok ditunda ke tarikh lain

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1444H, Jumaat – Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan membuat keputusan akhir mengenai kerjasama parti itu dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata, sebagai parti yang mengamalkan keterbukaan, UMNO akan mendengar pandangan semua ahlinya berhubung perkara berkenaan.

“Keputusan sama ada UMNO perlu menamatkan perbincangan mengenai kerjasama dengan PAS akan dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada akhirnya,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat ‘Top 5’ UMNO untuk membincangkan pilihan raya umum yang dijadualkan esok telah ditunda ke tarikh lain.

“Mungkin perkara ini juga boleh dibangkitkan semasa mesyuarat majlis tertinggi akan datang,” katanya.

Pemimpin lima tertinggi UMNO merujuk kepada presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, parti itu akan terus melihat UMNO sebagai ‘rakan ‘kongsinya di bawah konsep perpaduan ummah.

Minggu lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengesahkan bahawa perbincangan antara UMNO dan PAS hanyalah perbincangan tidak rasmi dan tiada pemimpin parti itu berada di situ.

UMNO juga mengulangi pendirian sebelum ini bahawa ia bersedia untuk bergerak bersendirian pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button