Pendapat

Sejarah pembentukan Muafakat Nasional dari sisi rakyat marhaen

2 parti Melayu, Islam kacang lupakan kulit? NGO Islam diabai, dilupakan?

1. TERBENTUKNYA Muafakat Nasional (MN) adalah selepas berjayanya Himpunan Bantah ICERD pada 8 Disember 2018, anjuran Gabungan NGO UMMAH yang terdiri antara PEMBELA dan KONGRES RAKYAT.

2. Pentas Himpunan Bantah ICERD menjadi saksi kami daripada NGO, berjaya satukan antara dua parti terbesar Islam dan Melayu iaitu UMNO dan PAS. CIJ ulang, kami daripada NGO yang berjaya satukan dua parti Islam Melayu ini.

3. Walau bagaimanapun, selepas kami dapat satukan mereka, dua parti ini diibaratkan kacang lupakan kulit, apabila kami daripada NGO dilupakan, diabaikan. Dua parti ini meletakkan kami (NGO) seumpama ‘daun kari’. Habis madu, sepah dibuang.

NGO YANG MENYATUKAN DUA PARTI TIDAK DIJEMPUT SEMASA PERASMIAN MUAFAKAT NASIONAL

4. Percaya atau tidak, semasa pembentukan MN dirasmikan di PWTC, kami (NGO) di saat akhir (tiada jemputan asalnya), diletakkan sebaris dengan NGO kepartian, sedangkan kami (NGO) semestinya bukan NGO kepartian. Bukan mahu mendapatkan pujian atau penghargaan tetapi setidak-tidaknya, ingat kembali usaha kami (NGO) yang menyatukan dua parti ini sepentas pada Himpunan Bantah ICERD 812.

5. Sejak itu, kami (NGO) dinafikan suara kami. Mereka dua parti ini berlumba-lumba ingin mengesahkan bahawa merekalah bersatu dengan sendirinya. Merekalah yang kuat dan merekalah yang hebat. NGO? Siapa kami.

6. Selepas kami (NGO) ‘di daun karikan’ oleh mereka, selepas sekutu kami iaitu KONGRES RAKYAT ingin meneruskan perjuangan politik, kami (NGO) terpaksa membuat keputusan yang sangat memedihkan iaitu mufarakah. Kami tahu dan percaya, ramai di luar sana tidak mahu NGO kepartian. Sudah cukup parti yang ada. Akhirnya PEMBELA membuat langkah kehadapan dengan menegakkan ABATA tanpa kepartian.

7. Kini, PEMBELA terus teguh dengan pendirian sebagai sebuah gabungan NGO Islam Melayu yang bebas kepartian, menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan Malaysia. Atau bahasa mudahnya, yang mana salah, kita tegur, yang mana betul kita sokong.

KEMPEN BMF TERPALIT DAN TERCALAR DENGAN GERAKAN NGO KEPARTIAN

8. Antara usaha yang mendapat sedikit tempias negatif akibat ada penglibatan NGO kepartian ialah Kempen BMF. Sebab itu, anda boleh lihat ada NGO kepartian cuba bawa Kempen BMF sebagai tarikan sokongan kepartian tapi bila sudah ada kuasa, Kempen BMF dikarikan. Noktah.

9. PEMBELA dengan tegas khusus dalam Kluster Ekonomi, Kempen BMF adalah tunggak utama. Kempen BMF yang merentas kepartian dan golongan. Hanya untuk kebangkitan ekonomi muslim. Jadi, jangan salah faham lagi dan terus bersama Kempen BMF tanpa mengira parti, bangsa dan paling penting, Islam.

MENUNGGU RETAK ATAU KETEPIKAN EGO UNTUK BERSATU SEMULA TETAPI BERSAMA NGO PEMBELA

10. Akhir-akhir ini, kita sudah nampak keretakan antara MN apabila UMNO tidak mahu bersama Perikatan Nasional (PN) manakala PAS terus menegaskan bersama PN tetapi dalam pada masa yang sama mahu MN. Usaha PAS yang sangat murni tetapi satu ketetapan wajar dibuat, mana mungkin dua kolam, dua rumah dan dua kapal. Pilihan harus dibuat.

11. Dari situ, kita dapat lihat, betapa rendahnya kualiti MN yang terbentuk antara dua parti terbesar tetapi sudah hilang punca selepas dua parti ini ‘membuang’ NGO yang telah menyatukan mereka. Bayangkan jika dua parti ini terus mengikat ukhwah kebersamaan bersama NGO. Sudah pasti kuat dan terus kukuh.

12. NGO PEMBELA akan terus menjadi sebuah badan semak dan imbang kepada sesiapapun asalkan Islam. Sudah tiba masanya parti Islam dan Melayu bersatu. Sudah tiba masanya semua parti yang berasaskan Islam dan Melayu duduk bersama. Sudah pasti, jangan lagi lupakan NGO PEMBELA dalam pembentukan kesatuan dan kebersamaan ini.

Mohd Nor Izzat Johari
Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button