Berita Utama

Polis belum terima permohonan permit ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’

Penganjur, peserta berdepan tindakan jika tidak ikut prosuder

BANGI, 25 Safar 1445H, Isnin – Polis belum menerima permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan Sabtu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tarikh akhir permohonan permit itu adalah pada hari ini.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu membuat permohonan mengikut prosedur di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dalam tempoh lima hari sebelum acara.

“Saya belum pasti mereka sudah buat permohonan atau tidak, nanti saya akan semak. Tetapi hari terakhir untuk mereka buat permohonan adalah hari ini, lima hari sebelum,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, selain memohon permit, sebarang perhimpunan yang ingin dianjurkan mana-mana pihak perlu mematuhi beberapa syarat peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan.

Antaranya termasuk mendapat keizinan empunya kawasan serta memastikan tiada bantahan daripada masyarakat yang berada di sekeliling lokasi perhimpunan.

“Dalam konteks ini adalah perlu mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga pihak Sogo.

“Dimestikan untuk tidak ada bantahan daripada masyarakat yang berada di sekeliling khususnya pemilik-pemilik premis kedai atau Sogo sendiri yang mana mereka boleh membuat bantahan dalam tempoh 48 jam sebelum itu.

“Itu syarat yang perlu dipenuhi oleh mana-pihak yang ingin membuat perhimpunan. Saya harap mereka buat ikut prosedur, kalau tidak, tindakan akan diambil,” katanya

Sebelum ini, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur Sabtu ini.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata, kempen dijadual bermula jam 2 petang itu bertujuan membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button