Berita UtamaDunia

Cetus Islamophobia, Presiden Perancis terus dikecam

Tuduhan Macron tingkatkan gelombang permusuhan masyarakat global

DOHA, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Ucapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan dunia Arab kerana cubaan menghina dan memperlekehkah Islam.

Terdahulu Macron memaklumkan rancangan mempertahankan nilai sekular bagi menentang kumpulan Islam – dan menuduh agama Islam berada dalam krisis di seluruh dunia.

Dakwanya, Perancis mahu ‘membebaskan’ Islam di negara itu daripada pengaruh asing – sekolah dan persatuan yang bertujuan untuk komuniti agama akan dipantau dengan teliti.

Kenyataan Macron itu reaksi terhadap tragedi mendiang Samuel Paty yang dipenggal kepala kerana menunjukkan kartun menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ.

Kementerian Luar Qatar mengulangi penolakan sepenuhnya terhadap segala bentuk ucapan kebencian tidak kira apa jua kepercayaan, bangsa mahupun agama.

“Ucapan populis yang membimbangkan ini telah menyaksikan titik perubahan bahaya yang menyasarkan hampir dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” kata kementerian itu.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa kenyataan yang sengaja menyinggung umat Islam itu mengakibatkan peningkatan gelombang permusuhan masyarakat global.

Negara Teluk menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menolak kebencian dan hasutan, menyokong nilai-nilai toleransi serta berusaha mewujudkan prinsip-prinsip keamanan antarabangsa.

Di Gaza, mahasiswa muslim berkumpul di hadapan Pusat Kebudayaan Perancis atas desakan Kesatuan Ulama Palestin bagi memprotes amalan anti-Islam serta kenyataan dikeluarkan Perancis.

Para cendekiawan turut menggesa supaya memboikot produk Perancis sebagai tindak balas terhadap kenyataan kontroversi Macron selain keputusannya bahawa karikatur Nabi Muhammad akan terus diterbitkan di Perancis.

Baru-baru ini, Perancis menyiarkan paparan gambar menghina Nabi Muhammad ﷺ di lobi dan di hadapan beberapa bangunan di negara itu.

Umat Islam di Perancis menyifatkan tindakan Macron sebagai Islamophobia dan cubaan menindas agama Islam. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button