Berita UtamaDunia

1 juta tiba di Rafah sejak perang Gaza

Kemasukan penduduk dari kawasan tengah dan Khan Younis

GAZA CITY, 22 Jamadilakhir 1445H, Khamis – Jumlah penduduk dipindahkan yang tiba di Rafah – di bahagian paling selatan Semenanjung Gaza – mencecah kira-kira sejuta sejak permulaan serangan Israel pada 7 Oktober.

“Jumlah penduduk yang hadir di bandar Rafah pada masa ini tidak kurang daripada 1.3 juta, dengan penduduk bandar itu adalah sekitar 300,000,” kata Ketua Perbandaran Rafah, Ahmed al-Soufi.

Pegawai Palestin di Gaza itu berkata, bilangan di pusat perlindungan milik Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) adalah kira-kira 713,000, termasuk mereka yang dipindahkan di luar premis pusat itu tetapi berdaftar dengan agensi PBB.

Al-Soufi menegaskan bahawa daripada jumlah penduduk di bandar itu, terdapat kira-kira 268,000 di dataran awam dan jalanan.

Sejak permulaan perang Israel, ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari serangan udara Israel di Gaza City telah menuju ke Rafah.

Kemasukan penduduk dari kawasan tengah dan Khan Younis berterusan tatkala amaran daripada tentera supaya mereka berpindah segera.

Walaupun tentera Israel mengklasifikasikan kawasan di selatan Semenanjung Gaza, termasuk Rafah, sebagai kononnya zon selamat, kawasan tersebut telah menyaksikan serangan udara yang sengit menyasarkan rumah yang didiami, mengakibatkan kematian dan kecederaan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button