Berita Utama

Mufti Pulau Pinang minta ajaran tasawuf ekstrem segera disiasat

Perkara itu dikhuatiri menyeleweng daripada ajaran Islam

GEORGE TOWN, 9 Jamadilakhir 1443H, Rabu – Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta pihak berkuasa agama menyiasat sebuah video tular di media sosial mengenai seorang lelaki mengajar tasawuf ekstrem yang dikhuatiri menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau berkata tindakan segera perlu diambil bagi mencegah ajaran tasawuf yang menyesatkan daripada disebarkan di negara ini supaya akidah umat Islam yang berlandaskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah akan terus terpelihara.

“Aliran pemikiran sebegini mampu merosakkan akidah umat Islam dan membawa kepada kesesatan kerana ia memecahkan agama Islam kepada syariah dan hakikat, sebab itu saya minta pihak berkuasa agama dapat mengambil tindakan segera terhadap video dan lelaki tersebut.

“Malah ia seterusnya memperleceh syariah dan para ulama syariah dengan dakwaan palsu kononnya ulama syariah mengubah ajaran agama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salim mengulas mengenai video berdurasi 3 minit 53 saat yang tular sejak semalam mengenai pelaksanaan solat yang didakwa menyimpang daripada ajaran Islam.

Beliau berkata jika dihalusi, aliran pemikiran tasawuf yang melampau itu didapati berpunca daripada dakwaan kononnya Rasulullah SAW mengajar sahabatnya ilmu hakikat yang tidak didedahkan kepada sahabat lain.

Katanya itu adalah satu tohmahan karut terhadap Nabi Muhammad bahawa baginda menyembunyikan ilmu yang diperintahkan Allah untuk disampaikan kepada semua. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button