Berita Utama

Lebih 25 cedera terkena letupan bunga api ketika sambutan Thaipusam

SUNGAI PETANI, 16 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Sambutan sempena Thaipusam dihadiri lebih 30,000 pengunjung di Kuil Sri Subramaniya Swami dekat sini, bertukar tragedi apabila lebih 25 cedera terkena letupan bunga api dalam kejadian berdekatan kuil berkenaan, malam tadi.

Pengerusi MIC Kedah, Datuk Jaspal Singh berkata, kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika orang ramai sedang menyaksikan perarakan kereta berhala yang diarak keluar daripada kuil berkenaan yang baru sahaja bermula kira-kira 7.30 malam tadi.

“Setakat ini tiada yang maut, kebanyakannya cedera ringan sahaja. Kita akan minta pihak berkuasa siasat perkara ini kerana kalau ikut ketetapan, kita tidak memasukkan agenda pertunjukan bunga api dalam sambutan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, malam tadi.

Sehingga kini, polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut, manakala jumlah sebenar mangsa masih belum diketahui.

Sementara itu, seorang mangsa A Tiruselvi, 41, berkata ketika kejadian dia dan anaknya sedang berada berdekatan dengan kenderaan perarakan berkenaan.

“Ketika itu kami sedang asyik melihat pertunjukan bunga api. Setelah beberapa das bunga api dilepaskan, ada bunga api tidak meletup (tidak naik) dan terbakar di tanah menyebabkan kami semua lari bertempiaran,” katanya. – Bernama

 

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close