Berita UtamaDunia

UAE rancang hantar misi ke Marikh

Dubai lantik arkitek beri gambaran sebuah bandar Marikh

DUBAI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini dalam perancangan untuk menyertai negara elit lain dengan menghantar misi ke Marikh.

Negara itu sebelum ini dikenali apabila berjaya membangunkan program tenaga nuklear dan menghantar manusia ke angkasa.

UAE bukan sahaja terkenal dengan bangunan pencakar langit dan tarikan pelancongan mega, tetapi kini sedang berusaha untuk menjadi dunia Arab pertama menghantar misi mengorbit Marikh sama seperti Amerika Syarikat (AS), India, Soviet Union dan Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Misi berkenaan adalah sempena ulang tahun ke-50 penyatuan UAE, dengan kapal angkasa lepas tanpa pemandu dikenali sebagai ‘Hope’ dijangka tiba ke sasaran pada Februari tahun depan, selepas dilancarkan pada 15 Julai depan di Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun.

Walaupun objektif misi itu untuk menyediakan gambaran komprehensif perubahan dinamik cuaca dalam atmosfera Marikh bagi membuka laluan untuk penemuan saintifik, ia adalah asas untuk sasaran yang lebih besar, iaitu membina penempatan manusia di Marikh menjelang 100 tahun akan datang.

Sementara itu, Dubai melantik arkitek untuk memberi gambaran sebuah bandar Marikh dan membinanya di kawasan gurun negara itu sebagai ‘Bandar Sains’ dengan kos sekitar 500 juta dirham (RM580.9 juta).

Hazza al-Mansouri pada September tahun lalu menjadi rakyat UAE pertama berada di angkasa lepas, apabila menjadi sebahagian daripada tiga krew yang terbang dalam roket Soyuz dari Kazakhstan.

Beliau kembali ke Bumi selepas selesai misi selama lapan hari, sekali gus menjadikannya sebagai orang Arab pertama melawat Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Menjelang pelancaran misi ke Marikh, UAE membuka pintu kepada orang Arab di seluruh rantau itu untuk mengambil bahagian dalam program angkasanya selama tiga tahun. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button