Berita Utama

Kaji semula sistem demokrasi Malaysia: Tun M

Tiada parti menang majoriti, pihak ditolak rakyat akhirnya jadi kerajaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 13 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Malaysia perlu mengkaji semula sistem demokrasi supaya amalannya dapat menjamin negara memiliki sebuah kerajaan yang cekap dan berkebolehan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun demokrasi berjalan dengan baik di beberapa negara Barat, ini tidak bermakna sistem berkenaan berjaya untuk Malaysia mempunyai kerajaan yang berwibawa dan mampu mentadbir dengan baik.

Dalam hujahnya itu, beliau merujuk situasi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, apabila amalan demokrasi gagal memberikan hasil seperti yang diharapkan rakyat kerana parti kalah menjadi kerajaan, manakala pihak menang tidak mendapat tempat.

“Dalam PRU15, tiada satu parti pun yang disukai oleh ramai sehingga kita menghadapi satu masalah tidak dapat mendirikan kerajaan kerana tiada parti yang menang (kerusi Parlimen) cukup.

“Dan apa yang berlaku, orang yang kalah dan ditolak rakyat ini mencantum parti menjadi satu, maka memperoleh jumlah wakil rakyat yang cukup untuk mendirikan kerajaan.

“Ini bukan orang yang dipilih, malah ditolak rakyat. Sebab itu sistem demokrasi ini tidak menjamin negara akan memiiliki kerajaan yang cekap dan berkebolehan,” katanya dalam forum ‘Minda Negarawan: Malaysia Baharu Impian Bersama’ sempena Sidang Nasional BERJASA 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir percaya situasi PRU15 lalu adalah akibat daripada terlalu banyak perpecahan parti politik yang wujud dalam negara.

“Kalau kita lihat negara demokratik yang maju, mereka biasanya mempunyai dua buah parti sahaja. Bila ada dua parti dalam pilihan raya, maka mana-mana satu akan dapat kemenangan.

“Jarang terjadi, yang mana kedua-dua parti mendapat sokongan sama 50-50 dan tidak boleh menentukan siapa kerajaan,” katanya.

Namun, beliau berkata, adakalanya situasi itu berlaku dan pilihan raya lain terpaksa diadakan sekali lagi untuk menentukan parti mana yang lebih disukai seperti di Turkiye sebelum ini.

“Sebab itu kalau lihat keadaan di Malaysia, kita menolak dua parti bertanding tetapi pecah banyak parti. Memang hasrat parti-parti ini baik, tetapi kalau kita berpecah dalam pemilihan, mungkin tiada satu parti pun dapat kemenangan mendirikan kerajaan.

“Ini sebab kita perlu kaji semula sistem demokrasi ini, bagaimanakah nak guna sistemnya untuk kita tentukan sebuah kerajaan yang dipilih mendapat sokongan daripada majoriti suara rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button