Berita Utama

LZNK bantu bina semula rumah mangsa banjir di baling

Pihak LZNK sedang mendapatkan senarai penduduk yang layak

ALOR SETAR, 13 Zulhijjah 1443H, Rabu – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan membantu membina semula rumah golongan miskin dan fakir yang musnah dan rosak teruk akibat banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata ketika ini pihaknya sedang mendapatkan senarai penduduk yang layak daripada Pejabat Daerah dan Tanah Baling sebelum pembinaan semula rumah dilaksanakan.

Menurutnya pembinaan semula rumah akan dibuat di atas tanah seluas dua ekar (0.809 hektar) di Kampung Sadek, Kupang seperti yang telah diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini.

“Fasa cuci rumah dah selesai dan sekarang fasa bangun semula kehidupan penduduk sama ada bina baru, baiki dan beli peralatan di dalam rumah bagi mangsa banjir yang layak.

“Kita akan sediakan peruntukan selepas jumlah sebenar mereka yang layak mendapat bantuan itu, diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Tanah Baling,” katanya kepada pemberita pada Majlis Agihan Daging Korban Kepada Asnaf negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata LZNK turut menerima sumbangan daripada agensi zakat negeri lain untuk disalurkan kepada mangsa banjir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button