DuniaUtama

Aceh wajib semua pramugari pakai tudung

ACEH, 14 Jamadilawal 1439H, Rabu – Aceh satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan hukum syariah, kini menguatkuasa peraturan baharu mewajibkan semua pramugari mana-mana syarikat penerbangan memakai tudung sebaik sahaja mendarat di rantau itu.

Bagi mereka yang enggan berbuat demikian akan berdepan dengan hukuman oleh polis agama.

Ketika ini, undang-undang Islam yang di Aceh mewajibkan semua wanita beragama Islam memakai tudung, manakala wanita bukan bukan Islam perlu memakai pakaian yang sopan.

Difahamkan peraturan terbaharu ini dikuatkuasa ekoran terdapat pramugari yang enggan mematuhi meskipun untuk persinggahan sebentar di lapangan terbang wilayah itu.

Ketua Daerah Aceh Besar, Mawardy Ali berkata, pihaknya berharap semua syarikat penerbangan akan menghormati keunikan yang dimiliki Aceh yang melaksanakan undang-undang Syariah.

Katanya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat penerbangan minggu ini.

“Kami akan mengedarkan maklumat mengenai peraturan baharu ini kepada semua syarikat penerbangan.

“Selepas itu, kami akan memberitahu bentuk hukuman yang akan dikenakan jika mereka melanggar peraturan berkenaan.

“Sekiranya pramugari beragama Islam enggan mematuhi peraturan ini, teguran akan diberikan, dan jika kesalahan itu dilakukan berulang kali, kami akan mengarahkan polis Syariah untuk menahannya,” katanya. -Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close