Berita UtamaUtama

Hakim perlu diberi taklimat mengenai Islam sebelum kendali kes

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Jamadilawal 1439H, Selasa – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mengesyorkan supaya hakim ataupun majistret yang tidak mendalami ilmu agama Islam, diberi taklimat terlebih dahulu oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sebelum mengendalikan kes.

Ianya perlu dalam kes yang dibicarakan di mahkamah sivil membabitkan kes antara agama, bagi mengelakkan keputusan yang mengancam kesucian agama serta perpaduan negara, kata Naib Presidennya, Hassan Basri Muhammad.

Cadangan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, yang memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Meskipun menghormati keputusan itu, Hassan bagaimanapun menegaskan, sebarang kehendak dan penafsiran Perlembagaan dalam membuat keputusan juga sewajarnya berpaksikan kepada semangat Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

“Sebaliknya mahkamah hanya bersandarkan pentafsiran akal pada perkataan majmuk ‘parents’ (ibu bapa).

“Sedangkan kesepakatan ulama empat mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah jelas memutakmadkan bahawa agama anak bawah umur adalah di bawah dan dinasabkan kepada bapanya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan ini juga sudah tentu akan melebarkan lagi dan menyerap fahaman liberalisme, dan semestinya menjadi rujukan serius pada kes-kes yang sama di masa akan datang.

“Hal ini tidak mustahil boleh membawa kepada masalah jenayah sampingan seperti sentimen provokasi agama, penculikan, melarikan anak dan seumpamanya.

“Tambahan pula Perkasa sudah melihat bibit-bibit awal provokasi atas sentimen agama apabila M Kulasagaran, yang juga peguam kepada M Indiran Ghandi, seolah-olah memperlekeh Parlimen dan Kabinet apabila menyatakan keputusan Mahkamah Persekutuan ini jelas menzahirkan betapa ‘Parlimen dan Kabinet takut membuat keputusan’,” katanya.

Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Hello, hakim sivil membuat keputusan penghakiman bukan berlandaskan mana-mana agama tetapi berlandaskan undang-undang. Walaupun Perlembagaan mengatakan Islam adalah agama Persekutuan, ia tidak bermaksud semua keputusan kes mesti berlandaskan ajaran/prinsip agama Islam.

    Sila baca berita ini:-

    http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/we-were-not-swayed-by-religion-judge-says-in-indira-case#AjisDgJo7BoOHFqD.97

    Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira terdiri daripada 5 orang hakim, yang mana 4 adalah beragama Islam. Tetapi mereka mengatakan bahawa dalam membuat keputusan kes Indira, keempat-empat hakim Islam ini tidak dipengaruhi akidah agama Islam mereka.

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close