Berita Utama

Zahid yakin Rais keluar sebab sedar Bersatu bakal tewas

Bersatu hanya untungkan segelintir pemimpin, ahlinya yang sedikit terus terbiar

BANGI, 13 Rabiulawal 1444H, Isnin – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan tindakan Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff keluar Bersatu kerana sedar parti itu tidak mempunyai masa depan walaupun dilaporkan berpunca daripada masalah kesihatan.

Presiden UMNO itu berkata, jika parti itu masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah, maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC.
Malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti.

“Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu. Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa Bersatu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU15 ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti berkuat kuasa 7 Oktober lalu.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan Bersatu, pada Khamis lalu.

Rais Hussin berkata, beliau tidak lagi aktif dalam parti itu sejak 2020 selepas menjalani prosedur jantung dan banyak menumpukan kepada pembangunan EMIR Research sebagai badan pemikir bebas yang menumpukan kepada cadangan dasar strategik.

Ahmad Zahid bagaimanapun yakin tindakan ahli strategis dan pengasas bersama Bersatu itu satu tamparan besar kepada parti berkenaan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada faktor yang besar yang menyebabkan Rais Hussin keluar dari Bersatu, ketika pilihan raya umum semakin hampir.

Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada Bersatu sendiri yang dilihat bakal tewas dan tak boleh diselamatkan lagi akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah.

Selain itu, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas.

“Sudah pasti, Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin parti dari segi jawatan Kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar.

“Percubaan Bersatu sejak kepimpinan Mahathir dan Muhiyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button