Berita UtamaUtama

Siswazah Bumiputera jangan takut menentang arus


KUALA LUMPUR, 7 Jamadilawal 1439H, Rabu – Siswazah Bumiputera perlu berani menentang arus dengan melakukan pekerjaan di luar bidang dipelajari demi mengumpul pengalaman kerja.

Pro–Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub berkata, mereka juga digalak menceburi bidang keusahawanan dan tidak memperlekeh bidang berkenaan.

“Memang graduan akan memilih kerja mengikut bidang (yang dipelajari), kadang-kadang setahun, dua atau tiga tahun belum dapat pekerjaan sesuai. Namun jangan takut untuk mencari pengalaman dalam bidang berlainan misalnya perniagaan. Jangan harap makan gaji.

“Jual nasi lemak sekalipun tidak mudah, pelbagai perkara harus difikirkan. Siapa yang nak pergi pasar, siapa nak masak, siapa nak cari pelanggan? Ia bukan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

Menurutnya sikap sesetengah siswazah yang mempunyai jangkaan terlalu tinggi terhadap kerjaya yang mahu diceburi tanpa memikirkan realiti sebenar pekerjaan juga menjadi punca mereka masih mengganggur.

Katanya, ada lepasan Diploma Pengurusan Perladangan menolak pekerjaan di ladang kerana menyangka mereka akan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin sedangkan ia memerlukan mereka memantau ladang.

Bagaimanapun, beliau berkata, majikan perlu memberi peluang kepada siswazah untuk mereka menyesuaikan diri dengan pekerjaan termasuk memberi tunjuk ajar.

Majikan, katanya tidak boleh mengharapkan siswazah tahu segalanya dan mahir melakukan kerja mereka dalam masa yang singkat. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close