Kolumnis

Kemasukan Gerakan akan pecah belahkan perpaduan Melayu

Hakikatnya kini parti Gerakan lebih bahaya daripada DAP

PUAS saya fikir atas pertimbangan apa PN menerima Gerakan? Adakah pandangan PAS turut diambil kira? Tidakkah PN sedar siapakah Gerakan? Parti yang sudah mereput ini, diberikan talian hayat.

Dengan kemasukan Gerakan ini, PRU15 nanti adalah kemuncak perpecahan Melayu Islam, mungkin lebih teruk daripada PRU14. Pertandingan lebih daripada tiga penjuru pasti akan berlaku. Apatah lagi, menerima Gerakan, setelah keluar BN, ketika UMNO berduka, sudah tentu mengguris hati UMNO.

Jika PN sudah lupa, elok saya ingatkan sejarah Gerakan.

Parti Gerakan ditubuhkan pada 24 Mac 1968. Penaja utama parti ini ialah Tan Chee Koon dan V. Veerapan. Kedua-duanya adalah bekas pemimpin Parti Buruh. Lim Chong Eu pula adalah bekas pemimpin United Democratic Party (Vasil, 1980; Zainal Rahmat, 1990). Kebanyakan ahli mereka adalah orang Cina ’sama’ seperti MCA. Bagi mengaburi mata masyarakat agar tidak mengaitkan parti ini sebagai parti berasaskan kaum, maka beberapa langkah diambil termasuk memilih orang Melayu menjadi pengerusi parti iaitu Syed Hussain Al-Attas (Zainal Rahmat, 1990).

Gerakan pada awal penubuhannya mengamalkan pendekatan bukan perkauman (non-racial approach) seperti DAP. Namun, oleh kerana kebanyakan ahlinya adalah terdiri daripada kaum Cina, seperti MCA dan DAP, Gerakan condong memperjuangkan kepentingan politik Cina (Low Yong San, 1997).

Gerakan adalah sebuah parti liberalisme dan merupakan ahli Majlis Liberal dan Demokrat Asia. Gerakan agak berjaya dalam PRU3, tahun 1969 ketika parti ini berkempen atas manisfesto keadilan sosial dan pengurangan atau penghapusan hak-hak istimewa Bumiputera yang digariskan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dari awal lagi parti ini bersifat perkauman. Selepas menang dalam pilihan raya di Pulau Pinang, parti ini kemudian mengadakan perhimpunan kemenangan di Kuala Lumpur. Malangnya, perhimpunan itu menyimpang daripada laluan yang dirancangkan. Mereka telah masuk ke kawasan-kawasan Melayu di bandar raya itu dan ahli-ahli partinya mengejek orang-orang Melayu di sana. Walaupun parti itu meminta maaf pada hari berikut, UMNO yang merupakan parti komponen utama dalam kerajaan campuran Parti Perikatan, mengadakan sebuah perhimpunan balas. Perhimpunan itu menjadi rusuhan yang mencetuskan pembunuhan antara Melayu dan Cina. Selepas itu darurat diisytiharkan dan Parlimen dibubarkan sehingga tahun 1971. Selepas itu, Gerakan menyertai Barisan Nasional pada tahun 1972.

Gerakan berjaya memerintah Pulau Pinang selepas menang dalam pilihan raya pada tahun tersebut. Sejak itu, negeri Pulau Pinang terus berketuamenterikan orang Cina daripada parti Gerakan sehingga tahun 2008. Seperti juga MCA, Gerakan menjadi jaguh mempertahankan kepentingan dan hak-hak orang Cina. Gerakan mahukan keadilan dan kesaksamaan dalam semua perkara seperti ekonomi, politik, sosial dan pendidikan Cina. Istilah ‘bangsa Malaysia’ dicipta dan dipopularkan dengan harapan tidak ada lagi keistimewaan kepada ‘bangsa asal’ (orang Melayu).

Sebab itulah, Gerakan paling awal mengambil keputusan keluar BN, setelah UMNO ‘gagal’ dalam PRU14.

Kemasukan Parti Gerakan dalam PN ketika sambutan Tahun Baru Cina telah mengubah landskap politik negara. Walaupun Gerakan sudah meninggalkan Barisan Nasional, satu kenangan peristiwa yang kekal bersama MCA dan MIC sejak tahun 1972.

Apakah kita sudah lupa angkara peristiwa 13Mei 1969?

Seperti yang telah disebut di atas, Gerakan terlepas daripada tindakan rusuhan 13 Mei setelah menyertai Barisan Nasional, akibat kekalahan teruk MCA dan MIC kepada Gerakan di semua kerusi yang ditandingi mereka.

Kemasukan Gerakan telah menyebabkan MCA dan MIC berkongsi kerusi Parlimen yang dulunya didominasi oleh kedua-dua parti tersebut. Malahan MCA dan MIC terpaksa berkongsi kuasa dengan Gerakan dalam kerusi kabinet, Menteri dan Timbalan Menteri.

Seterusnya, Gerakan berjaya menguasai Pulau Pinang daripada MCA, melalui cara ‘tikam belakang’. Perbalahan Gerakan dan MCA juga merebak kepada perebutan kerusi bukan Melayu di Kedah, Perak dan Pulau Pinang yang turut melibatkan MIC. Tolak ansur MCA dan MIC ini adalah terpaksa demi menjaga perpaduan komponen parti Barisan Nasional yang diasaskan oleh kedua-dua parti ini bersama UMNO. Malahan, Gerakan juga berjaya mencuri ahli-ahli MCA dan MIC sejak tahun 1990 turut berlakunya.

Peristiwa kejatuhan Pulau Pinang kepada DAP pada tahun 2008 juga, melibatkan sokongan ahli-ahli Gerakan berpaling tadah kepada DAP. Ini menyebabkan Gerakan kini hanya tinggal kurang dari 300 ribu ahli dan banyak cawangan Gerakan juga ditutup.

Sinonim Gerakan dengan parti mayat sejak 2008 lagi tidak dapat dipisahkan kerana setiap hari ramai ahli-ahli Gerakan menyertai DAP daripada kembali kepada MCA. Walaupun dilihat Gerakan adalah parti majmuk seakan sama dengan DAP. Tetapi perjuangan Gerakan juga diwarnai oleh sosialis demokrat dan bukannya etnik sentrik seperti mana difahami oleh kebanyakan orang.

Maka kemasukan Gerakan telah menyebabkan tentangan bukan sahaja MCA tetapi juga MIC. Bukan mudah untuk Gerakan diterima ke dalam Perikatan Nasional tanpa adanya sokongan pemimpin tertentu yang berpengaruh dalam Perikatan Nasional.

Malahan Gerakan juga diberikan kebenaran untuk menandingi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai hampir 40% pengundi bukan Melayu iaitu Cina dan India. Gerakan juga diberikan kelonggaran untuk bertanding di kerusi dewan undangan negeri majoriti Melayu yang mempunyai hampir 25% pengundi bukan Melayu di Pantai Timur seperti bandar Kota Bahru, Kuantan, Betong, Temerloh, Raub dan Kuala Terengganu.

Jika diamati Gerakan juga akan berebut kerusi bukan sahaja dengan MCA dan MIC tetapi juga UMNO di Kedah, Perak dan Selangor. Contohnya kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Sungai Petani, Alor Setar, Padang Serai dan Bandar Baru Kulim.

Hakikatnya, Barisan Nasional bukan dalam komponen PN dan hanya bergabung dengan PN atas sebab-sebab tertentu. Berkemungkinan akan berlakunya pemecahan jika berlaku PRU 15 besar sekali.

Situasi ini jelas kelihatan apabila mesyuarat MN yang sepatutnya dihadiri oleh PAS bersama UMNO sudah tidak diadakan sejak tiga bulan yang lepas. Nampaknya, berbagai usaha yang dijalankan oleh UMNO termasuk lawatan Timbalan Presiden UMNO juga tidak diendahkan oleh PAS untuk memperkasakan perpaduan ummah antara PAS dan UMNO. Malahan PAS lebih selesa bersama dengan PN daripada MN. Berkemungkinan MN lebih inklusif untuk bersama Melayu dan Islam.

Tetapi apa yang tidak difahami oleh PAS mungkin adalah, MN telah pun merangkumi MCA dan MIC. Barisan Nasional pada hari ini dilihat lemah kerana imej kepimpinannya tercalar. Tetapi jangan lupa bahawa kekuatan Barisan Nasional bukan di atas baju yang dipakai tetapi jentera akar umbinya.

Perubahan kepemimpinan sudah pasti akan berlaku, cuma menunggu masa dalam kepimpinan UMNO. Disebabkan itu penangguhan pemilihan dibuat bagi membenarkan perancangan distrukturkan semula bagi membaiki imej dan kekuatan parti. Mungkin ramai tidak sedar bahawa diperingkat akar umbi UMNO, MCA dan MIC kini sudah sedar akan kesilapan mereka yang lalu. Semestinya ketiga-tiga parti ini tidak akan membenarkan apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan PRU 14 berulang lagi.

Walaupun begitu, MCA dan MIC kini hanya menanti masa untuk memujuk UMNO supaya meninggalkan gabungan PN bila sudah tiba masanya nanti. Jika ini berlaku, pertandingan 3 penjuru tidak dapat dielakkan. Apa yang pasti kuasa tawar menawar bukan Melayu akan lebih kukuh jika berlakunya semula pertandingan tiga penjuru nanti dalam PRU 15.

Pada hari ini media memaparkan bahawa tahap sokongan rakyat ke atas kepimpinan Perdana Menteri agak tinggi juga boleh diragui. Rungutan dan masalah rakyat pada hari ini adalah lebih daripada bantuan penyelesaian kerajaan.

Mungkin juga ramai mengatakan PH kini lemah, selepas Langkah Sheraton, juga ternyata meleset. Hanya sebilangan ahli PH yang menyertai PN. Masing-masing masih setia bersama dengan PKR diketuai Anwar Ibrahim, DAP dan Amanah.

Ini yang ramai penganalisis politik tidak diulas bahawa kekuatan kesetiaan ahli PH masih utuh. Apa yang dirisaukan ialah melihat jika benar PH tidak berpeluang mengalahkan PN. Maka apa salahnya memangkah Barisan Nasional untuk kembali berkuasa dengan memenangkan kerusi MCA dan MIC.

Hakikatnya dalam politik, semua berkemungkinan berlaku dan berubah. Jika PN dan PAS masih bermimpi ibarat angan-angan Mat Jenin, di siang hari dan masih berasa akan menang dengan kelebihan 100 kerusi yang akhirnya menguasai Putrajaya.

Maka jangan menyesal nanti andaian yang kita ingin berlaku tidak berlaku dan sebaliknya panahan luka yang diterima akibat daripada kelalaian angan-angan Mat Jenin di siang hari

Tidak mustahil, Gerakan, MCA, MIC akan jadi king maker selepas PRU15

Percayalah, parti Gerakan akan pecahkan PN, MN dan BN.

Selepas PRU15, tidak mustahil, Gerakan selepas itu akan cuci tangan, keluar PN, sebagaimana ia keluar daripada BN apabila UMNO tidak mendapat majoriti lagi untuk memerintah.

Tolak campur, tolak campur, semuanya menguntungkan ultra kiasu, dalam PH ada DAP. Dalam PN ada Gerakan, Dalam BN ada MCA, dalam GPS ada SUPP.

Apapun menang yang depa sokmo. Siapa rugi? Lu fikirlah sendiri

Saya cuma nak ingatkan, nak jadi berbilang kaum tidak semestinya menerima Gerakan. Paling penting adalah menjaga kebajikan semua kaum walaupun parti itu hanya dominasi satu kaum

Lihat di Brunei, yang memerintah adalah orang Islam. Paling penting, hak dan kebajikan bukan Islam terjamin. Ini baharu betul. Ini tidak, parti yang mereput diterima bagi menunjukkan berbilang kaum. Ini alasan sukar untuk diterima bagi yang mengaji politik.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button