Berita UtamaDunia

191 laman web antinegara di Bangladesh diarah tutup

Badan pemerhati bimbang langkah sekat laman berita halang kebebasan bersuara

DHAKA, 10 Rejab 1444H, Rabu – Bangladesh menutup 191 laman web yang menerbitkan berita berunsur antinegara, satu tindakan yang mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan media di negara Asia Selatan tersebut.

Menteri Komunikasi, Hasan Mahmud berkata, kerajaan telah mengarahkan pengawal selia komunikasi supaya menutup semua laman web yang dipercayai laporannya dihasilkan oleh agensi perisikan.

Tidak menamakan laman-laman web itu, namun Hasan mendakwa ia menjalankan aktiviti menyebarkan kekeliruan di kalangan masyarakat dalam negara.

Sebelum ini, menerusi Akta Keselamatan Digital Bangladesh ratusan penduduk ditahan sejak 2018 sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Badan Pemerhati Media ARTICLE 19 South Asia, Faruq Faisel berkata, kerajaan tidak sepatutnya mengawal aliran Internet di negara tersebut.

“Langkah menyekat laman berita akan menghalang kebebasan bersuara di negara ini.

“Tindakan berkenaan juga akan membuka jalan penyebaran maklumat salah dan tidak sahih,” katanya.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga senada sambil menegaskan kebebasan bersuara perlu dilindungi.

“Wartawan mempunyai hak untuk dapat mengendalikan laman berita mereka secara bebas dan terbuka, kami juga mahu melihat pergerakan positif ke arah itu”, katanya dalam taklimat di New York.

Indeks Wartawan Tanpa Sempadan dan Kebebasan Media Dunia 2022 meletakkan Bangladesh di kedudukan ke-162, lebih teruk daripada Rusia (155) dan Afghanistan (156).

Malah, Bangladesh sebelum ini beberapa kali telah menutup puluhan laman web terutama pada Disember 2018 menjelang pilihan raya negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button