Berita UtamaUtama

Dasar kerajaan punca graduan jual nasi lemak: Dr Mahathir

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 5 Jamadilawal 1439H, Isnin – Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahan kenyataannya sebelum ini, bahawa dasar kerajaan yang menyebabkan ramai graduan terpaksa menjual nasi lemak untuk mencari pendapatan.

Menolak tuduhan mengatakan beliau menghina pekerjaan penjual nasi lemak dan pemandu uber, bekas perdana menteri 22 tahun itu berkata, beliau bercakap dari aspek masalah pengangguran di kalangan graduan yang terlatih.

“Ini bukan soal menghina sesiapa. Ada orang menjual nasi lemak kerana itu cara mereka menyara hidup. Ada orang terpaksa bawa kereta uber. Bukan kerana itu pilihan mereka.

“Mereka terlatih dalam bidang yang tinggi, yang melayakkan mereka menjadi jurutera, doktor dan sebagainya. Adalah sesuatu yang membazir, kita beri latihan untuk pekerja dalam bidang lain, tetapi mereka terpaksa menjadi pemandu uber atau menjual nasi lemak.

“Kalau kita nak semua penjual nasi lemak lulusan universiti, buat pilihan lah. Siapa nak jual nasi lemak kita akan hantar ke universiti belajar menjadi jurutera doktor, lepas tu pergilah jual nasi lemak. Tapi, orang yang buat cara macam ni mungkin kurang siuman.

“Sebetulnya, kita berharap bila kita hantar anak ke universiti, dia akan balik guna pelajaran yang dia dapati dari universiti dan boleh memberi pendapatan lumayan kepada dirinya,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di Facebook beliau.

Baru-baru ini Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan gagal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat sehingga menyebabkan graduan menganggur.

Sekali lagi mengakui situasi itu, Tun Mahathir menjelaskan, sememangnya dasar ekonomi negaralah yang menyebabkan ada graduan terpaksa menjual nasi lemak.

“Kerana dasar ekonomi negara, mereka terpaksa cari makan dengan cara jual nasi lemak atau uber. Ini bukan pilihan mereka. Yang memilih untuk memandu uber memang hak mereka. Kita ucap tahniah.

“Tapi orang mereka ini terpaksa. Terpaksa bukan sebab kesilapan mereka tapi dasar kerajaan yang kononnya begitu menguntungkan negara, tetapi masih ramai menganggur. Mereka terpaksa cari makan dengan nasi lemak dan uber,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close