a
Terkini
20/01/2018, 3:26 pm

ETS bakal tawarkan tempat duduk kelas perniagaan September ini

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Menjelang Septemper depan, penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan mempunyai pilihan menempah tempat duduk kelas perniagaan, yang menyediakan tempat duduk yang lebih luas dan selesa.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, satu daripada sembilan gerabak yang bakal digunakan untuk kelas perniagaan dijangka tiba pada September, manakala bakinya akan diterima secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.

“Yang pertama akan tiba September ini, jadi kami akan memulakan perkhidmatan itu dengan gerabak berkenaan sebelum kami menerima bakinya.

“Gerabak-gerabak baharu ini berbeza daripada gerabak ETS sedia ada. Ia akan memberikan pengalaman berbeza dan kelebihan serta keselesaaan kepada penumpang, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah “Pride of Workmanship” oleh Kelab Rotary kepada 66 staf KTMB di atas kecemerlangan menyempurnakan tugasan, di sini semalam.

Beliau berkata, harga tiket masih belum ditentukan dan masih dalam perbincangan.

Mohd Rani berkata, harga tiket yang dicadangkan mesti diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana KTMB dikawal selia oleh SPAD.

Beliau berkata, harga tambang akan termasuk perkhidmatan tambah nilai yang KTMB ingin tawarkan pada perjalanan jarak jauh termasuk penyajian makanan, gebar untuk keselesaan, selain daripada manfaat istimewa untuk penumpang kelas perniagaan.

“Kami juga merancang untuk menyediakan bilik istirehat khusus untuk penumpang kelas perniagaan jadi sementara mereka menunggu tren, mereka akan disajikan dengan minuman dan kemudahan lain, “ katanya.

Mohd Rani berkata, perkhidmatan kelas perniagaan itu akan bermula dengan laluan Kuala Lumpur-Padang Besar, sebelum ia dilanjutkan ke laluan popular lain seperti Gemas-Padang Besar, Kuala Lumpur-Ipoh dan Kuala Lumpur-Butterworth jika menerima sambutan yang memberangsangkan.

Beliau berkata, kesemua gerabak ETS akan menawarkan perkhidmatan internet wayarles percuma, dijangka bermula April ini.

Diperkenalkan pada Ogos 2010 dan memulakan perkhidmatan menerusi laluan Kuala Lumpur-Ipoh, KTMB pada masa ini mengendalikan 36 perjalanan sehari dengan 14 kereta api ETSnya dari Gemas ke Padang Besar dan dari Padang Besar ke Gemas. Sejumlah 7,000 penumpang menggunakan perkhidmatan ETS setiap hari. – Bernama

 

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment