a
Terkini
20/01/2018, 3:22 pm

UMMAH beri amaran singkir parti politik tak perjuang agenda Islam, Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Umat Islam di negara ini tidak boleh lagi mengharapkan parti politik untuk memperjuangkan agenda Islam dan Melayu, kata Ketua Sekretariat Gerakan Pembela UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya.

Ini kerana, katanya, pemerintah serta parti pembangkang teramat lemah untuk memperjuangkan agenda Islam dan Melayu yang semakin hari semakin terpinggir.

“Tidak ada suara yang kuat daripada pemerintah untuk memperkasakan Islam. Kita mengharapkan pembangkang yang bersuara. Tapi kita tahu pembangkang pun cair dengan golongan liberal. Kita umat Islam pula yang terkapai-kapai. Bagaimana keadaan kita?

“Sebab itu kita katakan hari ini kita tak boleh lagi harapkan parti politik untuk memperkasakan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kena bangun, keberadaan bersama untuk memperjuangkan agenda Islam,” katanya ketika memberi ucaptama pada Konvensyen Kebangkitan Ummah yang berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, situasi umat Islam kini terlalu kritikal di mana jika boleh diumpamakan seperti penyakit kanser, umat Islam sudah berada di tahap empat.

“Kalau dulu kita tak dengar orang Melayu yang gay, orang Melayu yang mendakwa mereka bukan lagi muslim, dulu tak dengar orang pertikai hak Bumiputera, sekarang macam-macam, sehinggakan ada Melayu yang terpengaruh sama.

“Sedih apabila kini sudah ada majlis gay, di mana parti politik tidak bertegas pun apabila Islam dihina secara terang-terangan. Dia kata ‘Oh tak boleh, kita negara majmuk, kita kena ambil pandangan orang lain’. Sehingga kini orang mempertikaikan negara ini bukan negara Islam, tetapi negara sekular,” katanya.

Sehubungan itu, Haji Aminuddin yang juga Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mencabar kerajaan supaya bertegas mengenai perkara ini sekiranya mahu kekal relevan dalam arus politik di Malaysia.

“Saya beri amaran kepada parti politik andai mereka tak letak agenda Islam, kita nyahkan mereka, kita seru NGO seluruh rakyat Malaysia dan saya berbincang kepada rakan-rakan meletakkan tuntutan kita kepada pemerintah.

“Yang penting agenda utama mereka mesti agenda Islam di samping agenda-agenda lain. Kita nak perundangan Islam, agensi Islam dimartabatkan, umat Islam diperkasakan,” tegasnya.

Gerakan Pembela Ummah digerakkan oleh lebih 100 NGO Islam yang memberi fokus kepada menyatupadukan umat Islam dan menjadi suara pendesak, mengukuhkan kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dominasi dan kekuatan umat Islam di dalam politik, mendesak dan memastikan pemerintah menerapkan nilai Islam dan memperjuang pemerkasaan institusi Islam negara.

Antara gabungan NGO Islam dalam UMMAH adalah Kongress Rakyat, Pembela, Gabungan AMIN, PINTA, Ummat RUU355, Isma, PPIM dan lain lain.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment