a
Terkini
20/01/2018, 3:30 pm

Kembalikan kewarasan politik jika mahu cepat melangkah ke hadapan

POLITIK WARAS

1. Malaysia ada banyak kelebihan berbanding Amerika Syarikat.

2. Infrastruktur Malaysia bertaraf dunia. Sekiranya dibandingkan jalan raya Malaysia dengan di sesetengah tempat di Amerika Syarikat termasuklah New York City, Malaysia menang awal-awal lagi.

3. Sekolah dan universiti kita hampir percuma. Sewaktu membuat Masters dulu, saya hanya membayar RM1,000 satu semester. Saya percaya Tan Sri Dr Noorul Ainur boleh mengesahkan kadar yuran ini. Boleh google kalau nak tahu berapa kos nak buat Masters di Amerika Syarikat.

4. Begitu juga dengan penjagaan kesihatan. Hospital dan klinik kita mengenakan caj beberapa ringgit saja. Malah, rawatan di hospital swasta pun tidaklah mahal. Di Amerika Syarikat, tinggi melangit. Apabila anak saya terhiris jari telunjuk beberapa minggu lalu, kos beberapa jahitan mencecah US$1,000. Mungkin Tan Sri Dr Sharifah Zarah boleh kongsi kehebatan kita ini di media massa.

5. Apa yang kita kurang ialah sikap rakyat. Saya tak tahu samada kita tak tahu bersyukur dengan nikmat Allah atau sudah hilang kewarasan. Dibandingkan ini, saya lihat warga Amerika Syarikat hebat.

6. Semalam saya solat Jumaat. Masjid berdekatan rumah saya sedang dalam pembinaan. Maka kami tumpang solat di Temple Beth El, milik Yahudi. Solat lima waktu termasuklah solat Subuh pula diadakan secara tetap di Presbyterian Church, milik Kristian. Kalau solat lima kali sehari, dah macam surau.

7. Sewaktu saya dan isteri nak keluar rumah semalam, seorang jiran datang dan mengucapkan “Selamat Datang.” Dia memperkenalkan dua ekor anak-anak anjingnya yang comel kepada saya.

8. Di JFK International Airport, Walmart dan Bank of America, kami diraikan dengan penuh budi bahasa.

9. Setiap pagi saya hantar anak pergi kerja. Nak balik kena lintas jalan. Setiap kali kereta saya nak lintas jalan, pemandu akan beri laluan dan saya angkat tangan tanda terima kasih. Di mana-mana saja begitu.

9. Inilah yang hilang di negara kita. Apabila kita hilang adab sosial, kita hilang akal budi. Dan, kita juga hilang kewarasan politik.

10. Diskusi politik kita sudah sampai ke tahap kebudak-budakan. Kita kritik menteri bercakap tak macam level menteri, tetapi kita yang mengkritik menteri pun bercakap macam level budak tadika.

11. Apabila hilang kewarasan politik, kita melihat pertentangan sebagai aset. Apabila kita tidak berpolitik secara waras, kita bakulsampahkan politik muafakat.

12. Politikawan yang mahu berpakat dengan lawan di luar sempadan parti dilihat sebagai musuh. Di Amerika Syarikat, politikawan dari kedua-dua pagar politik berkolaborasi meluluskan undang-undang untuk rakyat.

13. Dalam hangat menuju PRU14, kewarasan ini semakin hilang. Politikus kita seolah-olah sudah tidak jumpa titik temu atau common ground untuk berpakat.

14. Sewajarnya politikawan kita boleh bergembira kerana ringgit berbanding dolar semakin mengukuh, sudah melepasi garisan 4.0. Harga minyak kembali meningkat. Kemiskinan di bawah 1%. Kadar pengangguran juga sekitar 3.2% (full employment). Kesemua ini dicapai kerana kita amalkan sistem berparlimen. 222 orang wakil rakyat kita berbincang dan bawa idea untuk kerajaan. Berikan mereka kredit.

15. Dalam laporan Bank Dunia, Malaysia dikategorikan sebagai negara kelas pertengahan atas (upper middle income nation). Disebabkan peningkatan kehidupan ini, Malaysia tak layak lagi menerima sumbangan program kemanusiaan Amerika Syarikat seperti USAID.

16. Bukan setakat itu, pemimpin seperti Dato Zuraidah Atan kini mengetuai inisiatif membawa sukarelawan Malaysia menyumbang ke seluruh dunia. Kita bukan sekadar mampu bawa kemakmuran kepada negara, tetapi juga berkongsi dengan tetangga.

17. Kesemua pencapaian ini adalah milik kita semua. Ia milik orang Melayu, Cina, India, Siam, Kadazan, Murut, Iban dan Orang Ulu (sekadar menyebut beberapa contoh). Ia pencapaian orang Kodiang, Besut, Selangau dan Kalabakan.

18. Hasil usaha pemimpin negara dari Tunku Abd Rahman, Tun Abd Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir, Tun Abdullah dan Dato Seri Najib, kita miliki kehebatan ini. Ini bukan pencapaian seorang tokoh walau bagaimana sekalipun dia berasa dia hebat. Ia pencapaian bersama. Usah perlekehkan pemimpin lain.

19. Kita harus mengembalikan kewarasan politik jika mahu lebih cepat melangkah ke hadapan. Sementara kita ada perkara yang dipertelingkahkan, kita juga ada banyak pencapaian yang harus dirayakan.

20. Saya sandarkan harapan kepada anak-anak muda seperti Dato Armand Azha, Tuan Herman Haassan dan Tuan Amin Ahmad untuk melakukan perubahan ini. Tokoh media seperti Dato Hussamuddin Yaacub boleh mendorong perubahan tersebut.

21. Kemampuan meraikan pertelingkahan dengan adab dan akhlak itulah yang menentukan sama ada kita masih berpolitik secara waras. Dan, sama ada kita bakal meneruskan pencapaian sebuah negara berpaksikan rakyat (people-centric) untuk semua!

Norizan Bin Sharif

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di akaun Facebook Norizan Bin Sharif dan diulang siar di Ismaweb dengan izin penulis.

Share With:
Rate This Article
Author

admin@ismaweb.net

No Comments

Leave A Comment