Berita UtamaUtama

Banjir di Johor, Pahang semakin buruk, 2,079 mangsa dipindahkan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Keadaan banjir di Johor dan Pahang bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan ke lebih 24 pusat pemindahan sementara, turut meningkat sejak malam tadi dan pagi ini.

Di Johor, Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 627 orang pagi ini dengan 10 pusat pemindahan sementara dibuka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata, setakat 10 pagi, seramai 530 orang daripada 138 keluarga berada di enam pusat pemindahan di Mersing, berbanding 430 orang daripada 106 keluarga di lima pusat pemindahan, 7 pagi tadi.

“Di Segamat pula, jumlah mangsa banjir kekal 97 orang daripada 20 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh Tengah dan Kampung Tekam, “ katanya dalam satu kenyataan.

Mereka kini ditempatkan di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak; Balai Raya Kampung Pogoh Tengah; Kompleks Penghulu Mukim Pogoh; dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

Ayub berkata, pusat pemindahan yang baru dibuka di Mersing melibatkan Balai Raya Kampung Air Merah yang beroperasi pada jam 5.45 pagi tadi dengan menempatkan 28 orang daripada lapan keluarga.

Beliau berkata, lima pusat pemindahan lain di Mersing adalah Balai Raya Kampung Tenglu; Sekolah Kebangsaan (SK) Air Papan; Sekolah Agama Pengkalan Batu; Sekolah Agama Mersing Kanan; dan SK Labong.

Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing atau Endau-Jalan Air Papan.

Jalan Johor Bahru-Kuantan pula tidak boleh dilalui untuk kenderaan ringan, namun mereka boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Sekakap-Meta.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,452 orang setakat jam 9 pagi ini membabitkan tiga daerah apabila Raub dilanda banjir sekali lagi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata, semua mangsa banjir di Pekan, Rompin dan Raub ditempatkan di 14 buah pusat pemindahan sementara.

Pekan terus merekodkan pertambahan mangsa dengan 1,210 orang berbanding 1,165 orang malam tadi dan ditempatkan di 10 pusat pemindahan.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang kini menempatkan 322 mangsa; SK Sri Biram (67); SK Sinar Mutiara (375); SK Seri Terentang (39); SK Temai (93); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya (136); Pulau Manis (75); Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39); Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55); dan SK Acheh (sembilan),” katanya.

Di Rompin, jumlah mangsa turut meningkat kepada 239 orang berbanding 125 orang malam tadi dan ditempatkan tiga buah pusat pemindahan SK Tekek, Tioman (63); Dewan Orang Ramai Leban Chondong (72); dan Balai Raya Setajam (104).

Di Raub, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu Masjid Jamek Kuala Semantan menempatkan tiga mangsa.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close